Terkini

Video: Penyanyi Dangdut Maut Dipatuk Ular Tedung Ketika Pertunjukan

JAKARTA: Seorang penyanyi dangdut di Indonesia yang sering bermain dengan ular berbisa ketika persembahan pentasnya maut selepas dipatuk ular tedung.



Irma Bule, 29, ketika kejadian sedang menghibur para tetamu di satu majlis keraian di Desa Lemahabang, Karawang di Jawa Barat kelmarin, lapor portal Merdeka.com.

“Ketika pertengahan lagu kedua, Irma terpijak ekor ular. Ular itu langsung mematuk paha Irma,” seorang saksi Ferlando Octavion Auzora memberitahu portal itu semalam.

Irma sudah dua tahun melibatkan ular, termasuk ular sawa, dalam persembahan dangdut, hiburan nasional yang popular di serata republik itu.


Video-video persembahan Irma, atau Irmawaty, yang dirakam di YouTube menunjukkan ular-ular itu diletakkan di badannya dan juga dibiarkan merayap di lantai pentas.

Irma Bule

Ferlando menambah, Irma meneruskan nyanyian walau terkena patukan, malah sewaktu pawang ular menawar untuk mengubatinya, Irma menolak kerana percaya tiada kesan buruk.

“Kira-kira 45 minit habis dipatuk, kesannya baru terasa. Dia muntah-muntah, kejang-kejang, badan kaku,” kata saksi itu lagi seperti dilaporkan.

Irma kemudian dikejarkan ke Rumah Sakit Intan Barokah, namun tidak dapat diselamatkan.



Polis sedang menyiasat bagaimana ular tedung itu, yang dikatakan sudah dibuang bisanya, masih mengandungi racun, lapor portal Detik.com hari ini.

Ketua polis daerah itu M Dicky Gading Pastika berkata pihaknya telah mengambil keterangan daripada mereka yang berada di lokasi kejadian.

Selain mencari pemilik ular berbisa itu, polis juga ingin mengetahui kenapa ular tersebut masih memiliki bisa, katanya.

Irmawaty sering berambut perang, maka beliau digelar “bule”, slanga Indonesia yang serupa maksudnya dengan “mat saleh” di Malaysia.

Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:


No comments