Terkini

Ini Punca Sebenar Rayani Air Gantung Semua Operasi?

Baru tiga bulan dilancarkan, operasi RayaniAir kini diberhentikan buat sementara waktu. Ini menurutnya untuk melakukan "penyelenggaraan pengurusan" - yang disifatkan sesetengah pihak sebagai merombak semula pengurusannya.


Ini Punca Sebenar Rayani Air Gantung Semua Operasi?

Langkah ini diumumkannya dalam satu kiriman menerusi Facebook.


Syarikat penerbangan yang dipasarkan sebagai patuh syariah itu membatalkan semua operasinya sejak semalam (8 Apr).

Rayani Air juga memohon maaf atas kesulitan tersebut.

Pengasas Rayani Air, Ravi Alagendrran mengatakan keputusan dibuat menyusuli para juruterbang mogok dan akibat isu-isu "teknikal" yang tidak diterangkan dengan lebih lanjut.

Beberapa laporan media Malaysia melaporkan bahawa sesetengah penumpang berkongsi kisah rasa tidak puas hati mereka di laman media sosial terhadap syarikat penerbangan itu setelah penerbangan ditangguh sekurang-kurangnya tiga kali sebelum akhirnya dibatalkan.


MalaysiaKini melaporkan, sekurang-kurangnya tiga penerbangan dari Kuala Lumpur dijangka terbang ke Langkawi (RN182), Kota Kinabalu (RN130) dan Kuching (RN154) semalam dibatalkan.

Encik Ravi, dalam tulisan emelnya kepada MalaysiaKini mengatakan semua operasi akan dibatalkan sehingga tarikh yang akan ditetapkan nanti, sebagai sebahagian daripada latihan penyusunan semula syarikat.

"Kami minta maaf kepada semua penumpang kami, Kami akan mengambil masa ini untuk menghuraikan isu-isu teknikal dan operasi, " jelas pengasas Rayani Air, Encik Ravi kepada Malay Mail semalam.

"BUANG MASA DAN BUANG DUIT"

Seorang penumpang, Siti Nadwatul Shima Nor, 24 tahun, sepatutnya berangkat ke Langkawi pada 8 Apr (2 hari lepas), namun penerbangannya ke Langkawi dengan Rayani Air tertangguh sebanyak tiga kali sebelum akhirnya dibatalkan.

Beliau menempah tiket untuk 10 orang anggota keluarganya, termasuk ayahnya yang berkerusi roda.

Menurut laporan TheStar, Siti Nadwatul menerima beberapa pesanan ringkas untuk memberitahunya mengenai penerbangan yang "dijadual semula".



Beliau kemudian menerima beberapa pesanan ringkas lain yang mengatakan antara sebab penerbangan dibatalkan adalah kerana "keperluan operasi" dan "juruterbang mogok".


"Pusat panggilan juga menghubungi saya untuk memberitahu bahawa penerbangan saya ditetapkan, tapi akhirnya, ia dibatalkan," jelas Siti Nadwatul.

"Saya tidak mempunyai pilihan lain kecuali membawa anggota keluarga saya menaiki bas dan membeli tiket feri ke Langkawi," tambahnya kepada The Star.

Beliau mengatakan tidak akan menggunakan tiket pulang Rayani Air untuk ke Kuala Lumpur dan menempah tiket lain bersama syarikat penerbangan lain.

"Ini membuat saya sangat tertekan, ianya memakan terlalu banyak masa dan buang duit," tambahnya.

Seorang lagi pelajar juga menyuarakan rasa tidak puas hati kerana terpaksa menempah tiket penerbangan yang baru.



Laporan TheStar juga menyatakan sudahpun menghubungi jurucakap Rayani Air namun beliau mengatakan tidak dapat mengulas lebih lanjut dan meminta menghubungi pengasas syarikat itu sendiri untuk mendapatkan komen.

Bagaimanapun, sehingga kini, Encik Ravi tidak dapat dihubungi.

Bulan lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kementerian itu sedang membuat pemantauan rapi terhadap syarikat penerbangan tersebut dan mungkin berdepan tindakan penggantungan operasinya jika ia gagal memenuhi peraturan syarikat penerbangan.

Ini berikutan aduan orang ramai tentang kelewatan dan pembatalan penerbangannya serta penggunaan pas masuk yang bertulis tangan.
- Agensiberita/ag
------------
Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments