Kedai Jual Tudung Naelofar Hijab Tiruan Diserbu KPDNKK

Gara-gara menjual tudung tiruan berjenama Naelofar, dua premis diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor.


KPDNKK Rampas Tudung Naelofar Hijab Tiruan

Ketua Penguatkuasanya, Abdul Rosik Yakub berkata, dua serbuan dilakukan di Kajang dan Gombak pada 28 Mac lalu melibatkan rampasan sebanyak 79 helai tudung bernilai RM7,102.

“Serbuan dilakukan hasil aduan pemilik Naelofar Hijab sendiri yang memaklumkan kedai berkenaan menjual hijab tiruan menyerupai hijab asli milik mereka.

“Hasil rampasan kita dapati terdapat kekeliruan pada hijab yang asli dan sebaliknya,” katanya pada sidang media bersama pemilik Naelofar Hijab, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa di pejabatnya, di sini, semalam.


Menurutnya, kedai tudung berkenaan bukan hanya menjual jenama Naelofar Hijab, bahkan pelbagai jenis tudung lain dijual di situ.

Katanya, kes berkenaan akan disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda RM500,000 atau tiga tahun penjara.

Sementara itu, Neelofa yang juga selebriti terkenal berkata, pihaknya kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab meniru tudung jenama miliknya.

“Saya dapat aduan berkenaan perkara ini daripada orang ramai yang juga peminat saya.

“Kami turun padang dan siasat sendiri dan mendapati sekitar tujuh hingga lapan kedai jual tudung jenama saya yang tiruan di Lembah Klang, Johor, Pahang, Terengganu, Perlis dan di Sabah,” katanya.

Menurutnya, koleksi tudung terbaharu syarikatnya diciplak pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menipu pembelinya.

“Banyak perbezaan antara yang asli dan tiruan termasuklah dari segi jahitan, batu swarovski, jenis kain dan sebagainya.

“Kami selidik kebanyakan tudung itu dibawa dari luar negara sebelum dijual di negara ini dengan harga yang hampir sama dengan Naelofar Hijab yang asli,” katanya.

Bagi mengekang perkara itu katanya, pihaknya akan terus bekerjasama dengan KPDNKK bagi mengesan pihak terlibat dan berharap mereka dapat dibawa ke muka pengadilan. SH Online.



---------------
Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments