Terkini

Tiga Parti Melayu Bantah PDRM Halang Ceramah Dr. Zakir Naik Di Melaka

Tiga sayap parti politik mendesak Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menarik balik arahan pembatalan forum Dr Zakir Naik di Melaka yang sepatutnya diadakan 17 April ini.


Tiga Parti Melayu Bantah PDRM Halang Ceramah Dr. Zakir Naik Di Melaka

Pergerakan Pemuda UMNO, Pemuda AMANAH dan Dewan Pemuda PAS menganggap arahan Khalid itu melanggar hak demokrasi dan kebebasan beragama di negara ini.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, pihaknya memandang serius halangan itu kerana ia telah mencemar prinsip kebebasan beragama di negara ini.

“Pemuda UMNO menganggap semua rakyat berhak mempraktikkan disiplin dan dakwah agama masing-masing selangi mana ia tidak melanggar undang-undang.

“Kami uga percaya ia menjadi tanggungjawab penuh pihak polis untuk menyediakan kawalan keselamatan dan ketenteraman awam tetapi bukan dengan mengambil pendekatan mudah dengan membatalkan ceramah tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Pemuda UMNO mengajak rakyat lebih bersikap matang dan tidak mudah dipengaruhi oleh pergerakan-pergerakan badan bukan kerajaan (NGO) yang bersifat ekstremis yang telah menanam sifat benci dan ketakutan sehingga rakyat tidak boleh menilai kebaikan sesuatu perkara.

Arahan supaya membatalkan forum bertajuk Similarites Between Hinduism & Islam (Persamaan antara Hinduism & Islam) itu bagi memastikan ketenteraman awam di negara ini terjaga.

BACA: Polis Tak Benar Ceramah Dr Zakir Naik di Melaka Diteruskan

Khalid membuat arahan itu susulan bantahan pemimpin politik dan NGO bukan Islam yang turut mendesak kerajaan menghantar pulang Dr Zakir Naik kerana didakwa pernah menghina agama lain.

Dr Zakir Naik dilaporkan pernah dilarang memasuki Singapura dan United Kingdom.

Sementara itu, Pemuda AMANAH menyifatkan larangan itu mencerminkan tahap kongkongan pihak berkuasa yang amat parah terhadap ‘intellectual discourse’, yang seharusnya disuburkan, tidak dihalang apatah lagi dibatalkan sewenang-wenangnya.

Ketuanya, Sany Hamzan berkata, Pemuda AMANAH berpandangan syarahan-syarahan ilmiah seperti itu tidak harus dimusuhi oleh sesiapa pun


“Pertentangan pendapat tidak sewajarnya berakhir dengan pihak berkuasa atau kerajaan memenangkan satu pandangan sahaja. Mungkin boleh diusulkan pandangan untuk dipentaskan forum yang menampilkan Dr Zakir Naik dengan pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan beliau.

Katanya, Pemuda AMANAH teguh mempertahankan kebebasan intelek sebagai elemen teras pembinaan masa depan negara dan negara akan hancur dengan pemimpin bodoh yang turut mahu rakyat diperbodohkan.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadli Shaari pula berkata, tindakan Khalid itu langkah terkebelakang.

“Amat janggal apabila artis-artis dari luar negara bebas untuk mengadakan konsert di negara ini sekalipun dibantah oleh umat Islam, tiba-tiba seorang penceramah yang hanya menggunakan hujah ilmiah dihalang semata-mata bantahan dari golongan minoriti,” katanya. - FMT
------------
Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments