Tudung Neelofa Terlajak Laris, RM1.3 Juta Terjual Dalam Tiga Minit

Dua tahun menceburi perniagaan busana muslimah, Naelofar Hijab kini berbangga apabila hasil jualannya berada pada tahap begitu memberangsangkan. Pemiliknya Nor Neelofa Mohd Noor berkata hasil jualan yang tinggi dan pantas itu hasil kerja keras lebih 400 stokisnya dari dalam dan luar negara.


Tudung Neelofa Terlajak Laris, RM1.3 Juta Terjual Dalam Tiga Minit

“Setiap kali kami membuka pesanan saja, satu hingga lima minit akan habis dijual kepada stokis. Kadang kala ia mencecah RM1.2 juta hingga RM1.3 juta dalam masa tiga minit saja.

“Daripada situ kita boleh tengok kepercayaan orang dari segi kualiti dan harga yang kita tawar,” kata pelakon popular itu selepas pelancaran koleksi raya Naelofar Hijab di sini malam tadi.

Stokis Naelofar Hijab kini bukan saja di Malaysia malah di negara-negara luar seperti Brunei, Singapura, Indonesia, Amerika Syarikat dan Australia.

Sementara itu, pengarah urusan Naelofar Hijab mengumumkan koleksi tudung syarikat itu akan dijual di kota London pada hujung bulan depan.

Noor Nabila Mohd Noor berkata selain United Kingdom, jenama tudung itu akan dijual di Turki dan negara lain di Eropah hasil kerjasama dengan sebuah syarikat di Istanbul.

“Di London ada satu syarikat atas talian Haute Elan yang akan buka kedai di tengah kota raya itu. Naelofar Hijab satu-satunya produk tudung segera dari Malaysia yang akan dipasarkan.

Noor Nabila Mohd Noor.
Naelofar Hijab akan mempunyai wakil-wakil jualan di London dan Istanbul, kata pengarah urusannya Noor Nabila Mohd Noor.
“Sepuluh hingga 15 koleksi baharu akan dipasarkan. Kedai itu akan dilancarkan 27 Jun ini, jadi koleksi raya akan dibawa ke London.
“Di Istanbul, portal atas talian Moda Nisa mahu membawa jenama kami di Turki dan Eropah. Mereka juga akan buka 500 kedai di seluruh dunia tahun depan dan Naelofar Hijab berada di dalamnya,” kata kakak selebriti itu.

Neelofa, 27, berkata kerjasama baru itu terjalin hasil pertunjukan fesyen di London dan Istanbul awal bulan ini.

Tambahnya, Naelofar Hijab menerima sambutan luar biasa daripada pelanggan baharu di sana dan mereka teruja dengan rekaan tudung segera.

“Sangat luar biasa sebab mereka terkejut dengan koleksi kami. Mereka tidak biasa dengan tudung segera. Jadi bila kami persembahkan, mereka anggap ia ajaib dan automatik.

“Apa yang mereka pakai, tudung panjang yang perlu dililit dan banyak pin. Mereka tidak biasa melihat tudung berhias dan berkelipan. Mereka biasa dengan tudung kosong dan dililit sahaja.

“[Produk kami] ini baru bagi mereka dan satu inovasi dalam industri. Kita rasa Malaysia tertinggal tetapi tidak, kita maju dan moden berbanding mereka dari segi inovasi,” katanya.

Sumber: TheMalayMail

Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments