Suami Ambil Kesempatan Membantu Rakan Karib Isteri Dan Akhirnya...

“Sebenarnya, kita tidak patut meletakkan kepercayaan seratus peratus kepada orang yang kita sayang. Ini termasuk suami dan rakan baik. Apabila kita meletakkan kepercayaan sepenuhnya, apabila ditakdirkan mereka melakukan onar dalam hubungan menjadikan hati sangat sakit, pedih, terluka dan sengsara kerana terasa diri terpedaya dan tertipu.


Suami Ambil Kesempatan Membantu Rakan Karib Isteri Dan Akhirnya...

“Kalau orang lain yang tidak dikenali menjalin hubungan dengan suami, mungkin ada maafnya, ini rakan sendiri yang selama ini disanjung dan dianggap umpama saudara sendiri sanggup menikam dari belakang dengan mencuri suami kita,” itu kata Wana, sinis.

Baru terlerai selama ini sakit yang terbuku di hati yang tersimpan gara-gara selama ini dek perasaan sayang, terhadap suami dan rakan, kini dia terpaksa menerima natijahnya.

Wana menjelaskan, dia dan suami berkahwin atas dasar suka sama suka dan perhubungan mereka diserikan dengan seorang rakan karib, Ani, yang dikenali sejak dibangku sekolah lagi.

Apabila dia dan suami berpindah ke Johor Bahru selepas berumah tangga, Ani pula kebetulan ditukarkan ke bandar berkenaan. Memandangkan Ani masih belum berkahwin, Wana dan suaminya membantu mencarikan rumah sewa buat wanita itu serta menguruskan hal-hal perpindahan Ani.

Wana pernah mempelawa Ani untuk tinggal bersama mereka sewaktu awal perpindahan wanita itu, namun ditolak oleh Ani atas alasan tidak mahu mengganggu privasi keluarga Wana.


Wana menganggap rakan karib itu segalanya bagi dirinya, kerana dia sendiri tidak mempunyai ramai adik-beradik dan hubungan yang telah bertahun menyebabkan Ani tempat dia menaruh harap.

Tinggal di bandar besar seperti itu menyebabkan Wana perlu berkejar menyediakan keperluan diri. Dari anak sehinggalah menguruskan rumah sebelum ke tempat kerja, Wana melakukannya dengan rela hati sambil dibantu suami.

Setelah siap semuanya, Wana dan suami akan menjemput pula Ani yang tinggal di taman perumahan yang sama untuk ke tempat kerja.

“Tempat kerja Ani yang satu laluan memudah kami menghantarnya. Ani pula memang tidak boleh memandu kerana fobia dengan jalan sesak sedangkan dia sendiri mempunyai lesen. Saya juga akhirnya yang mencadangkan kepada suami untuk menjemput dan menghantarnya balik dari tempat kerja kerana mahu memudahkan perjalanan rakan saya itu,” kata Wana.

“Perhubungan kami berjalan dengan lancar, Ani selalu datang ke rumah dan rajin melayan anak sulung kami. Malah selalu juga dia tidur di rumah. Itupun saya juga yang cadangkan dia bermalam di situ kerana mahu dia berasa selesa,” jelasnya.

Ini kerana rumah Ani itu disewa bersama tiga lagi rakan-rakan yang lain. Jadi pada hari-hari yang tertentu Wana mahu Ani bersamanya agar mereka boleh saling menjaga diri antara satu sama lain.

“Selepas setahun, saya ditakdirkan mengandung. Ketika itu saya mendapat alahan yang teruk. Ani kerap datang melawat dan membantu menguruskan anak, memasak serta mengemas rumah pada hari-hari yang dia cuti. Dia akan diambil dan dihantar pulang oleh suami ke rumah sewanya setelah habis kerja-kerjanya.

“Selepas sembilan bulan, saya pun melahirkan seorang anak perempuan. Dalam tempoh berpantang selama tiga bulan itu, Ani dan suami terpaksa pergi bekerja bersama. Sedikit pun saya tidak menaruh cuak, mengesyaki sesuatu atau rasa cemburu kerana hubungan kami memang telah akrab.

“Selepas balik dari kerja, Ani akan singgah sekejap ke rumah bertanyakan khabar sebelum dihantar pulang oleh suami ke rumah sewanya.

Menurut Wana, apa yang selama ini dia tidak mahu berlaku dalam episod rumah tangganya akhirnya terjadi apabila pada suatu hari suaminya dalam keadaan terbuka menyatakan keinginan untuk mengambil Ani sebagai isterinya yang sah.Siapa yang tidak terkejut dengan permintaan begitu.

Wana memberitahu dia hampir pengsan mendengar pengakuan suaminya yang selama ini memang menyimpan perasaan terhadap Ani, namun kerana hormatkan saya, seboleh-bolehnya dia enggan menjadikan itu sebagai alasan untuk berkahwin dengan Ani.

Tetapi entah bagaimana, hubungan mereka yang terlalu rapat sejak Wana berpantang menjadikan suami dan Ani tenggelam dalam dunia cinta, sehingga tidak sanggup berpisah dan bersedia memberitahu perkara sebenar kepada Wana.

“Entah bila dan bagaimana detik kisah cinta suami dan Ani bermula, saya tidak tahu. Adakah saya terleka memerhatikan kemesraan mereka, itu pun saya tidak tahu. Bilakah mereka mula berhubungan, itupun saya tidak tahu, kerana selama ini apa yang saya sedar, Ani dan suami tidak pernah menunjukkan tingkah laku di luar batasan yang boleh menimbulkan syak.

“Suami juga memberitahu dalam diam, dia dan Ani selalu keluar berdua apabila tidak bekerja, atau mereka memohon cuti untuk berjumpa.

“Sampai hati mereka melakukan perkara itu kepada saya. Kepada Ani, memang saya menganggap dia umpama adik sendiri, tetapi tidaklah sampai sehingga sanggup ‘memberikan’ suami dan berkongsi orang yang saya sayang dengan dia. Tidak sanggup rasanya bermadu. Apatah lagi dengan orang yang paling rapat dengan saya.

“Saya sedih kerana kebaikan saya selama ini kepada Ani akhirnya dibalas seperti itu. Kepada suami, saya ingin bertanya, terukkah layanan saya kepada awak selama ini, atau tidak cukup sempurnakah saya di mata awak sehingga sanggup berhubungan dengan rakan karib isteri sendiri,” kata Wana. Sumber: KELUARGA

No comments