Terkini

Malaysia Rangkul Piala Johan Qari, Qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran

KUALA LUMPUR, Ahad – Peserta negara, Wan Ainuddin Hilmi Abdullah dan Nor Azrah Ayub muncul johan qari dan qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-58 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.


Malaysia Rangkul Piala Johan Qari, Qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran


Wan Ainuddin Hilmi berjaya memperoleh markah sebanyak 94.79 peratus, manakala Nor Azrah pula memperoleh markah 90.96 peratus bagi kategori qariah.

Kedua – dua Johan itu membawa pulang piala iringan, wang tunai RM40,000 dan kepingan emas bernilai RM70,000 manakala johan bagi kategori hafiz dan hafizah pula memperoleh piala iringan, wang tunai RM20,000 dan kepingan emas bernilai RM40,000.

Majlis penyampaian hadiah johan tilawah dan hafazan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom diiringi timbalannya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Othman Mahmood.

Pengerusi Jemaah Hakim, Datuk Othman Mustapha yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata, bagi kategori hafazan 30 juzuk, peserta mempersembahkan penyampaian dengan cemerlang serta memberi kesan mendalam kepada pendengar malah semua dapat menjawab soalan dengan baik.

Selain itu, beliau berkata, pada tahun ini berlaku peningkatan penyertaan iaitu keseluruhan sebanyak 92 peserta dari 57 negara berbanding 82 peserta dari 47 negara pada 2015.

“Daripada jumlah tersebut, 69 peserta berjaya melepasi tahap kelayakan saringan meliputi 38 peserta tilawah dan 31 lagi peserta bagi kategori hafazan.

“Menurut penelitian panel hakim bagi kategori tilawah, mutu bacaan peserta tahun ini amat baik. Kesemua peserta telah menunjukkan kesungguhan, kemampuan membaca al-Quran secara taranum yang membanggakan,” katanya.

Dalam majlis sama, tokoh agama, Tan Sri Hassan Azhari dikurniakan Anugerah Khas Tokoh Al-Quran yang julung-julung kali diwujudkan berikutan sumbangan dan jasa bakti beliau selama 55 tahun berkhidmat dalam penganjuran majlis tilawah peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

No comments