Terkini

Dron Bantu Operasi SAR Heli Terhempas Di Batang Lupar

Sri Aman – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa keenam dan terakhir nahas helikopter di Batang Lupar turut dilakukan menggunakan teknologi dron hari ini.


Dron Bantu Operasi SAR Heli Terhempas Di Batang Lupar

Mangsa yang masih hilang ialah juruterbang warga Filipina, Kapten Rudolf Rex Ragas.

Dua petugas Unit Dron, Perkhidmatan Maklum Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 Telekom Malaysia, telah didatangkan khas dari Kuala Lumpur bagi membantu membuat pemantauan udara.

Seorang pengendali dron berkenaan, Shaiful Zamri Masri, 42, berkata dua model dron iaitu Phantom 4 dan Inspire 1 digunakan untuk tujuan membantu operasi pencarian.

Alat itu masing-masing mampu terbang selama 20 minit dengan jarak sehingga lima kilometer dan ketinggian sehingga 122 meter, katanya di pusat operasi SAR Lingga.



“Dua dron ini akan mengambil gambar dan juga video. Jika ada sebarang penemuan kita akan maklumkan kepada pusat operasi SAR.

“Setiap data yang diperoleh akan dikongsi bersama pasukan SAR,” kata Shaiful Zamri yang berpengalaman membantu SAR ketika gempa bumi di Sabah tahun lepas.

Seorang lagi pengendali dron ialah Muhamad Afiq Sadali.

Mayat lima mangsa yang ditemukan susulan nahas pesawat Eurocopter AS350, Khamis lepas terdiri daripada Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon, suami Noriah, Asmuni Abdullah, dan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Dr Sundaran Annamalai.

Turut berada dalam pesawat malang itu ialah Anggota Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Ahmad Sobri Harun, pengawal peribadi Noriah. – Bernama

No comments