Terkini

Penumpang AirAsia 'Mengamuk' Penerbangan Batal Saat Akhir

SEPANG: Beberapa penumpang syarikat penerbangan tambang murah AirAsia meluahkan kekecewaan di media sosial selepas beberapa penerbangan dibatalkan pada saat akhir.


Penumpang AirAsia 'Mengamuk' Penerbangan Batal Saat Akhir

Antara penerbangan yang dibatalkan ialah AK6448 ke Kota Bharu, AK5134 (KL-Kota Kinabalu), AK11 (KL-Chennai), AK174 (KL-Changsha), dan AK931 (KL-Medan).

Menurut beberapa penumpang, mereka diberi notis bercetak yang menjelaskan penerbangan dibatalkan atas ‘sebab-sebab operasi’.

Perkara itu menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan penumpang terutamanya bagi yang terpaksa bermalam di lapangan terbang akibat pembatalan tersebut.

Mahu pulang ke pangkuan suami yang sakit, namun terkandas

Demikian kisah yang dikongsi oleh Mahirah Munatul Maknun mengenai pembantu rumahnya, Yuni yang dijadualkan pulang ke Medan pada Sabtu namun penerbangan dibatalkan.

Dia berjaya mendapatkan penerbangan untuk Yuni pada pagi Ahad namun penerbangan dibatalkan buat kali kedua.


Keluarga Yuni yang bertungkus-lumus menyewa kereta dan memandu empat jam ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu untuk menyambut ketibaannya terpaksa berpatah balik.

Lebih menghibakan, suami Yuni yang menghidap kencing manis terpaksa menangguhkan hasrat untuk menemui isteri tercinta.

“Saya mahu AirAsia pulangkan semula bayaran dan saya tidak akan terbang dengan mereka lagi,” tegas Mahirah ketika ditemubual Astro AWANI.

"Kami berlari beramai-ramai ke kaunter untuk penjelasan"

Seorang lagi penumpang, Norhaslinda Sofian pula berkongsi pengalamannya bersama penumpang lain yang hanya diberitahu mengenai pembatalan penerbangan ketika mereka menunggu di balai berlepas.

“Mereka (AirAsia) minta kami ke kaunter untuk dapatkan penjelasan. Rupanya salah umum. Jadi kami terpaksa berpusu-pusu ke kaunter lain pula. Ini Hari Pekerja, waktu lain susah dapat cuti. Jadi ramai yang beli tiket,” tambah Norhaslinda.

AirAsia mohon maaf

Sementara itu, AirAsia melalui laman Facebook rasmi hari ini memohon maaf atas gangguan penerbangan dan berusaha untuk memulihkan semula operasi mereka. - AwaniNews

No comments