Mia Ahmad Bersedia Menamatkan Zaman Bujang Dengan Penjaga Gol JDT

Pelakon yang memenangi dua kategori Anugerah Pilihan Online 2016 iaitu Mia Ahmad mengulangi penjelasannya bahawa hubungannya dengan penjaga gol JDT iaitu Mohd Izham Tarmizi Roslan masih di peringkat berkawan.


Mia Ahmad Bersedia Menamatkan Zaman Bujang Dengan Penjaga Gol JDT

Mia atau nama sebenarnya Shamiha Ahmad Baderi, 27, berkata, dia sering ditanya tentang perkara itu sejak kebelakangan ini dan lebih selesa mengatakan hubungan mereka masih dalam proses saling kenal mengenali antara satu sama lain dan belum sampai di tahap hubungan bercinta.

“Apa yang boleh saya katakan di sini, kami dalam proses berkawan dan belum sampai di tahap bercinta seperti yang digembar-gemburkan. Benar kami pernah dilihat keluar bersama termasuklah kisah kejutan di majlis ulang tahun kelahiran saya yang lalu tetapi kami tidak berdua, sebaliknya ditemani beberapa teman lain.

“Sejujurnya saya mengenalinya sudah hampir setahun. Di peringkat awal perkenalan, saya tidak pernah tahu pun dia terlibat untuk pasukan JDT sehinggalah dimaklumkan rakan-rakan. Rasanya eshingga hari ini kami berjumpa tidak sampai lima kali. Jadi bagaimana boleh timbul isu bercinta?” soalnya sambil ketawa kecil.

Mia berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran wajah kempen OLIcandy Premium Editon di Berjaya Times Square, di sini, Khamis.

Dalam perkembangan yang sama, Mia mengakui dia kini sudah bersedia untuk melalui alam rumah tangga seandainya menemui lelaki yang mampu memikat hatinya dalam waktu terdekat.


Hal ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Mia sebelum ini yang menetapkan sasaran untuk mengakhiri zaman bujangnya pada usia 26 tahun.

“Nampaknya target tu tak mengena dan kini saya lebih senang serahkannya pada takdir dan jodoh. Tambahan pula ibu dan ayah pun sudah mula sibuk bertanya soal itu dan hal ini sedikit-sebanyak merimaskan juga sebab calon pun belum jumpa,” ujar anak ketiga daripada empat beradik ini.

Menjawab persoalan mengenai kriteria lelaki yang menjadi pilihan hatinya, Mia hanya memberi satu syarat utama di mana dia mahukan seorang lelaki yang tahu menjaga solat lima waktu tanpa memikirkan soal usia.

Mengenai pemilihannya sebagai wajah kempen untuk tablet kecantikan OlIcandy Premium Edition, kata Mia awalnya dia berseloroh kepada pengasas produk tersebut iaitu Puteri Zarith agar menajanya menggunakan produk berkenaan.

“Tak sangka pula gurauan itu membuatkan beliau melamar saya sebagai wajah kempen untuk produk tersebut selama empat bulan. Tiga minggu diberi peluang mencuba tablet ini, memang saya dapat rasa keberkesanannya. Kulit bertambah cerah dan glowing selain semakin bertenaga.

“Apa yang dapat saya katakan di sini, Olicandy amat sesuai untuk wanita yang sentiasa sibuk dan tiada masa memikirkan soal kecantikan. Dengan tablet ini anda hanya perlu kunyah dan rasai kesannya seawal seminggu,” katanya.

Mia Ahmad sebelum ini pernah memenangi dua kategori untuk Anugerah Pilihan Online 2016 iaitu Pelakon Wanita Terbaik Pilihan Online dan Wanita Anggun Pilihan Dnars.

Nama Mia mula popular setelah lakonannya bersama aktor Shaharul Ridzuan menerusi drama Hati Perempuan mendapat sambutan baik penonton.

Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments