Hasrat ‘Terakhir’ Terhadap TPM Tertunai, Lelaki Maut Dalam Kemalangan!

Kuala Kangsar – “Arwah begitu bersemangat sehingga sanggup membeli sarung tangan baru untuk membuka pintu kereta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.”


  Hasrat ‘Terakhir’ Terhadap TPM Tertunai, Lelaki Maut Dalam Kemalangan!

Demikian cerita Pegawai Rela Kuala Kangsar, Jasni Md Isa ketika menceritakan detik terakhir beliau bertugas bersama anggotanya, Zainul Fuad Zahar, 50, yang maut dalam kemalangan di Kampung Ketior, petang semalam.

Menurut Jasni, sebaik mengetahui Timbalan Perdana Menteri mahu berkunjung ke Kuala Kangsar, arwah bersungguh-sungguh meminta supaya dia ditugaskan di sana.

Tambahnya, dia keberatan untuk membenarkan pada mulanya namun kerana melihatkan semangat arwah, Jasni akhirnya berlembut hati dan membenarkan arwah bertugas di sana.

“Bila jumpa dia di Manong, arwah tunjukkan sarung tangan baru dibelinya. Dia kata itu istimewa untuk buka pintu kereta Timbalan Perdana Menteri.

“Saya rasa sangat terkilan kerana membenarkan dia bertugas di Manong. Namun, saya lega kerana hasrat terakhirnya tercapai juga.

“Mungkin sudah tertulis ajalnya begini tetapi rasa terkilan dan sedih tetap ada,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Kuala Kangsar.

Ujar Jasni, dia kehilangan seorang anggota yang sangat rajin serta komited dengan tugasnya meskipun terpaksa bekerja hingga lewat malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abd Haq mengesahkan menerima laporan kejadian ketika dihubungi.


Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal jenis Yamaha dipandu mangsa memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta.

“Mangsa dari Manong menghala ke Kuala Kangsar. Setibanya di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa mengubah haluan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Sebuah Proton Exora yang berada di laluan bertentangan tidak sempat mengelak lalu berlanggar dengan motosikal mangsa.

“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

- Sinar Online

Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments