Perintah Gaji Minimum 2016 Berkuat Kuasa Mulai 1 Julai

Tarikh kuat kuasa Perintah Gaji Minimum 2016 (PGM 2016) adalah mulai 1 Julai ini ke atas semua majikan tanpa mengira bilangan pekerja.Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot, berkata PGM 2016 mengekalkan pemakaiannya kepada semua pekerja di sektor swasta kecuali perkhidmatan domestik seperti terkandung dalam PGM 2012.


Perintah Gaji Minimum 2016 Berkuat Kuasa Mulai 1 Julai

Katanya, melalui PGM 2016, kadar gaji minimum bulanan ditetapkan RM1,000 sebulan atau RM4.81 sejam bagi Semenanjung Malaysia dan RM920 sebulan atau RM4.42 sejam bagi Sabah, Sarawak serta Labuan.

Beliau berkata, bagi gaji minimum harian pula ia tertakluk kepada jumlah jam bekerja maksimum seminggu iaitu 48 jam.

“Untuk Semenanjung Malaysia, bagi enam hari bekerja dalam seminggu, kadar gaji minimum harian adalah RM38.46, lima hari/seminggu, RM46.15 dan empat hari/seminggu, RM57.69.


“Bagi Sabah, Sarawak dan Labuan pula, untuk enam hari bekerja dalam seminggu, gaji minimum harian adalah RM35.38, lima hari/seminggu, RM42.46 dan empat hari/seminggu, RM53.08,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, mengikut PGM 2016, gaji pekerja yang tidak dibayar gaji pokok tetapi dibayar berdasarkan upah mengikut kerja, berat tan, tugasan, perjalanan atau komisen, kadar gaji bulanan perlu dibayar kepada mereka perlu tidak kurang daripada RM1,000 di Semenanjung Malaysia atau RM920 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Beliau berkata, dalam menetapkan kadar gaji minimum baharu, kerajaan meneliti semua syor dikemukakan Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) dan mengambil pendekatan seimbang dan mempertimbangkan kepentingan kedua-dua pihak iaitu majikan serta pekerja.

“Pewartaan PGM 2016 membuktikan komitmen kerajaan melindungi kepentingan pekerja, selain tidak mengabaikan kepentingan majikan,” katanya.

Sumber: BH Online

No comments