Terkini

"Pihak Berkuasa Kena Tapis Dulu Dr Zakir Naik", Kata Ustaz Zamihan

BANGI, Isnin – Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Ustaz Zamihan Mat Zin, berkata kedatangan penceramah Islam berasal dari India, Dr Zakir Naik ke Malaysia perlu ditapis oleh pihak berkuasa agama, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis.


"Pihak Berkuasa Kena Tapis Dulu Dr Zakir Naik", Kata Ustaz Zamihan

Dalam satu kenyataan semalam, beliau berkata, kehadiran Dr Zakir tidak boleh dibuat mengikut selera peribadi atau atas kapasiti politik semata-mata.

Beliau berkata, tapisan itu perlu bagi mengelak pelbagai isu kontroversi agama yang boleh membingitkan umat Islam di negara ini, sekali gus menjadikan ekosistem Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia terpelihara daripada sebarang unsur tidak diingini.

“Siapapun Dr. Zakir Naik, beliau adalah penceramah asing. Jadi, kedatangannya ke Malaysia sepatutnya memerlukan tapisan keselamatan pihak KDN, PDRM dan pihak berkuasa agama negeri,” katanya mengulas kenyataan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin yang mendakwa ASWAJA senada dengan Hindraf mahu menghalang Dr Zakir daripada berceramah di Malaysia.


Kelmarin, Dr Mohd Asri dalam Facebooknya menyifatkan pertubuhan ASWAJA sama seperti gerakan hak asasi manusia Hindu, Hindraf Makkal Sakthi, yang mendesak pendakwah terkenal Dr Zakir dihalang daripada berceramah di negara ini.

Mufti Perlis itu berkata, sebelum ini pimpinan kumpulan ASWAJA mempertikai pegangan agama Imam Masjidil Haram, As-Syeikh Abdul Rahman as-Sudaisi dan kini kumpulan itu senada dengan Hindraf mempertikaikan Dr Zakir.

“Hari ini mereka pertikaikan agama DZN (Dr Zakir Naik) yang merupakan tokoh dakwah yang mendapat pengiktirafan seluruh dunia, termasuk Malaysia memberikan tokoh Maal Hijrah kepadanya,” kata Dr Mohd Asri.

Mengulas lebih lanjut tuduhan itu, Ustaz Zamihan berkata, ASWAJA akan merujuk kepada peguam untuk mendapatkan khidmat nasihat seterusnya bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap Mufti Perlis itu.

“Kami tidak akan membiarkan perbuatan fitnah terhadap ASWAJA berterusan dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap perkara ini,” katanya yang meminta Dr Mohd Asri mengemukakan bukti mengatakan ASWAJA membantah kedatangan Dr Zakir ke negara ini.

Beliau berkata, ASWAJA sebenarnya tidak pernah membuat penolakan atau kecaman ke atas Dr Zakir lapor ismaweb.
------------
Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments