Terkini


Percaya Sangat Batu Ajaib, Barang Kemas Wanita RM50,000.00 Lesap

BESUT — Seorang peniaga wanita berputih mata apabila bukan hanya hilang barang kemas bernilai RM50,000, malah batu permata yang diharap mampu melariskan perniagaannya hanyalah batu dan pasir sahaja.


Percaya Sangat Batu Ajaib, Barang Kemas Wanita RM50,000.00 Lesap
Keratan akhbar menunjukkan gambar daun kering dan batu kuning, yang didakwa ajaib dalam kes tipu
Ketua polis daerah Besut Supt. Mohd Zamri Mohd Rowi berkata dalam kejadian pukul 11.20 pagi di Pekan Sehari Kampung Renek, dekat Jerteh, Sabtu lepas, mangsa yang berusia 53 tahun, didatangi dua lelaki yang berpura-pura mencari rumah seorang yang bernama “Haji Hamid”.

Katanya, selepas mangsa memberitahu tidak mengenali lelaki yang dicari mereka, seorang daripada suspek menunjukkan dua batu permata yang didakwa boleh mengubat pelbagai jenis penyakit serta melariskan perniagaan.

“Suspek seterusnya meminta wang kertas RM1 daripada mangsa untuk membungkus batu permata itu dan memberitahu mangsa yang beliau tidak boleh menggunakan batu permata itu jika memakai barang kemas pada badannya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Mangsa yang tertarik dengan tawaran suspek telah diberikan sampul surat untuk dimasukkan semua barang kemas yang dipakainya.

“Suspek kemudian mengarahkan mangsa berjalan 10 langkah ke hadapan dan menasihatinya mengambil wuduk sebelum memakai semula barang kemasnya yang didakwa suspek telah dimasukkan ke dalam sampul surat berkenaan bersama batu permata itu.

“Barang kemas kepunyaan mangsa ialah dua gelang tangan emas, dua rantai emas bersama loket dan dua cincin emas yang kesemuanya bernilai RM50,000,” katanya.

Mohd Zamri berkata sebaik tiba di rumah, mangsa telah mengambil air sembahyang untuk memakai semula barang kemasnya tetapi terkejut apabila membuka sampul surat itu kerana hanya mengandungi batu dan pasir sahaja.

“Apabila menyedari telah tertipu, mangsa kemudiannya ke balai polis Jerteh untuk membuat laporan,” katanya.

Mohd Zamri berkata polis masih meneruskan siasatan bagi mengesan suspek dan setakat ini tiada tangkapan dibuat. — Bernama.

Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments