Video: Pegawai Imigresen Wanita Belasah Warga Asing

Kuala Lumpur – Baru-baru ini Malaysian Crime Watch (MyWatch) telah memuat naik beberapa video memaparkan aksi seorang pegawai Imigresen wanita yang bertindak membelasah seorang lelaki warga asing dalam satu serbuan yang diadakan sekitar Januari lalu.


Video: Pegawai Imigresen Wanita Belasah Warga Asing

Perilaku pegawai imigresen tersebut yang menyerang mangsa dengan menendang dan memukulnya bertubi-tubi, seperti aksi bertinju, ternyata mengejutkan ramai.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan MyWatch, mangsa yang merupakan warga India mendakwa dia dibelasah oleh wanita tersebut gara-gara tidak boleh bercakap Bahasa Melayu.

Kejadian itu dilaporan berlaku dalam sebuah premis mencuci kereta di stesen minyak Petron di Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan.

Menurut mangsa, dia ditahan kerana tidak mempunyai permit yang sah dan telah memberi kerjasama sepenuhnya ketika serbuan diadakan.

Selain itu, mangsa yang kini berada di negara kelahirannya memberitahu, dia turut dibelasah dengan hos paip ketika berada dalam depot tahanan imigresen.


Berikutan itu, MyWatch menggesa agar kejadian ini disiasat sewajarnya dan pegawai wanita tersebut dipecat kerana melanggar SOP dan mencemarkan nama baik badan berkuasa itu.

MyWatch turut memaklumkan mereka bersedia memanggil semula mangsa untuk menyiasat hal itu.

Dalam pada itu, MyWatch juga mempersoalkan tentang jumlah wang yang dicatat dalam resit rasmi bayaran kompaun tidak sama dengan jumlah yang dibayar majikan tersebut.

Oleh itu, MyWatch berharap Ketua Pengarah Imigresen tampil segera menjawab isu ini. – Mynewshub

No comments