Video Anggota Polis ‘Pau’ Budak Sekolah Jadi Viral

Sebuah video menunjukkan dua orang anggota polis mengambil duit daripada seorang remaja lelaki dipercayai pelajar sekolah viral di laman sosial.



Menerusi video berdurasi 2.46 minit yang dirakam oleh individu dipercayai orang awam, salah seorang anggota yang berpangkat lans koperal telah memeriksa dompet remaja berkenaan manakala seorang lagi anggota duduk memerhati.

Anggota terbabit telah memulangkan semula dompet tersebut dan meminta remaja itu mengeluarkan duit untuk diserahkan kepadanya.

Ketika remaja itu hendak mengeluarkan wang, anggota terbabit telah menarik tangan remaja berkenaan dengan tujuan mahu berselindung daripada dilihat orang ketika remaja itu hendak menyerahkan duit yang dimintanya.Setelah memberikan wang anggota terbabit membenarkan remaja itu beredar.

Berdasarkan pemerhatian, remaja itu ditahan oleh anggota terbabit untuk diperiksa ekoran dipercayai ponteng sekolah.


Tiada sebarang audio pada rakaman yang tersebar itu dan lokasi serta masa kejadian tidak diketahui.

Visual itu telah dikongsikan di Facebook Malaysia Viral Story dengan kapsyen “Budak sekolah pun nak paw, polis sekarang gaji tak cukup ke? Kerana nila setitik rosak susu sebelanga..Mohon PDRM ambil tindakan ke atas anggota tersebut”.

Sementara itu, dalam perkembangan terbaru, Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), ACP Datin Asmawati Ahmad dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya memandang serius insiden tersebut yang secara terang-terangan telah mencemar kredibiliti pasukan.

Beliau turut memohon kerjasama daripada mangsa dan mana-mana pihak yang menyaksikan kejadian itu atau mempunyai maklumat untuk tampil bagi membantu pihaknya menjalankan siasatan.



“PDRM tidak mengamalkan `Blue wall of Silence’ (tidak akan membisu) dan tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku oleh mana-mana warganya. – Freemalaysia Today

No comments