Pencegah Maksiat Palsu Ugut Mangsa, Minta Bayaran Elak Hukuman

PASIR PUTEH - Sekumpulan individu dikesan menyamar sebagai penguat kuasa agama atau pegawai pencegah maksiat dengan mengugut pasangan disyaki berkhalwat di kawasan peranginan popular di sini.


Pencegah Maksiat Palsu Ugut Mangsa, Minta Bayaran Elak Hukuman

Sinar Harian melaporkan Pejabat Agama Pasir Puteh mula menerima aduan orang ramai berhubung kegiatan individu yang meminta wang kepada pasangan, jika enggan dikenakan denda lebih tinggi.

Penolong Penguat kuasa Agama Pasir Puteh Abdullah Hamat berkata biasanya kumpulan individu terbabit mendatangi pasangan yang disyaki berkhalwat sebelum memperkenalkan diri sebagai penguatkuasa agama dengan menunjukkan kad kuasa palsu.

“Mereka mengugut mangsa dengan mengatakan akan dikenakan denda sangat tinggi atas kesalahan dilakukan dan meminta pasangan terbabit membayar sejumlah wang bagi mengelak denda sebenar,” katanya kepada Sinar Harian.


Kegiatan kumpulan individu terbabit dikatakan tertumpu di kawasan peranginan seperti Jeram Pasu, Jeram Mengaji, Pantai Bisikan Bayu dan Pantai Tok Bali.

Abdullah berkata ada juga individu terbabit mengambil kesempatan mencuri barang berharga daripada pasangan atau merakam ‘adegan panas’ mangsa untuk kepuasan sendiri.

Sehubungan itu, katanya orang ramai perlu berhati-hati dan mendesak individu terbabit menunjukkan kad kuasa yang sah.

“Perbuatan penyamaran seperti ini memburukkan imej pejabat agama kerana kami menjalankan tugas mengikut peraturan ditetapkan. Orang ramai termasuk golongan remaja juga dinasihatkan menjauhi perbuatan maksiat,” katanya.

Orang ramai yang berdepan kes berkenaan boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Bahagian Penguatkuasa Agama di talian 09-7866877.

Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments