Terkini

Isteri Curang Upah Pembunuh Upahan Bunuh Suami

Sudahlah berlaku curang, seorang isteri tergamak pula mengupah pembunuh upahan bagi membunuh suaminya, selain merancang supaya kematian suaminya itu kelihatan seolah dilakukan oleh kumpulan militan Negara Islam (IS).


Isteri Curang Upah Pembunuh Upahan Bunuh Suami

Mahkamah di London memberitahu tertuduh, Nurten Taycur, 28, menawarkan sebanyak £5000 (lebih kurang RM29,076) kepada seorang polis pengintip bagi mengelar leher suaminya, Ercan Akan dan mengarahkan untuk menyembur tulisan “ISIS” di atas bumbung teksi mangsa, lapor The Sun, hari ini.

Taycur yang dilahirkan di Turki bagaimanapun ditahan selepas memberikan wang deposit sebanyak £1000 (RM5811) kepada ‘pembunuh upahan’ itu dan memberitahunya: “Saya tidak mahu dia (Ercan) terus hidup.

“Dalam budaya kami, kamu tidak boleh mempunyai teman lelaki tetapi saya telah curang kepada suami saya.

“Saya mahu dia mati… Saya mahu dia keluar dari hidup saya.”

Mahkamah turut memberitahu tertuduh memberikan sekeping gambar suaminya berukuran pasport dan menulis nombor pendaftaran kereta milik suaminya di belakang foto tersebut.


Empat hari kemudian Taycur menghantar mesej kepada “penyerang” bagi mengesahkan rancangan pembunuhan itu dengan berkata: “Bersedia untuk melaksanakan arahan.”

Rancangan pembunuhan tersebut bagaimanapun gagal dilaksanakan apabila dia ditahan dan pihak polis menemui wang berjumlah £4000 (RM23,255) yang dipercayai baki wang upahan di rumahnya di Hackney, timur London.

Sementara itu, suami tertuduh memberitahu polis bahawa dia tidak menyangka isterinya sanggup bertindak sedemikian.

“Saya tidak faham mengapa Nurten mahu saya dibunuh. Jika dia mahu berpisah, dia boleh melakukan mengikut cara biasa (perceraian),” kata Ercan dipetik sebagai berkata.

Taycur mengaku bersalah merancang pembunuhan suaminya dan mahkamah akan memutuskan hukuman terhadapnya pada perbicaraan 13 Mei nanti.

No comments