Helikopter Terhempas: Rohani Sahkan Mayat Dijumpai Noriah Kasnon

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim mengesahkan mayat wanita yang djumpai selepas helikopter yang dalam penerbangan dari Betong ke Kuching, terhempas, semalam adalah Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon.


Helikopter Terhempas: Rohani Sahkan Mayat Dijumpai Noriah Kasnon
Rohani terharu ketika menyambut ketibaan jenazah Noriah di padang IPK Sarawak di Kuching, sebentar tadi.

Rohani yang memuat naik status terkini dalam laman Facebooknya memberitahu bahawa beliau kini berada di Ibu Pejabat Polis Kontingen Sarawak untuk menyambut jenazah Noriah.

“Saya sekarang berada di IPK Sarawak untuk menyambut jenazah adik saya YB Noriah yang merupakan mangsa pertama eksiden Helikopter,” katanya dalam status Facebooknya hari ini.

BACA: Nahas Helikopter: Mayat Wanita Ditemui Di Kawasan Serpihan

Tengah hari tadi, Pengarah Bomba Sarawak, Nor Hisham Mohamad telah mengesahkan penemuan seorang mayat wanita dipercayai salah seorang mangsa nahas helikopter.

Mayat mangsa pertama itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.

Hubungan terakhir yang dibuat juruterbang helikopter membawa seorang timbalan menteri dan empat lagi penumpang semalam ialah pada 4.15 petang, tiga minit setelah berlepas.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (DCA) Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata juruterbang itu memberitahu bahawa mereka dijangka akan berada di kawasan Simunjan dalam masa kira-kira 20 minit setelah berlepas pada pukul 4.12 petang.

“Pengawal trafik udara Simunjan cuba menghubungi pesawat itu pada 4.28 petang tetapi tiada respons. Beberapa lagi cubaan dilakukan untuk menghubungi helikopter itu pada 4.29 petang, 4.39 petang dan 4.56 petang.



“Tetapi masih tiada respons daripada helikopter berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Turut berada di dalam pesawat itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai, Pengawal Peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun, suami Noriah, Asmuni Abdullah, Anggota Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas.

Antara serpihan helikopter yang telah ditemui setakat ini adalah alat pemutar, sebuah kerusi, sebahagian pintu pesawat, bilah rotor dan sebahagian dinding helikopter.

No comments