Zakir Naik: ASWAJA Ancam Saman Mufti Perlis

Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA) mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.


Zakir Naik: ASWAJA Ancam Saman Mufti Perlis

ASWAJA dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia dibuat berikutan tuduhan Mohd Asri yang memfitnah pertubuhan itu membantah kemasukan Penceramah Dr Zakir Naik ke negara ini.

“ASWAJA berasa jelik dengan taktik dan sikap Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin yang berterusan bukan saja mencetuskan kontroversi, malah, menimbulkan fitnah terhadap pertubuhan ini apabila ASWAJA dikatakan menjadi penentang kepada kedatangan pendakwah bebas Dr Zakir Naik ke negara ini.

“Sebagai seorang Mufti yang berakhlak, beliau sepatutnya menjaga tutur kata dan mengemukakan bukti apabila melontarkan sebarang tuduhan. Apatah lagi menyamakan ASWAJA yang memperjuangkan Islam dengan Hindraf.

“Di manakah akhlak seorang Mufti yang ‘suci’ ini apabila menyamakan pertubuhan Islam dengan pertubuhan jelas ditunjangi bukan Islam. Apakah ini Islam yang diamalkan Asri? Apakah Islam mengajar umatnya berkelakuan sebegini apatah lagi dari seorang Mufti,” kata kenyataan itu.


ASWAJA turut meminta Dr Asri untuk mengemukakan bukti berhubung sebarang bantahan yang dibuat pertubuhan itu terhadap Zakir untuk masuk ke negara ini.

“Jangan melontarkan tuduhan tanpa mengemukakan bukti dan membawa mulut tanpa menyelidiknya kerana itu adalah perbuatan orang yang fasik. Kita sememangnya faham dengan permainan Mufti yang berlagak ‘suci’ dan ‘mulia’ini.

“Mengaitkan kedatangan Zakir Naik dengan ASWAJA adalah untuk mengheret orang ramai membenci dan mengkritik ASWAJA tanpa hujung pangkal. Sedangkan apa yang disebarkan oleh Mufti siber itu adalah sekadar tuduhan serta tohmahan tanpa sebarang bukti dan asas kukuh.

“ASWAJA tidak terkesan dengan cara Asri dalam usaha memburukkan imej ASWAJA. ASWAJA sememangnya faham dengan rentak Asri yang mengambil kesempatan terhadap populariti Zakir Naik bagi memburukkan ASWAJA yang sememangnya pertubuhan tidak disenangi Mufti Perlis itu,” katanya.

Pertubuhan itu dalam pada masa sama turut menggesa agar Mohd Asri bertaubat dan berasa malu dengan kedudukannya sebagai Mufti sebelum menyebarkan fitnah dan tuduhan.

“Ingatlah Allah sentiasa memerhati kita, jangan lakukan sesuatu yang boleh mengundang kemurkaan,” ujarnya.

Semalam, Mohd Asri menerusi Facebooknya mendakwa ASWAJA senada dengan kumpulan hindu Hindraf apabila mempertikaikan kemasukan Zakir ke negara ini.

Asri turut mendakwa bahawa ASWAJA mempertikai pegangan agama Zakir seiras dengan nada Hindraf. – FMT
------------
Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments