“Impian Saya Jadi Kenyataan, Terima Kasih Allah SWT” - Siti Nurhaliza

Impian Datuk Siti Nurhaliza Tarudin berjumpa dengan komposer muzik tersohor India, AR Rahman menjadi kenyataan apabila legenda muzik itu melawat penyanyi nombor satu negara itu di kediamannya semalam.


“Impian Saya Jadi Kenyataan, Terima Kasih Allah SWT” - Siti Nurhaliza


Siti Nurhaliza, 36, memuat naik beberapa keping gambar yang diambil bersama pemenang Oscar dan komposer ‘Jai Ho’ untuk filem ‘Slumdog Millionaire’ itu ke laman Facebook dan Instagramnya.

“Masya Allah…nak pengsan…idola muzik saya sudi datang ke rumah. AR Rahman. My dream came true (Impian saya jadi kenyataan)… Thank You Allah SWT (Terima kasih Allah SWT),” katanya dalam kedua-dua laman sosial itu.


Rahman berada di Malaysia susulan konsertnya yang berlangsung di Stadium Merdeka Sabtu lalu.

Dilaporkan dalam konsert yang diadakan kali kedua di Malaysia itu, maestro muzik itu telah menghiburkan 20,000 penonton dengan mempersembahkan lagu gubahannya yang terkenal sejak 1990-an hingga hit terkini yang didedikasikan untuk pemain bola sepak legenda dari Brazil, ‘Pele: Birth of a Legend’.

Siti Nurhaliza turut memberi sedikit bayangan mengenai perancangannya bersama komposer itu dalam dunia muzik pada masa hadapan sambil meminta peminat untuk mendoakannya.

“Music legend (Legenda muzik). Insya-Allah, akan ada perancangan seterusnya nanti, doakan ya,” katanya.

Penyanyi terkenal tanah air itu pernah merakam dan mempersembahkan lagu ciptaan Rahman berjudul ‘Nenje Ezhu’ untuk program International Superstar 2015 terbitan Astro, pada Ogos tahun lalu.

Rahman, 49, merupakan ikon muzik yang bukan sahaja terkenal di India tetapi di seluruh dunia dan pernah merangkul beberapa anugerah antarabangsa termasuk Oscar, Grammy, Golden Globe dan British Academy of Film and Television Arts (BAFTA). – BERNAMA

Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments