Latar Belakang Bangunan, Binaan Dan Monumen Bersejarah Di Malaysia

Bangunan- bangunan Bersejarah Di Malaysia Dari segi perkembangan sejarah negara, bangunan dan monumen lama dapat berfungsi sebagai bukti kepada sesuatu era atau peristiwa bersejarah. Ini adalah kerana segala peninggalan penjajah baik rumah besar, jambatan, menara jam dan kota dapat mengimbas kembali detik-detik sejarah negara yang pernah suatu masa dahulu dijajahi oleh pihak pendatang.


Bangunan-Bangunan, Binaan Dan Monumen Bersejarah Di Malaysia

Di Georgetown, Pulau Pinang, contohnya, terdapat berbagai bangunan kolonial dan monumen seperti Kota Cornwallis (1808), Masjid Kling (1801), Gereja St. George (1817), Muzium Negeri (1821) dan Menara Jam Victoria (1897) yang mana membuktikan berlakunya penjajahan awal pemerintahan British di semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke 18.

BANGUNAN SULTAN ABDUL SAMAD

Bangunan Sultan Abdul Samad bina bercirikan seni bina Moor direka bentu oleh arkitek British, Anthony C.Norman. Bangunan dua tingkat ini didirikan di atas kawasan seluas 10200 meter persegi dan tingginya ialah 57 meter. Di bawahnya terdapat tempat letak kereta untuk hakim-hakim dan pegawai –pegawai mahkamah. Ia mempunyai 3 kubah dan sebuah menara jam setinggi 40 meter.

BANGUNAN SULTAN ABDUL SAMAD, KUALA LUMPUR
BANGUNAN SULTAN ABDUL SAMAD, KUALA LUMPUR
Pengubahsuaian pada tahun 1978 mengambil masa enam tahun,menelan belanja sebanyak RM 17.2 juta ringgit. Di sini tempat di mana bendera Union Jack telah diturunkan pada 31 Ogos 1957 dan bendera Wilayah Persekutuan dikibarkan.

Tanda ini menunjukkan satu tanda berlalulah satu era dan lahirlah satu masyarakat yang merdeka. Nama bangunan ini diambil sempena nama Sultan Selangor yang memerintah ketika itu. Ia dirasmikan pada tahun 1896.

BANGUNAN STADHUYS

Bangunan Stadhuys yang dibina pada tahun 1650 sebagai kediaman rasmi Gabenor Belanda dan para pegawainya merupakan contoh terbaik gaya senibina Belanda ketika itu. Ianya dipercayai merupakan bangunan Belanda yang tertua di rantau Timur. Bangunan yang menggambarkan contoh terbaik senibina Belanda di zaman itu kini mengandungi Muzium Sejarah dan Muzium Etnografi.

BANGUNAN STADHUYS
BANGUNAN STADHUYS
Terdapat pameran pakaian pengantin tradisional serta bahan peninggalan sejarah Melaka 400 tahun yang lalu. Kedua-dua muzium ini diatur dengan baik dan memaparkan penerangan terperinci mengenai cara bagaimana pakaian-pakaian dan bahan-bahan peninggalan ini memainkan peranan di zaman dahulu.

BATU BERSURAT PADANG TARA, TERENGGANU

Batu Bersurat dijumpai di Padang Tara, di tepi Sungai Tara, Kampung Buloh, Kuala Berang di Daerah Hulu Terengganu pada tahun 1887. Kemudian pada tahun 1902, Batu Bersurat ini dijumpai pula oleh Husin Bin Ghulam Al-Bukhari, seorang ahli perniagaan di bahagian tangga surau Kampung Buloh. Batu Bersurat ini dijadikan alas membasuh kaki untuk naik ke tangga surat dan patah sebahagian di sebelah atas.


BATU BERSURAT PADANG TARA, TERENGGANU
BATU BERSURAT PADANG TARA, TERENGGANU
Batu Bersurat ini ditulis dengan tulisan jawi bertarikh 702 hijrah. Tulisan pada batu ini menerangkan Islam sebagai agama rasmi dan hukum-hukum Islam mengenai perbuatan maksiat dan kenyataan-kenyataan palsu beserta dengan hukuman mengikut taraf seseorang. Pada tahun 1923, Batu Bersurat ini dihantar ke Muzium Singapura sebagai pinjaman. Apabila Muzium Negara di Kuala Lumpur siap dibina, Batu Bersurat tersebut telah dibawa Ke Kuala Lumpur sebagai pinjaman dari Muzium Raffles Singapura. Pada 12 Febuari 1987, Kerajaan Negeri Terengganu telah menulis surat kepada Jabatan Muzium menyatakan hasrat untuk mendapatkan kembali Batu Bersurat untuk dijadikan bahan pameran di Muzium Negeri Terengganu. Pada tahun 1991, Jumaah Menteri telah memutuskan supaya Batu Bersurat dipulangkan kepada Kerajaan Terengganu.

BATU BERSURAT PADANG TARA, TERENGGANU
BATU BERSURAT PADANG TARA, TERENGGANU
Pada 6 Julai 1991, jam 9.30 pagi, suatu apacara penyerahan kembali Batu Bersurat kepada Kerajaan Negeri Terengganu telah berlangsung di Dewan Perjanjian, Tingkat 18, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. Kerajaan Persekutuan diwakili oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Encik Ismail Bin Adam dan Kerajaan Negeri Terengganu diwakili YAB. Dato’ Seri Amar DiRaja Tan Sri Haji Wan Mokhtar Bin Ahmad selaku Menteri Besar Terengganu ketika itu.

Batu Bersurat ini merupakan sebuah peringatan yang terawal yang dijumpai di Semenanjung Malaysia berkaitan dengan pengisytiharan Agama Islam sebagai agama rasmi dan Undang-undang Islam. Secara kesimpulannya, pemeliharaan bangunan bersejarah amat diperlukan supaya generasi muda dapat tahu tentang latar belakang penubuhan sesebuah negara. Kebanyakkan daripada tempat bersejarah ini merupakan tinggalan perang atau tinggalan agama pada suatu masa dahulu. Lebih-lebih lagi kedudukan Malaysia yang strategik menjadikan ianya satu tempat tumpuan pada masa dahulu.

LEMBAH BUJANG, KEDAH

Lembah Bujang adalah merupakan sebuah kawasan yang terkenal pada masa silam malah sejak awal kurun pertama masehi lagi. Faktor perdagangan yang berkembang pesat antara India dan China membantu memajukan kawasan ini yang merupakan laluan pintas melalui jalan air Sungai Merbok ke Kelantan dan ke Laut China Selatan. Kawasan ini juga sebagai tempat persinggahan yang penting bagi saudagar-saudagar India untuk ke negeri China dan sebaliknya.

LEMBAH BUJANG
LEMBAH BUJANG
Gunung Jerai terletak di kawasan ini merupakan pedoman penting bagi kapal-kapal perdagangan yang memasuki Sungai Merbok dalam kawasan Lembah Bujang. Di pinggir gunung yang tertinggi sekali di negeri Kedah ini terdapat banyak air terjun dan tempat-tempat yang sesuai bagi kediaman dan upacara keagamaan. Di sinilah membangunnya Lembah Bujang sebagai sebuah kawasan pusat perkembangan politik dan agama Hindu - Buddha pada masa dahulu.

Rentetan dari urutan peristiwa sejarah itulah Lembah Bujang hingga ke hari ini menjadi salah satu kawasan bersejarah yang penting dan dipelihara. Untuk itu pihak Jabatan Muzium telah berusaha menjalankan penyelidikan arkeologi dan carigali bagi membina semula kesan-kesan sejarah silam itu.

Di antara kesan-kesan sejarah di Lembah Bujang yang merangkumi kawasan seluas 224 km persegi itu ialah candi-candi dan artifak-artifak pemujaan dalam agama Hindu-Buddha. Beberapa buah candi telah dijumpai seperti Candi Pengkalan Bujang, Candi Bukit Batu Pahat, Candi Pendiat dan lain-lain.

Candi Batu Pahat misalnya dipercayai dibina dalam kurun Ke-6 Masehi. Penemuan ahli-ahli arkeologi menunjukkan candi-candi ini dibina dengan menggunakan batu-batu pejal. Sebanyak 50 buah tapak-tapak candi telah dijumpai di Lembah Bujang. Candi-candi tersebut dianggarkan dibina antara kurun Ke-4 hingga kurun Ke-12 masehi. Untuk memelihara kesan-kesan sejarah ini pihak Jabatan Muzium telah menubuhkan Muzium Arkeologi Lembah Bujang.


Muzium Arkeologi Lembah Bujang dibuka secara rasminya pada 23 Januari 1980 oleh DYMM Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah. Muzium yang terletak di atas Bukit Batu Pahat, Merbok ini dibina untuk menjalankan kerja-kerja penyelidikan dan ekskavasi arkeologi serta mempamerkan artifak-artifak protosejarah atau sejarah sebelum Islam dari tapak tanah bersejarah di Lembah Bujang. Kebanyakan di antara tapak-tapak Candi yang ditemui telah dibina semula di dalam kawasan Muzium ini. Candi ini dibina semula dengan batu-batu yang ditemui mengikut bentuk asalnya.

Artifak-artifak yang dipamerkan terdiri daripada bahan-bahan jumpaan semasa aktiviti carigali candi-candi dijalankan. Koleksi artifak yang terdapat di Muzium ini terdiri daripada bahan-bahan dagangan yang dibawa oleh pedagang-pedagang Arab, China, India serta pedagang-pedangang maritim tempatan di Kepulauan Melayu seperti seramik, manik-manik kaca dan rempah ratus.

Pengekalan kawasan Lembah Bujang ini penting dari sudut sejarah kebudayaan negeri Kedah Darul aman dan juga memberi peluang kepada para penyelidik mengkaji perihal berkaitan dengan perdagangan dan peradaban manusia pra Islam di Semanjung Malaysia

ISTANA LAMA SERI MENANTI

Seri Menanti adalah sebuah kawasan yang permai dengan tanah sawahnya menghijau dan bukit-bukit tersergam memagari sekitarnya. Keindahan kawasan ini telah menjadikannya satu kawasan petempatan dan pusat pemerintahan Raja-raja Negeri Sembilan pada masa silam. Istana-istana indah dengan ukiran-ukiran yang menarik didirikan di sini sebagai tempat bersemayam Yang di-Pertuan.

ISTANA LAMA SERI MENANTI
ISTANA LAMA SERI MENANTI
Salah satu daripada istana yang masih utuh sehingga ke hari ini ialah Istana Lama Seri Menanti. Istana ini penuh dengan keunikan dan keindahan yang juga digelar ikon keluarga Diraja Negeri Sembilan. Istana ini masih kukuh tersergam menyaksikan arus pembangunan dan memendam segala rahsia silam. Walaupun pembangunan pusat berlaku, tetapi ianya tetap dengan keaslian bentuknya sebagai sebuah istana yang menjadi lambang kebudayaan Melayu yang indah dan mempesonakan.

Seri Menanti dikatakan mendapat nama daripada tiga batang padi yang tumbuh di kawasan itu yang dinamakan Padi Menanti atau ‘semangat padi yang menanti'. Dalam bahasa Jawa, padi bererti `Seri', lalu ia diubah nama kepada Seri Menanti. Di kawasan tiga batang padi ini juga dikatakan Istana Seri Menanti didirikan.

Istana setinggi empat tingkat ini pelan asalnya telah direka oleh dua orang tukang Melayu bernama Kahar dan Taib. Tukang Kahar telah dianugerahkan gelaran Dato' Panglima Sultan oleh Tuanku Muhammad kerana khidmat beliau. Pelan istana ini telah diperincikan semula oleh Ketua Pelukis Pelan, Mr. Woodford dari Public Works Department Seremban dan telah diluluskan pada bulan November 1902 oleh Jurutera Negeri dan Residen British.

Istana Seri Menanti ini dibina bagi menggantikan Istana Pulih yang telah dibakar oleh askar-askar Inggeris semasa mengejar Yamtuan Antah ketika berlakunya peperangan Bukit Putus. Pembinaan istana ini bermula pada tahun 1902 dan siap pada tahun 1908. Belanja bagi pembinaan istana ini ialah sebanyak $45,000. Istiadat perasmian istana ini telah disempurnakan oleh DYMM Yang di-Pertuan Muhammad ibni Almarhum Yamtuan Antah.

Yang di-Pertuan Besar menginginkan reka bentuk istana yang menunjukkan dan mempunyai pertalian dengan alam Minangkabau, maka istana ini bukan sahaja sekadar menyerupai reka bentuk bangunannya tetapi juga dilengkapi dengan bahagian-bahagian yang melambangkan kekeluargaan, pendidikan, kesenian asli dan lain-lain yang mempunyai perkaitan yang erat dengan Minangkabau.

Reka bentuk Istana ini amat menarik sekali. Ianya mempunyai empat tingkat dengan setiap tingkat mempunyai bilik-bilik tertentu. Misalnya pada tingkat pertama istana ini terdapat empat bilik dan beranda sepanjang 160 kaki. Manakala tingkat keduanya pula mempunyai tiga bilik dan bilik-bilik itu didiami oleh kerabat-kerabat diraja. Pada tingkat ketiga dan keempat pula masing-masing mempunyai satu bilik. Tingkat ketiga adalah tempat kediaman Yamtuan Muhamad manakala tingkat keempat pula adalah tempat simpanan khazanah raja.

Mengikut Datuk Besar Meon, tidak ada sepucuk paku besi pun digunakan dalam pembinaan istana ini. Semuanya diperbuat daripada kayu dari tiang hinggalah ke atapnya dan binaannya ‘dipaku' dengan kayu yang dipanggil pasak.

Istana ini juga mempunyai tiang setinggi 19.9 meter (65 kaki) dengan empat batang tiang tengahnya setinggi 170 kaki tiada bersambung. Pada tiang-tiang ini juga diukir dengan ukiran-ukiran yang menarik dengan berbagai-bagai motif.

Empat batang tiang tengah istana ini yang sepanjang 170 kaki tiada bersambung itu diperbuat daripada kayu `Penak'. Kayu tersebut diambil daripada Bukit pergai di Jelebu; Kayu-kayu ini dibawa dengan kereta lembu ke Seri Menanti. Dikatakan juga bahawa setiap batang tiang 170 kaki itu ditarik oleh tiga buah kereta lembu.

Jumlah semua tiang yang menjadi penegak pada istana ini ialah sebanyak 99 batang yang melambangkan juak-juak hulubalang Negeri Sembilan yang seramai 99 orang. Mengikut sejarah pembinaan istana ini setiap orang juak dan hulu balang itu memegang satu tiang semasa hendak menegakkan istana tersebut. Sementara empat batang tiang tengahnya pula melambangkan empat orang besar istana (Orang Empat Istana).

Istana ini juga ditinggikan di bahagian hujung dan pangkal, manakala di bahagian tengahnya bermahligai tiga persada. Pada bahagian-bahagian istana ini juga diukir dengan ukiran-ukiran yang menarik dan bernilai tinggi. Ukiran-ukiran itu terdiri daripada berbagai motif yang menggambarkan kemahiran seni ukir orang-orang Melayu yang berdasarkan kepada alam sekitar sebagai bahan adunan dalam hasil ukirannya. Hasil ini juga melambangkan ketinggian budaya orang-orang Melayu.

Di antara bentuk-bentuk ukiran yang terdapat di istana ini adalah seperti bentuk lambai-lambai, awam berarak, bunga tampuk manggis, bunga semantung, gunung-gunung dan lain-lain. Ini menunjukkan bahawa hal-hal alamiah tanah mengilhami seni ukir orang-orang Melayu. Ini membuktikan kepekaan orang Melayu pada alam sekelilingnya. Oleh sebab itulah pada setiap ukiran di ruang dan anjung istana ini melambangkan kekayaan tatasusila dan kehalusan budi bahasa Melayu zaman lampau.

KOTA BELANDA (THE DUTCH FORT), PULAU PANGKOR

Kota yang dikenali sebagai Kota Belanda ini asalnya dibina oleh Belanda pada tahun 1670 sebagai gedung untuk menyimpan bijih timah yang diperolehi dari Negeri Perak. Kota ini terletak di sebuah teluk di Pulau Pangkor yang dikenali sebagai Kampung Teluk Gedung iaitu sebuah perkampungan nelayan pada masa itu.

KOTA BELANDA (THE DUTCH FORT), PULAU PANGKOR
KOTA BELANDA (THE DUTCH FORT), PULAU PANGKOR
Pembinaan Kota ini oleh Belanda mempunyai perkaitan rapat dengan tujuan kedatangan orang-orang Belanda ke Tanah Melayu pada permulaan abad Ke-17 Masihi. Pihak Belanda yang membuat hubungan baik dengan Perak telah berjaya dalam urusan perdagangan bijih timah. Syarikat Hindia Timur Belanda berjaya mendapat kuasa monopoli ke atas perdagangan bijih timah di Negeri Perak. Untuk itu orang-orang Belanda pernah mendirikan loji untuk menyimpan bijih timahnya pada tahun 1651 tetapi telah dimusnahkan oleh para pembesar Perak yang menentang dasar kuasa monopoli Belanda itu.

Berikutan dengan itu pada tahun 1670 satu perintah telah dikeluarkan dari Betawi, Pusat Pentadbiran Syarikat Hindia Timur Belanda supaya didirikan sebuah gedung yang diperbuat daripada kayu guna sebagai tempat simpanan bijih timah. Dengan itu terbinalah sebuah gedung di suatu tempat strategik iaitu di Kampung Teluk Gedung. Sepuluh tahun kemudian tembok gedung tersebut telah digantikan dengan batu-bata.

Tindakan Belanda memperkukuhkan gedungnya itu menimbulkan reaksi daripada orang-orang Melayu. Pada tahun 1690 orang-orang Melayu dibawah pimpinan Panglima Kulup telah membinasakan gedung tersebut. Serangan ini mengakibatkan ramai daripada orang-orang Belanda terbunuh dan gedung itu telah ditinggalkan. Bagaimana pun tidak lama selepas itu pihak Belanda datang semula lalu memperbaiki dan mendudukinya semula.

Pada tahun 1743-1748, pihak Belanda telah menempatkan 60 orang askar termasuk 30 orang berbangsa Eropah di gedung ini bagi mengawalnya. Pada tahun 1784 pula Belanda telah membina sebuah lagi gedung berdekatan dengan Sungai Perak. Berikutan itu pemerintah Belanda di Betawi mengarahkan supaya gedung lama yang terletak di Pulau Pangkor itu ditinggalkan. Akibat tiada penjagaan, gedung ini telah mengalami kerosakan sehinggalah pada tahun 1973 apabila pihak Muzium Negara memulihkan kembali gedung ini. Kota atau gedung yang dibaiki semula ini mengikut bentuk serta ukurannya yang asal iaitu 3 x 5 meter persegi. Manakala tembok batunya setinggi 6 - 7 meter. Bagaimana pun bumbungnya tidak dapat dibina kerana bentuk asalnya tidak diketahui oleh pihak Muzium Negara.

Berhampiran dengan Kota Belanda ini terdapat satu Batu Bersurat Belanda. Batu Bersurat ini letaknya di tepi pantai kira-kira 100 meter dari Kota Belanda. Tulisan pada Batu Bersurat ini dipercayai dipahat oleh askar-askar kompeni Belanda sewaktu mereka mendiami gedung atau Kota Belanda kira-kira dalam tahun 1743. Ia juga dipercayai sebagai tanda peringatan pada anak seorang pembesar Belanda yang hilang ketika sedang bermain-main berhampiran dengan batu tersebut. Orang-orang Belanda percaya bahawa budak tersebut telah dimakan oleh binatang buas. Sebagai mengingati peristiwa itu, orang-orang Belanda telah membuat batu tersebut dengan menggambarkan seekor binatang buas (dipercayai harimau) sedang menangkap budak. Lain-lain pahatan mungkin merupakan nama-nama pemahat yang dinyata secara huruf ringkas seperti IK, R.O. dan lain-lain dan terdapat pahatan bertulis V.O.C. iaitu singkatan nama Verenidge Oon Stindische Company - Syarikat Hindia Timur Belanda


BUKIT MELAWATI (MELAWATI HILLS)

Terletak di Kuala Selangor, Selangor Kedudukannya amat strategik kerana terletak di kuala sungai Selangor, menghadap selat Melaka dan Sumatra, Indonesia Bukit menarik merupakan kawasan rekreasi yang sangat menarik dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk para pengunjung Antara keistimewaan yang terdapat di sini ialah rumah api, beberapa meriam lama, makam Sultan dan kerabat diraja, batu pancung dan lain-lain.

 BUKIT MELAWATI (MELAWATI HILLS)
BUKIT MELAWATI (MELAWATI HILLS)
Mengikut sejarah, Bukit Malawati ini pernah ditakluki oleh Belanda dari tangan Sultan Ibrahim (Julai 1784). Setahun kemudian pada 28 Januari 1785, Sultan Ibrahim dengan bantuan adindanya, Dato' Penggawa Permatang Mahabijaya (Penggawa Tua) dan Bendahara Adb. Majid Pahang, telah menghalau Belanda dalam tempoh satu malam sahaja. Serangan yang bermula selepas waktu Isyak itu telah berjaya menawan bukit ini sebelum fajar subuh menyinsing. Di atas Bukit Malawati terdapat beberapa buah rumah pegawai-pegawai tinggi kerajaan, sebuah rumah rehat, rumah api dan kesan-kesan sejarah.

KOTA A FAMOSA

Telah dibina oleh Portugis sebaik sahaja berjaya menawan Melaka pada tahun 1511 A Famosa terletak di Bandar Hilir, Melaka bersebelahan replika Istana Kesultanan Melaka dan Gereja St. Paul. Ia merupakan seni bina Eropah tertua yang masih tinggal di Asia.

KOTA A FAMOSA, MELAKA
Menurut catatan Laksamana Cheng Ho dari China yang pernah melawat Melaka pada tahun 1409, pada masa pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka, terdapat sebuah kota yang didirikan oleh Raja Parameswara. Kota ini didirikan daripada kayu yang kuat sebagai tembok dan mempunyai 4 pintu.

Pada waktu malam, ia sentiasa dijaga rapi. Baginda Sultan membina kota ini bertujuan untuk dijadikan gedung simpanan barang-barang dan khazanah kerajaan di samping sebagai benteng pertahanan dari serangan musuh. Kota ini terus diperbaiki dari semasa ke semasa oleh Raja-raja yang menggantikan baginda.

Dalam peperangan yang hebat dengan Portugis pada tahun 1511, Kota ini tidak dapat dihancurkan oleh musuh dan berikutan dengan itu juga, Melaka dapat ditawan oleh Portugis. Menyedari kepentingan pertahanan yang lebih kukuh di Melaka, maka Ketua Portugis di Melaka, Alfonso de'Albuquerque telah mengarahkan sebuah kota didirikan. Pada mulanya, Albuquerque juga bercadang membina kota ini daripada kayu dan batu, tetapi kemudiannya mengarahkan supaya kota ini dibina daripada batu sepenuhnya memandangkan kemudahan bahan itu pada masa itu. Ekoran daripada itu, beliau telah mengarahkan askar-askarnya dan menggunakan 300-400 orang hamba-hamba raja yang ditawan untuk membina kota ini. Setelah kota ini siap dan tersergam kukuh di kaki Bukit St. Paul, ia diberi nama Kota Famosa, ertinya Kota Yang Termasyhur.

Kota ini berbentuk hampir 4 segi, mempunyai tembok batu setinggi 3.6 meter setebal 2.4 meter di sekelilingnya. Terdapat 4 pintu masuk ke Kota ini dan pintu utamanya mengarah ke jambatan jungkit yang merentangi sungai. Menurut catatan Abdullah Munshi pada tahun 1805, kekuatan Kota Famosa ini amat hebat sekali. Kota ini juga mempunyai 8 buah menara tempat kawalan setinggi 18-24 meter dan tebal temboknya 4.5 meter. Pada bahagian bawah tempat ini terdapat tempat kediaman tentera-tentera dan kuda bagi tujuan peperangan. Terdapat juga lorong-lorong antara tempat-tempat kawalan itu untuk kemudahan pada masa peperangan.

Calon-Calon PT3 2016: MESTI BACA...

» Tajuk, Maklumat Penting Tugasan Kerja Kursus Sejarah PT3 2016

» Contoh Jawapan Lengkap Tugasan / Kerja Kursus Sejarah PT3 2016

» Struktur Beberapa Bangunan Dan Binaan Bersejarah Di Malaysia

» Latar Belakang Bangunan, Binaan Dan Monumen Bersejarah Di Malaysia

» Latar Belakang 30 Bangunan / Binaan Bersejarah Di Malaysia

» Apakah Kepentingan Memelihara Bangunan dan Binaan Bersejarah?

» Sejarah PT3 2016 - Cadangan Langkah² Memelihara Bangunan Sejarah

» Contoh Rumusan Sejarah PT3 2016: Bangunan / Binaan Bersejarah

» Tugasan Sejarah PT3 2016: Struktur Binaan Muzium Perang, Pulau Pinang

» Sejarah PT3 2016: Tujuan Dan Sebab Bangunan / Binaan Bersejarah Dibina

» Sejarah PT3 2016 - Fungsi & Keadaan Bangunan Bersejarah Pada Masa Ini

» Kaedah Kajian Tugasan Sejarah PT3 2016, Bangunan / Binaan Bersejarah

» Tugasan Sejarah PT3 2016: Panduan Lengkap Menulis Sumber Rujukan

Sementara itu, di sekeliling tembok kota juga ditempatkan 60 orang sepoi yang lengkap bersenjata. Tidak seorang pun dibenarkan masuk ke dalam kota selepas pukul 6 petang. Pada pukul 8 malam, jambatan jungkit yang merentangi sungai ditarik naik ke atas kota. Sesiapa yang berjalan di sekitar kota tanpa membawa jamong atau lampu suluh, akan ditahan oleh askar-askar yang berkawal. Begitu juga sesiapa yang tidak menyahut cabaran pengawal akan ditembak.

Sumber: Arkib Negara | Academia.edu | Portal MP Kuala Selangor

Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments