Buli Di Sekolah, Pelajar Tingkatan Satu Cedera Tulang Belakang Dibelasah

Alor Star - Seorang pelajar lelaki tingkatan satu di Jitra mendakwa cedera di tulang belakang selepas dibelasah seorang pelajar di sekolah sama, semalam.


Buli Di Sekolah, Pelajar Tingkatan Satu Cedera Tulang Belakang Dibelasah

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, Mohd Danish Danial Al-Sofian, 13, mendakwa dirinya cedera di tulang belakang selepas terjatuh dan terkena bucu rak kasut di makmal komputer sekolah selepas dipukul pelajar terbabit.

“Saya dikepung beberapa pelajar lain sebelum pelajar terbabit memukul bahagian perut dan ditumbuk pada muka sebelum terjatuh dan terkena rak kasut. Saya tak mampu nak bangun sebab belakang saya sakit.


“Mereka melarikan diri selepas guru datang meleraikan pergaduhan itu. Belakang saya sakit serta tidak boleh bergerak dan sesak nafas,” kata anak bongsu daripada dua beradik itu di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) hari ini.

Mohd Danish Danial mendakwa seorang lagi pelajar tingkatan satu dari kelas lain dipercayai berdendam dengannya kerana dituduh melaporkan kepada guru mengenai rambut pelajar tersebut yang tidak mengikut peraturan sekolah.

Katanya, dia dibawa bapa saudaranya ke Hospital Jitra kira-kira jam 4 petang bagi mendapat rawatan sebelum dirujuk ke HSB kira-kira 10 malam semalam.

Mohd Danish Danial berkata, ibunya Norizan Johari, 43, membuat laporan polis pagi tadi.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dalam satu kenyataan ringkas memaklumkan berhubung dengan pihak sekolah bagi mendapatkan maklumat mengenai kes itu sebelum mengambil sebarang tindakan. – BERNAMA

Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments