Terkini


Helikopter Terhempas: Mesej Terakhir Ahmad Sobri

Kuala Nerus – “Sdap ape..xsedap..(sedap apa..tak sedap)”. Ia adalah posting WhatsApp terakhir Ahmad Sobri Haron, 26, yang turut berada di dalam helikopter yang nahas di Sarawak, kepada anggota keluarganya apabila diusik bahawa beliau akan seronok dapat menaiki helikopter.



Kiriman dihantar beliau pada jam 2.15 petang semalam itu, mendapat reaksi adik-beradiknya yang lain, dan ada mendoakan supaya beliau selamat mendarat, namun tiada sebarang balasan daripada mangsa.

Adik bongsu Ahmad Sobri, Siti Noriah, 22, berkata abangnya yang dipanggil Abang Cik itu, baru sahaja pulang ke kampung pada hujung April lalu dan sempat membawa kedua ibu bapa mereka bercuti di Cameron Highlands.

“Abang Cik (Ahmad Sobri) seorang yang penyayang. Saya berdoa agar abang cik selamat,” katanya dalam nada hiba ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Bukit Cempedak di sini.

Siti Noriah berkata, Ahmad Sobri yang masih bujang, amat meminati kerjaya sebagai anggota polis dan mula menjadi pengawal peribadi sejak tiga tahun lepas.


Katanya Ahmad Sobri menamatkan latihan polis pada 28 Disember 2012.

Beliau adalah pengawal peribadi kepada Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon.

Siti Noriah berkata keluarganya hanya menyedari berlaku nahas membabitkan anak keempat daripada lima beradik itu, menerusi televisyen malam tadi.

“Mak dan ayah serta dua adik beradik lain telah ke Kuching. Mak dan ayah keluar dari sini sejak 12 tengah hari tadi dan kedua beradik lain akan tunggu di KLIA,” katanya, yang turut menunjukkan gambar kiriman Ahmad Sobri menerusi WhatsApp sekitar jam 11.50 pagi semalam.

Gambar berkenaan menunjukkan Ahmad Sobri sedang ‘berselfie’ bersama seorang lagi di dalam sebuah helikopter.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman berharap Ahmad Sobri terselamat dan keluarganya tabah menerima dugaan berkenaan. – Bernama

No comments