Doktor, Hospital Swasta Diarah Bayar RM165,375 Kepada Pesakit Kerana Cuai

Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, memerintahkan seorang doktor dan sebuah hospital swasta di Petaling Jaya membayar RM165,375 kepada seorang peguam kerana kecuaian ketika melakukan pembedahan pada 2012.

Doktor, Hospital Swasta Diarah Bayar RM165,375 Kerana Cuai
Noorziana Md Yusuf (kanan) ketika hadir ke mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, bagi kes tuntutan saman kecuaian terhadap seorang doktor dan hospital swasta di Kelana Jaya tiga tahun lalu. - Foto myMetro
Hakim Nursinah Adzmi ketika membuat keputusan itu dalam kamar berkata, kedua-dua defendan iaitu defendan pertama Dr Fatima Najla KM Muhd dan defendan kedua Kelana Jaya Medical Centre Sdn Bhd, diarah membayar jumlah wang berkenaan sebagai ganti rugi am, ganti rugi khas serta teladan kepada plaintif, Noorziana Md Yusuf.

Menurutnya, tuntutan kepada defendan pertama adalah ganti rugi akibat kecuaiannya ketika melakukan pembedahan ‘caesarean’ bagi melahirkan anak pada 6 Disember 2012 sehingga menyebabkan Noorziana mengalami komplikasi, kecederaan dan kesakitan.

“Plaintif mengalami masalah kebocoran air kencing dan faraj selepas pembedahan itu,” katanya.


Noorziana memfailkan writ saman pada Januari 2015 menuntut ganti rugi berikutan komplikasi dialaminya selepas menjalani pembedahan di hospital terbabit.

Dalam writ saman itu, Noorziana mendakwa Dr Fatima Najla cuai serta gagal mengendalikan pembedahan sebagai pakar sakit puan dan perbidanan serta tidak mengambil langkah berhati-hati ketika melakukan pembedahan.

Plaintif turut mendakwa hospital terbabit gagal memastikan pakar sakit puan yang melakukan pembedahan ke atasnya mencapai standard yang tinggi serta gagal menyediakan kemudahan pakar urologi. Sumber: Harian Metro
----------
Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments