Ibu Dakwa Suntikan Hospital Punca Betis Anak Membengkak, Mengelupas

Seorang ibu mendakwa bayi lelakinya kini menderita selepas betis kanannya bertukar kehitam-hitaman dipercayai akibat salah suntik di sebuah hospital di Alor Setar, dekat sini bulan lepas.


Ibu Dakwa Suntikan Hospital Punca Betis Anak Membengkak, Mengelupas

Norhayati Md. Ibrahim, 28, berkata, bayinya, Muhammad Fie­razs Asraf Mohd. Faizol yang kini berusia lima bulan dimasukkan ke wad hospital tersebut kerana mengalami batuk teruk dan asma pada 1 Mac lalu.

“Pada hari sama, anak saya disuntik pada kaki untuk diambil darah dan bagi tujuan memasukkan air, namun pada keesokan harinya, betis kanan anak saya membengkak selain mempunyai banyak gelembung air.

“Anak saya kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama dengan daging pada bahagian betis mula bertukar kehitam-hitaman kira-kira dua minggu kemudian,” dakwanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sukamari, di sini hari ini.

Ibu Dakwa Suntikan Hospital Punca Betis Anak Membengkak, Mengelupas

Tambah suri rumah itu, Muhammad Fierazs menjalani pembedahan membuang isi yang mati pada 28 Mac lalu dan ia ditampal dengan daging yang diambil daripada paha­nya pada 4 April lalu sebelum dibenarkan keluar pada 27 April lepas.

“Sehingga hari ini saya berasa hairan kenapa anak saya yang hanya menghidap batuk mendapat masalah lebih serius pada bahagian betisnya.

“Saya juga tidak dimaklumkan dengan jelas mengenai punca sebenar sehingga betis anak saya menggelembung seterusnya bertukar kehitam-hitaman,” katanya.

Tambahnya, dia dan suami, Mohd. Faizol Md. Dahlan, 30, bimbang kesan daripada kejadian itu akan menyebabkan anak bongsu daripada tiga beradik tersebut me­ngalami masalah untuk berjalan dengan sempurna.


Dalam pada itu, bapa Norhayati, Md. Ibrahim Sutan, 58, berkata, kos rawatan berjumlah RM464 ditanggung pihak hospital tersebut.

“Saya kecewa dengan apa yang berlaku terhadap cucu saya ini dan saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang selepas ini,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan berhubung perkara itu dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat. Sumber: Utusan Online

No comments