Memeranjatkan! Ada Remaja Tidak Tahu Boleh Hamil Kerana Seks

Pengetahuan tentang kesihatan seksual dan pembiakan (SRH) dalam kalangan remaja Malaysia kekal rendah dan mereka terus jahil tantang banyak aspek seks serta kehamilan.



Tinjauan yang dijalankan Perspective Strategies Sdn Bhd terhadap 1,071 responden antara usia 18-29, pelbagai kaum dan di seluruh negara mendapati ramai yang tidak mempunyai cukup pengetahuan mengenai fungsi tubuh badan mereka.

Oleh itu, tidak memeranjatkan apabila seorang responden berkata ada kawannya yang tidak tahu mereka boleh hamil sekiranya melakukan seks.

Sementara itu, 71% daripada responden perempuan berkata mereka boleh hamil ketika datang haid.

Kajian itu juga mendedahkan 10% daripada responden tidak mahu diuji dan dirawat terhadap kemungkinan terdedah kepada jangkitan bawaan seksual (STI) kerana bimbang dipulau kerana percaya ia sesuatu yang ‘mengaibkan’.

Tinjauan ini yang disokong Durex Malaysia, jenama terkemuka dalam pengeluaran kondom Reckitt Benckiser, memberi data yang bernilai untuk memudahkan perbincangan dalam kalangan pihak yang berkepentingan bagi menghasilkan program yang bersesuaian.


Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datin Paduka Chew Mei Fun yang hadir pada majlis pembentangan hasil kajian itu berkata isu SRH tidak lagi boleh dipinggirkan.

Ia seharusnya dibincangkan secara meluas kerana ia memberi kesan kepada golongan remaja di negara ini.

Rakyat Malaysia jahil?

“Ramai anak muda yang tidak peka dengan isu berkaitan SRH berdasarkan kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Contohnya, hanya 39.5% mempunyai pengetahuan bagaimana bayi dilahirkan dan 45.5% saja yang tahu apa dia rahim.

“Hasil kajian LPPKN juga mendapati 4.8% rakyat Malaysia antara umur 13-24 pernah melakukan hubungan kelamin sementara lebih daripada satu pertiga (35.3%) terdedah kepada pornografi kebanyakannya menerusi Internet (60.8%),” katanya.

Ketika subjek SRH masih dianggap larangan ‘taboo’, tidak dapat dinafikan remaja semuda 10 tahun melakukan hubungan seks. Untuk itu, ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk mendidik anak mereka mengenai kesihatan seksual.

Dengan menjadikannya sebagai keutamaan, Chew dalam ucapannya berkata LPPKN memperkenalkan program Parenting@Work.

Katanya, program itu menjadikan keibubapaan sebagai teras dengan fokus memberi sokongan kepada keluarga secara keseluruhannya daripada hanya bertumpu kepada golongan remaja semata-mata.

“Ibu bapa memainkan peranan penting. Oleh yang demikian, menerusi program ini kami mendidik ibu bapa mengenai cara untuk bercakap dengan anak mereka tentang keseksualan,” kata Chew.

Mitos seksual rakyat Malaysia

Sementara itu, tinjauan Perspective Strategies juga menunjukkan 35% lagi responden tidak percaya orang perempuan boleh hamil sewaktu pertama kali melakukan hubungan seks.

Sementara itu, seorang daripada 10 orang berkata mencuci faraj selepas melakukan hubungan seks boleh mencegah kehamilan.

Tinjauan itu juga mendedahkan 11% daripada anak muda Malaysia yang aktif melakukan hubungan seks pernah mengalami STI.

Didapati juga hampir satu perempat (24%) daripada mereka tidak mendapatkan rawatan.

Tinjauan itu juga mendapati 19% anak muda Malaysia beranggapan menggunakan dua kondom pada satu-satu masa memberi lebih perlindungan.

Ketika bercakap pada majlis itu, pengarah urusan Perspective Strategies, Andy See berkata hakikatnya menggunakan dua kondom ketika melakukan kegiatan seks boleh menyebabkan kondom itu pecah akibat geseran.

Keadaan itu, katanya akan menjadikan risiko STI lebih tinggi dan berlaku kehamilan yang tidak dirancang.

“Sementara itu 25% lagi responden berpendapat tidak memerlukan perlindungan apabila kedua-dua pihak saling percaya mempercayai.

“Bagaimanapun, terdapat keperluan untuk mendidik masyarakat bahawa dalam apa juga kegiatan seksual, soal percaya mempercayai bukan isu tetapi yang lebih penting berada dalam keadaan selamat,” katanya. – BERNAMA

Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:



No comments