Pesawat Gergasi Antonov An-225 Mriya Tiba Di Malaysia

SEPANG: Malaysia sekali lagi bertuah kerana menjadi satu-satunya negara anggota ASEAN menyambut ketibaan pesawat terbesar di dunia, Antonov An-225 Mriya, di sini hari ini.


Antonov An-225 Mriya

Pesawat kargo buatan Ukraine itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 8.30 pagi tadi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Rajiv Gandhi di Hyderabad, India untuk mengisi minyak.

KLIA merupakan hentian terakhir bagi pesawat itu mengisi minyak selepas ia berhenti di Prague, Turkmenbashi (Turkmenistan) dand Hyderabad selepas berlepas dari ‘kampung halamannya' di Kiev.

Pesawat gergasi itu terbang merentasi benua Eropah, Asia dan Oseania, dalam perjalanan bagi melaksanakan misi khas memandangkan ia membawa generator seberat 130 tan untuk dihantar ke Perth, Australia, esok.


Ketua juruterbang Antonov, Dmytrov memberitahu Bernama, pada ketika ini, ia merupakan pesawat terpanjang dan paling berat di dunia iaitu 84 meter panjang dan setinggi 18 meter, yang disifatkannya sama dengan bangunan lima tingkat, dilengkapi 32 tayar dan sayap sepanjang 88 meter.

Eksekutif Kanan Operasi kawasan lapangan terbang Malaysia Airports Berhad, M. Kathi berkata, ini kali kedua pesawat itu mendarat di KLIA selepas kemunculan buat pertama kali di sini pada 2007.

"Pada 2007, pesawat itu mendarat di KLIA dan membawa lima helikopter untuk Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA).


"Pesawat itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, namun malangnya apron lapangan terbang di sana tidak dapat menampung panjang sayap pesawat itu," katanya.

- BERNAMA

No comments