Dr Zakir Naik Cabar Pengkritik Saman Al Quran Di Mahkamah

Pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik mencabar pengkritiknya untuk memfailkan kes di mahkamah terhadap Al-Quran di atas penegasan bahawa Allah tidak mempunyai anak.


Dr Zakir Naik Cabar Pengkritik Saman Al Quran Di Mahkamah

Mengimbas kembali lawatan terakhir beliau ke negara ini pada tahun 2012, Zakir berkata, beberapa laporan difailkan terhadapnya kerana menghina agama mereka di atas pengertian bahawa Allah tidak memiliki anak.


Tetapi Zakir menegaskan bahawa ia bukan ucapannya, sebaliknya ia adalah firman Allah dalam Al-Quran.

“Jika anda ingin memfailkan kes terhadap saya di Malaysia, anda perlu memfailkan kes terhadap al-Quran,” katanya sambil disambut tepukan daripada penonton yang hadir.

Pendakwah itu berucap pada ceramah bertajuk ‘Is The Quran God’s word?’ di Stadium Hoki Bukit Jalil malam tadi yang menyaksikan kira-kira 30,000 orang menghadiri majlis itu.

“Allah berkata, Dia satu-satunya, Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan,” kata Zakir sambil memetik surah al-Ikhlas.

Meskipun diberitahu sesetengah pihak, termasuk orang Islam, agar tidak mengulanginya, Zakir bagaimanapun menegaskan bahawa ini adalah tentang agamanya.

“Bolehkah anda percaya ini, dalam sebuah negara Islam? Jika ia berlaku di India, tidak ada masalah. Dalam sebuah negara Islam seseorang mengatakan jangan kata Tuhan itu satu,” katanya.

“Saya tidak di sini untuk menghina mana-mana agama […] (tetapi) bagaimana saya boleh berhenti mengatakan ini – Dia adalah satu?”

Beliau kemudian mengingatkan bagaimana dakwah adalah wajib atas setiap orang Islam dan jika seseorang itu tidak melakukannya, dia tidak akan masuk syurga.

Sementara itu, memetik kitab-kitab Yahudi, Kristian, Sikh dan Parsi, Zakir mendakwa bahawa semua agama mengatakan bahawa Allah adalah satu.

“Tuhan itu tidak mempunyai imej, tiada patung, tiada gambar, tiada lukisan. Saya datang di sini bukan untuk membuat fitnah atau membuat perbezaan.

“Saya memberitahu orang, mudah, mari kita bersetuju bahawa hanya ada satu kitab yang merupakan firman Allah. Saya mempunyai satu penyelesaian yang mudah, mari kita bersetuju mengenai apa yang biasa dalam kitab-kitab.


“Mari kita bersetuju dengan apa yang biasa, saya tidak cuba untuk mewujudkan perpecahan, saya cuba untuk mendapatkan orang-orang Hindu dan Kristian dan umat Islam bersama-sama,” kata Zakir.

Memetik kitab-kitab Hindu, pendakwah itu berkata ia dinyatakan bahawa Tuhan tidak mempunyai ibu bapa, tidak berimej dan tiada patung.

“Siapa kata? Bukan Zakir. Apa yang ingin anda lakukan? Membuat laporan polis terhadap saya?” Soalnya.

“Saya seorang da’i (pendakwah), saya perlu bercakap mengenai Allah, adakah saya menghina seseorang? Jika anda mempunyai bukti bahawa saya menghina, saya sudah bersedia untuk hukuman itu,” katanya.

Pendakwah itu mencetuskan kontroversi selepas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan acara di Kuala Lumpur dan Melaka dibatalkan.

Pertubuhan Hindu juga membuat laporan polis, mendakwa Zakir telah menghina agama lain dalam ceramah beliau.

Khalid kemudian menarik balik larangan pada acara Kuala Lumpur manakala Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kemudian membenarkan acara tersebut di Melaka diteruskan dengan syarat tajuk kuliah diubah.

Selepas acara di Terengganu dan Kuala Lumpur, siri jelajahnya ke Malaysia akan menyaksikan Zakir berucap pada majlis itu di Melaka hari ini.

Sumber : Malaysiakini

No comments