21 "Keldai Dadah" Rakyat Malaysia Berdepan Hukuman Mati Di Thailand

BANGKOK - Kesemua 21 rakyat Malaysia, yang ditangkap di Thailand baru-baru ini kerana disyaki menjadi 'keldai dadah', boleh dikenakan hukuman mati jika disabitkan kesalahan mengikut Akta Narkotik Thailand kerana memiliki dan menjual Bahan Kategori 1.


21 "Keldai Dadah" Rakyat Malaysia Berdepan Hukuman Mati Di Thailand
Gambar fail suspek-suspek yang ditangkap berkaitan dengan dadah pada Mac lalu.
Menurut seorang pegawai polis Thailand, siasatan berhubung kes itu sedang dijalankan dan setakat ini sudah selesai antara 60 dan 70 peratus.

"Suspek boleh dikenakan hukuman mati berikutan sejumlah besar methamphetamine ('ice') dan heroin yang dirampas daripada mereka.

Polis memperoleh bukti kukuh terhadap mereka.

"Walaupun ada kemungkian mereka dikenakan hukuman maksimum iatu hukuman mati mengikut tuduhan yang ditetapkan, tetapi mahkamah Thailand jarang menjatuhi hukuman itu dan lebih suka mengenakan hukuman penjara jangka panjang," katanya dalam wawancara melalui telefon dengan Bernama pada Ahad.

Pada 23 dan 24 Mac, rakyat Malaysia terbabit daripada dua kumpulan terdiri 15 dan enam lelaki, ditangkap Polis Kereta Api Thailand di empat stesen kereta api dan dalam sebuah van penumpang.

Sebanyak 226kg methamphetamine dan lapan kilogram heroin yang diisi di dalam beg dirampas daripada mereka.

Kereta api yang mereka naiki dijadual menuju ke Butterworth dari Hualamphong, Bangkok.


Polis Thailand menyifatkan rampasan dadah itu sebagai antara yang terbesar jumlahnya dalam tempoh terkini, yang boleh mencecah harga kira-kira RM400 juta di Eropah.

Pegawai polis itu juga berkata berdasarkan maklumat yang diperoleh, terdapat hubungan antara suspek dengan seorang pengedar dadah utama, tetapi beliau enggan menjelaskan kewarganegaraan pengedar itu.

Dalam wawancara dengan Bernama sebelum ini, Kol Polis Puttidej Bunkrapuedari polis Kereta Api Thailand berkata siasatan menunjukkan bahawa cubaan untuk menyeludup dadah oleh 21 rakyat Malaysia itu didalangi tiga lelaki.

Kesemua suspek kini ditahan di Institusi Koreksional Pusat bagi Penagih Dadah Bangkok.- Bernama.
---------------
Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments