Latar Belakang 30 Bangunan / Binaan Bersejarah Di Malaysia

Maklumat  dan latar belakang bangunan-bangunan bersejarah di Malaysia ini mungkin berfaedah untuk calon-calon PT3 Sejarah 2016. Bangunan-bangunan bersejarah ini menjadi mercu tanda, kebanggaan, kunjungan orang ramai dan masyarakat setempat. Terdapat banyak bangunan bersejarah di Malaysia dan berikut adalah sebahagian daripadanya yang meliputi lokasi di seluruh negeri di Malaysia beserta jenis bangunan serta sejarah.


Latar Belakang 30 Bangunan-Bangunan / Binaan Bersejarah Di Malaysia

1. Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur

Bangunan Sultan Abdul Samad adalah merupakan mercu tanda yang sangat sinonim bagi bandaraya Kuala Lumpur hatta negara Malaysia. Kehadiran, keunikan dan identiti seni bina yang terdapat pada bangunan tersebut mendapat pujian dan sanjungan dari segenap lapisan penduduk Malaysia mahupun luar negara. Bangunan ini telah berjaya menjadi ikon kepada Kuala Lumpur dan beberapa perayaan penting seperti Sambutan Tahun Baru, Sambutan Hari Merdeka dan acara-acara yang membabitkan promosi pelancongan negara.

Bangunan ini telah direka oleh arkitek berbangsa British, A. C. Norman dan A. B. Hubbock yang pada waktu itu bekerja di Jabatan Kerja Raya di Kuala Lumpur pada tahun 1894. Batu asas pembinaan telah diletakkan oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat iaitu Sir Charles Mitchell pada 6 Oktober 1894. Bangunan ini siap dan dirasmikan pada tahun 1897 oleh Residen British, Sir Frank Swettenham.

Nama Bangunan Sultan Abdul Samad diambil sempena nama Sultan Negeri Selangor pada masa itu. Bangunan Sultan Abdul Samad terletak di lokasi strategik bandaraya Kuala Lumpur iaitu berhadapan dengan Padang Kelab Selangor dan persimpangan jalan-jalan penting seperti Jalan Tun Perak, Jalan Raja Laut dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

2. Kota A Famosa, Melaka

Kota A Famosa (bermaksud “Yang Termashur” dalam bahasa Portugis) telah dibina oleh Portugis sebaik sahaja berjaya menawan Melaka pada tahun 1511. A Famosa terletak di Bandar Hilir, Melaka bersebelahan replika Istana Kesultanan Melaka dan Gereja St. Paul. Ia merupakan seni bina Eropah tertua yang masih tinggal di Asia.

Kota A’Famosa merupakan pintu gerbang kubu di Melaka. Pintu gerbang ini merupakan peninggalan portugis dan sebuah kubu yang begitu mantap pada suatu masa dahulu.

Kubu ini dahulu mempunyai tembok yang panjang dan empat menara utama. Salah satu daripadanya ialah menara utama empat tingkat, manakala yang lain merupakan bilik simpanan senjata, kediaman kapten dan juga kuarters pegawai.

Kubu ini bertukar tangan pada tahun 1641 apabila orang Belanda berjaya mengusir Portugis dari Melaka. Mereka telah mengubah suai pintu gerbang tersebut pada tahun 1670 yang mana “ANNO 1670” boleh dilihat pada pintu gerbang itu.

Kubu ini mengalami kerosakan struktur yang teruk semasa pencerobohan Belanda. Apabila ia bertukar tangan kepada pihak British, mereka amat berwaspada mengenai pengekalannya dan mengarahkan kubu itu dimusnahkan. Ia hampir musnah keseluruhannya apabila Sir Stamford Raffles yang melawat Melaka dan campur tangan untuk menyelamatkan pintu gerbang daripada dimusnahkan kerana minat beliau terhadap sejarah.

3. Tugu Negara, Kuala Lumpur

Tugu Peringatan Negara atau juga dikenali sebagai Tugu Negara Malaysia disiapkan 8 Februari 1966 sebagai penghormatan kepada lebih 11 ribu perajurit yang gugur dalam Perang Dunia I (1914-1918), Perang Dunia II (1935-1942) dan semasa Darurat (1948-1960). Ia terletak di ibu negara, Kuala Lumpur berhampiran dengan bangunan Parlimen.

Pada setiap tahun, 11 November, satu perbarisan hormat akan diadakan di Tugu Negara. Tugu tersebut menggambarkan sekumpulan tentera mengibar bendera negara, Jalur Gemilang. Setiap patung gangsa tersebut melambangkan pimpinan, getir, persatuan, siap sedia, kekuatan, keberanian, dan pengorbanan.

Dibina pada tahun 1966, tugu tersebut berdiri setinggi 15 meter, diperbuat daripada gangsa dan direka oleh pengukir Austria, Felix de Weldon yang bertanggung jawab bagi Tugu Peringatan Perang USMC (USMC War Memorial) di Virginia, Amerika Syarikat.

Tugu Negara terawal merupakan tiang konkrit yang terletak di Jalan Tugu berhampiran bulatan di hadapan Stesyen Kereta api Kuala Lumpur, bersebelahan Masjid Negara. Ia didirikan oleh Pentadbir British bagi memperingati peperangan dan perwira yang terkorban. Kini hanya asasnya tanah seluas 10 meter persegi yang tinggal.

Kompleks Tugu Negara yang ada kini di kawasan Taman Tasik dibuka pada 8 Februari 1966. Ia memasukkan Taman Peringatan sebagai lambang penghormatan negara kepada perwira yang mengorbankan jiwa mereka bagi menjaga keamanan negara Malaysia. Tiang asal dialih ke Kompleks Tugu Negara kini dan padanya tercatat tarikh tragedi kemanusiaan: Perang Dunia I (1914-1918), Perang Dunia II (1939-1945) dan Darurat (1948-1960).

4. Istana Kenangan, Kuala Kangsar, Perak

Istana ini pada keseluruhannya diperbuat daripada kayu dan dikenali juga dengan nama Istana Lembah atau kadangkala disebut juga Istana Tepas. Istana ini terletak berhampiran dengan Istana Iskandariah. Istana yang berdinding kelarai berbumbung perabut lima dan perabut pisang sesikat ini telah dirancang pembinaannya selepas banjir besar melanda Perak pada tahun 1926.

Tukang yang membuat istana ialah Haji Suffian dan anak-anaknya yang berasal dari Seberang Perai. Istana ini telah siap sepenuhnya pada tahun 1931. Sultan Iskandar Shah iaitu Sultan Perak ke 30 (1918-1938) telah berpindah bersemayam di istana tersebut kerana Istana Negera, iaitu istana rasmi Sultan Perak di Changkat Negara akan dirobohkan untuk dibina istana yang baru (Istana Iskandariah sekarang).

Dalam tahun 1933, apabila Istana Iskandariah siap dibina,Sultan Iskandar Shah telah berpindah ke istana tersebut. Istana Lembah atau Istana Tepas diduduki pula oleh keluarga Diraja Perak.

Nama Istana Kenangan hanya bermula pada tahun 1960 an, iaitu selepas istana tersebut diperbaiki semula dengan usaha Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Abdul Rahman Putra Al-Haj, bekas Perdana Menteri Malaysia.

Pada 16 November 1986, setelah dipelihara, Istana Kenangan dengan rasminya dijadikan Muzium Di Raja Perak hingga ke hari ini.

5. Istana Kellie, Batu Gajah, Perak

Istana Kellie atau Kellie’s Castle (kadang-kadang digelar Kesilapan Kellie (Folly Kellie) ialah sebuah istana kota yang terletak di tepi jalan Simpang Pulai ke Batu Gajah, Negeri Perak.

Bangunan Istana Kellie atau Rumah Kellas telah dibina pada tahun 1910 oleh seorang peladang getah terkemuka British bernama William Kellie Smith. Bangunan tiga tingkat dibina mengikut reka bentuk sebuah istana Moghul di bandar Agra, India. Tukang-tukang binaan bangunan tersebut dibawa khas dari Madras.

William Kellie Smith adalah dari sebuah kampung di Scotland yang dikenali sebagai Kellas. Pada tahun 1890, ketika berusia 20 tahun, Smith tiba sebelum Tanah Melayu membangun. Di Tanah Melayu, beliau bertemu dengan seorang pemilik tanah bernama Alma Baker, yang telah memenangi konsesi dari pemerintah negara untuk meneroka 360 hektar hutan di Perak. Dengan keuntungan besar yang dibuat dari perniagaan bersama (“bisnes venture”) dengan Alma Baker, Smith mula menanam pohon getah dan menceburi dalam industri perlombongan timah. Sewaktu dengan itu, ia menjadi pemilik Perumahan Kinta Kellas dan Kinta Kellas Tin Dredging Company.

Kemudiannya beliau kembali ke rumah beliau untuk berkahwin dengan orang Skotland tercinta, Agnes, dan isterinya dibawa ke Malaysia pada tahun 1903. Tahun berikutnya, pasangan ini diberkati dengan anak perempuan mereka yang bernama Helen. Selama bertahun-tahun selepas itu, Agnes berusaha untuk hamil, tapi gagal. William Smith terlalu mengharapkan seorang anak lelaki sebagai waris untuk mengambil alih kerajaan itu di Kepulauan Melayu.

Setelah bertahun-tahun selepas itu, akhirnya Agnes telah melahirkan seorang anak lelaki bernama Anthony, pada tahun 1915. Kelahiran anaknya adalah peringkat awal bagi keuntungan yang lebih besar untuk William Smith. Bagi merayakan kelahiran Anthony, William Smith telah memutuskan untuk memperluaskan rumahnya. Smith memulai perancangan untuk cadangan istana besar yang dirancangkan untuk digelar sebagai Rumah Kellas (Kellas House), sempena rumahnya di Scotland.

Bangunan ini tidak sempat disiapkan setelah Kellie Smith meninggal dunia di Pelabuhan Lisbon, Portugal pada 11 Disember 1926. Bangunan yang kekal dalam keadaan ‘sedang dibina’ telah menjadi tarikan pengunjung ke Batu Gajah kerana keunikannya.

6. Kubu Margherita, Sarawak

Kubu Margherita di bina pada 1878 dan siap pada tahun 1879 dengan jumlah kos 8,100 Dolar Spanish. Terletak di atas tebing Sungai Sarawak mengadap Pekan Kuching berhampiran kediaman Brooks. Tempat ini dikelilingi oleh Kampung Melayu. Kubu ini dinamakan ‘Fort Margherita’ bersempena nama isteri Charles Brook, Rajah kedua Sarawak iaitu Ranee Margaret.. Dengan kedudukan yang strategik di atas bukit mengadap lencongan Sungai Sarawak, kubu ini berperanan sebagai tempat pertahanan utama Rajah Brooke yang menghadapi tentangan berterusan dari penduduk pribumi.

Pada tahun 1932, kubu ini pernah dijadikan sebagai pusat Renjer Sarawak. Pada asalnya iaitu sebelum tahun 1934 hanya terdapat bilik tahanan tetapi telah ditambah menjadi kubu. Kubu ini juga pernah dijadikan sebagai pengkalan bagi tentera Jepun pada tahun 1941. memandangkan bangunan ini mempunyai nilai sejarah yang tinggi, pada tahun 1971 kubu ini telah disenaraikan sebagai Bangunan Bersejarah Sarawak di bawah Antiquities Ordinance (Ordinan Warisan Bandaraya Sarawak, 1993).

Kubu ini dijadikan pengkalan Renjer Sarawak ada tahun 1932, Pejabat Kampetai Jepun sewaktu Perang Dunia ke-2 dan terakhir sebagai Muzium Polis. Jabatan Warisan Negara telah membuat kerja pembaikan pada tahun 2006. Walau bagaimanapun, ia mengalami kerosakan setelah dikosongkan oleh Polis sewaktu projek pembinaan bangunan baru Dewan Undangan Negeri Sawarak bersebelahan kubu ini. Konservasi kubu ini merupakan salah satu projek utama Jabatan Warisan Negara pada tahun 2011-2012 di bawah Program Rancangan Malaysia ke-10.

7. Menara Condong Teluk Intan, Perak

Salah satu dari tarikan utama pelancong ke Teluk Intan ialah Menara Condong Teluk Intan. Menara ini telah dibina oleh arkitek cina En. Leong Choon Cheong dan berfungsi sebagai tangki simpanan air untuk bekalan penduduk sekitar disamping berfungsi sebagai jam.

Pada masa ini menara ini tidak lagi berfungsi sebagai tangki simpanan air namun jam tersebut masih lagi berfungsi dan akan berbunyi setiap 15 minit. Kawasan sekitar menara telah diturap dengan bata dan dijadikan sebagai plaza untuk pelbagai aktiviti di samada aktiviti rasmi atau tidak rasmi.


Jalan di tengah-tengah Bandar Teluk Intan telah dinamakan sebagai Jalan Ah Cheong sempena memperingati sumbangan En. Leong Choon Cheong yang telah membina menara tersebut.

8. Muzium Negara Kuala Lumpur

Muzium Negara, sebuah bangunan indah bercirikan senibina Melayu tradisional berdiri megah di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur sebagai gedung khazanah sejarah negara. Kini Muzium Negara yang baru selesai dinaiktaraf pada tahun 2008, tampil lebih menarik dan interaktif dalam membawa pengunjung menerokai sejarah Malaysia bermula dari era prasejarah hingga ke Malaysia kini.

Muzium Negara diketuai seorang Pengarah dan diletakkan di bawah pentadbiran Jabatan Muzium Malaysia, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Objektif Muzium Negara adalah seperti berikut:
• Menjalankan penyelidikan terhadap bahan dan artifak yang mempunyai kepentingan kepada sejarah negara;
• Menjalankan aktiviti permuziuman seperti menyelidik, mengumpul, merekod dan menerbitkan segala khazanah warisan sejarah negara;
• Mempamerkan dan memanfaatkan bahan artifak warisan sejarah negara bagi tujuan pendidikan masyarakat ke arah pembinaan jati diri dan pembangunan bangsa, dan;
• Menjadikannya sebagai salah satu produk pelancongan negara.

9. Masjid Ubudiah, Perak

Masjid Ubudiah ialah sebuah masjid di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak yang dianggap salah satu masjid terindah di Malaysia dan merupakan simbol kebanggaan dan kepercayaan untuk kaum Muslim di Perak. Kubah emas dan menara masjid adalah bukti dari keindahan senibina Islam. Masjid Ubudiah dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Jalil Karamatullah Shah pada tahun 1917.

Dari segi latar belakang sejarahnya Masjid Ubudiah yang terletak berhampiran dengan Istana Iskandariah ini, adalah merupakan masjid nazar. Ia diasaskan oleh Sultan Idris untuk membayar nazar kerana baginda telah pulih dari penyakitnya. Semasa beristirahat dalam rawatan di Port Dickson, Negeri Sembilan, Sultan Idris Murshidul’adzam Shah I (1887-1916) telah bernazar untuk membina sebuah masjid di Bukit Chandan sekiranya kesihatan baginda pulih.

Setelah berangkat balik ke Kuala Kangsar, baginda telah menitah Kolonel Huxley dari Jabatan Kerja Raya, Kuala Lumpur, untuk mereka bentuk sebuah masjid yang hendak didirikan. Pembangunan Masjid Ubudiah bermula dari zaman Sultan Idris Murshidul Adzam Shah I, Sultan Perak ke-28.
Walau bagaimanapun pembinaannya telah tergendala apabila batu-batu marmar yang dibeli dari Negara Itali telah pecah dipijak oleh dua ekor gajah kepunyaan baginda dan Raja (Sir) Chulan Ibni Sultan Abdullah. Mengikut cerita dengan tidak semena-mena seekor gajah baginda bernama Kulub Chandan dan gembalanya bernama Kulup Sa’id telah berjuang dengan seekor gajah kepunyaan Raja Chulan bernama Kulub Gangga dan gembalanya bernama Uda Debok.

Pada hari Jumaat, 26 September 1913, Sultan Idris Shah I, telah meletakkan batu asas masjid tersebut. Masjid ini telah siap dibina dan dibuka dengan rasminya oleh Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah (1916-1918.), Sultan yang ke-29, pada tahun 1917.

10. Muzium Taiping, Perak

Muzium Perak merupakan institusi muzium tertua di negara ini yang diasaskan oleh Sir Hugh Low pada tahun 1883 yang menempatkan pelbagai koleksi spesimen zoologi, herbarium dan alat budaya masyarakat Melayu. Pembinaan bangunan muzium dilakukan secara berperingkat di mana fasa pertama dibina pada 1883 dan selesai pembinaannya pada 1886. Fasa seterusnya bermula pada 1889 dengan pembinaan serambi hadapan dan belakang.

Pada 1900, bahagian belakang bangunan asal telah disambung untuk Balai Pameran dan pembinaan ini siap sepenuhnya pada 1903. Pembinaan bangunan muzium ini diusahakan oleh Residen Perak, Sir Hugh Low dan kurator pertama Muzium Perak ialah Leonard Wray Jr. Keunikan bangunan muzium yang berunsurkan senibina Moorish ini merupakan pusat penyelidikan, pengumpulan, dan pemeliharaan warisan harta kebudayaan masyarakat tempatan serta sejarah alam semulajadi. Muzium ini yang ditadbir oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti mempunyai tarikan utama iaitu koleksi orang asli yang lengkapdan terbaik. Selain itu, terdapat juga peralatan-peralatan peninggalan British seperti sauh kapal, tugu peringatan, kapal terbang dan lanca.

11. Ma’ahad Al-Ehya Asshariff, Gunung Semanggol

Gunung Semanggol, namanya tidak asing lagi bagi mereka yang menatapi sejarah pendidikan Islam tanah air. Sebut sahaja nama Gunung Semanggol kita tentu tidak akan lupa pada sekolah agama yang terkemuka suatu masa dahulu iaitu Ma’ahad Al-Ehya Asshariff. Di Gunung Semanggol ini jugalah tempat bertunasnya sebuah gerakan Islam, Hizbul Muslimin yang digeruni oleh Inggeris ketika itu. Seperti Gunung Semanggol yang tidak dapat dipisahkan dengan Ma’ahad Al-Ehya Asshariff, begitulah juga hubungan sekolah ini dengan seorang tokoh pejuang Islam, iaitu As-Sheikh Abu Bakar Al-Baqir yang menjadi tunggak masyarakat dan perkembangan pelajaran Islam di Gunung Semanggol.

Rentetan Sejarah perkembangan pelajaran agama di sini bermula sejak tahun 1918 lagi dengan adanya pondok Ar-Rahmaniah pimpinan Tuan Haji Abd. Rahman Mahmud. Keperluan terhadap tempat belajar semakin dirasakan apabila pelajar-pelajar lepasan sekolah rendah tidak mempunyai tempat untuk meneruskan pelajaran. Di atas kesedaran tentang masalah ini di samping usaha-usaha menyebarkan ilmu secara lebih teratur dalam menyebarkan risalah Islam, maka masyarakat Gunung Semanggol telah berpadu tenaga mewujudkan sebuah sekolah agama.

Di atas tumpahan keringat masyarakat, terbangunlah sebuah sekolah pada 1 Muharram 1353 bersamaan 15 April 1934 yang diberi nama Madrasah Al-Ehya Asshariff. Di bawah pimpinan Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Madrasah ini telah maju setapak demi setapak. Dengan terdirinya Madrasah ini juga, pondok Ar-Rahmaniah telah dibubarkan oleh Tuan Guru Haji Abd. Rahman yang turut sama memerah tenaga membangunkan Madrasah Al-Ehya Asshariff pimpinan menantunya Ustaz Abu Bakar al-Baqir itu. Pemimpin-pemimpin masyarakat seperti Tuan Guru Haji Abdullah Ibrahim, Tuan Haji Abd. Manaf dan lain-lain turut berkorban harta serta masa untuk menjayakan madrasah ini.

Di bawah mudir pertamanya, iaitu Ustaz Abu Bakar, Madrasah Al-Ehya Asshariff telah berkembang pesat dengan pelajar-pelajarnya semakin bertambah berbanding dengan hanya 144 orang pada waktu pembukaannya dalam tahun 1934 dahulu. Pada masa ini Ma’ahad Al-Ehya Asshariff tetap meneruskan cita-cita perjuangannya ke arah melahirkan insan yang berilmu dan bertaqwa di samping berusaha menyebarkan risalah Islam kepada generasi muda agar mereka lebih memahami tuntutan fikrah Islamiah dan menghayati tasawwur Islam sebagai `Ad-Din’ yang syumul seperti mana perjuangan yang telah didokong oleh bekas tokoh-tokoh pengajar Ma’ahad ini seperti Allahyarham Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Dr. Burhanuddin Al-Helmi dan lain-lain lagi.


12. Kota Cornwallis, Pulau Pinang

Pulau Pinang atau dikenali juga sebagai Pulau Mutiara merupakan sebuah pulau yang sesuai sebagai pusat perniagaan dan persinggahan kapal-kapal perdagangan dari timur dan barat. Oleh itu sejak dahulu lagi pulau ini menjadi rebutan kuasa-kuasa penjajah.

Inggeris, sebuah kuasa barat yang mula-mula menduduki pulau ini telah mengeksploitasi kedudukan pulau yang strategik di pintu masuk Selat Melaka ini bagi kepentingannya. Kesan-kesan pendudukan Inggeris itu masih lagi dapat dilihat sehingga kini. Salah satu kesan peninggalan Inggeris itu ialah Kota Cornwallis yang dibina pada tahun 1786 oleh Francis Light dengan menggunakan buruh orang-orang buangan dari India.

Kota Cornwallis ini dibina oleh Francis Light setelah empat hari mendarat dan menduduki Pulau Pinang. Pada awal pembinaanya kota ini dibina daripada kayu dan batang-batang nibung berukuran 46.4 meter persegi. Kota yang diperlengkapi dengan senjata-senjata dan meriam ini dinamakan sebagai Kota Cornwallis mengambil sempena nama Charles Earl Cornwallis II, seorang bangsawan Inggeris yang menjadi Gabenor Jeneral Inggeris di India pada ketika itu.

Sehingga tahun 1791, tidak banyak perubahan yang dilakukan ke atas Kota Cornwallis ini. Hanya pada tahun 1808, kota ini telah diperbaharui dengan menggantikan batang-batang nibung tersebut dengan binaan batu.

Kota ini sentiasa mendapat ancaman dari kuasa-kuasa lain dan terdedah kepada serangan musuh kerana kedudukan Pulau Pinang dan Kota Cornwallis ini yang berhampiran dengan laut. Ancaman juga turut diterima daripada penduduk Pulau Pinang sendiri yang telah mengecam pihak Inggeris sejak dari awal pembinaan kota ini lagi kerana bimbang akan turut mengheret mereka dalam kancah peperangan. Tambahan pula Inggeris telah mengabaikan janjinya untuk menolong Kedah menentang Siam, sedangkan ketika Sultan Abdullah menyerahkan Pulau Pinang kepada Inggeris itu, salah satu syarat persetujuannya Inggeris dikehendaki menolong Kedah menentang ancaman Siam.

Kota ini kemudiannya telah ditinggalkan terbiar begitu sahaja sehinggalah pada tahun 1815 apabila pihak Pulau Pinang Town Council mengeluarkan arahan supaya ia diperbaiki semula. Tetapi tiga tahun kemudian pembaikannya dihenti berikutan sungutan mengatakan usaha ini tidak mendatangkan kebaikan. Setelah beberapa percubaan untuk memperbaiki kota ini tergendala, pihak pentadbiran Pulau Pinang telah menjadikannya sebagai pusat kegiatan seni dan kebudayaan.

Pada hari ini kota peninggalan Inggeris ini diwartakan di bawah Akta Benda Purba sebagai bahan sejarah oleh pihak Muzium Negara. Kini dengan penjagaan yang sempurna Kota Cornwallis bukan sahaja terkenal sebagai kota yang bersejarah tetapi juga ianya menjadi daya tarikan pada pelancong-pelancong dari dalam dan luar negera yang melawat Pulau Mutiara ini.

13. Maktab Perguruan Sultan Idris

Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) atau dikenali juga sebagai `Suluh Budiman’ dilahirkan hasil daripada cadangan Sir Richard Winstedt yang menjadi Penolong Pengarah Pelajaran Sekolah-sekolah Melayu pada waktu itu. Cadangan itu diterima kerajaan dan Persidangan Residen-residen pada tahun 1917 pula telah meluluskan penubuhan sebuah Maktab Perguruan Pusat dan tempat yang dicadangkan ialah Tanjung Malim. Ini kerana Tanjung Malim terletak di tengah-tengah, berdekatan jalan keretapi, sungai dan pekan serta kesuburan tanah di kawasan tersebut.

Sehubungan dengan itu pada 20 Oktober 1917, Tanjung Malim telah dipersetujui dengan rasminya sebagai tapak Maktab Perguruan yang baru ini. Seluas 63 ekar tanah telah dibeli untuk tujuan ini dan pelaksanaan membinanya dijalankan tahun 1919. Setelah siap pembinaannya tahun 1922, maktab ini mula beroperasi pada 23 November 1922 dengan 3 orang guru dari Eropah, 7 orang guru Melayu dan seorang guru anyaman dari Filipina.

Maktab yang baru ini kemudiannya dibuka dengan rasminya oleh Sir George Maxwell, Ketua Setiausaha Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada 29 November 1922. Turut hadir dalam majlis perasmian itu ialah Sultan Iskandar Shah, para pembesar negeri, O.T. Dussek, Pengetua Maktab, dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan. Maktab ini kemudiannya dinamakan Maktab Perguruan Sultan Idris, mengambil sempena nama Almarhum Sultan Idris iaitu Sultan Perak yang amat mengambil berat tentang pelajaran anak-anak Melayu pada masa pemerintahannya.

Selain mata pelajaran biasa seperti Ilmu Alam, Sejarah, Ilmu Hisab dan lain-lain, pelajar-pelajar di MPSI juga diajar tentang anyaman, bertani, bertukang dan seumpamanya.

Pada masa Perang Dunia Kedua, MPSI telah ditutup kerana bangunan itu dijadikan Hospital Tentera oleh Inggeris dan para pelajar berpindah ke Kuala Kangsar. Di atas ihsan Sultan Abdul Aziz Almustasim Billah Shah ibni Almarhum Raja Muda Musa, para pelajar MPSI ditempatkan di tiga buah istana di Kuala Kangsar iaitu Istana Hulu, Istana Kuning dan Istana Hilir. Walau bagaimanapun ketika perang merebak ke Tanah Melayu para pelajar diarahkan pulang ke kampung masing-masing.

Sesuai dengan tarafnya sebagai sebuah maktab yang terulung itu, maka pihak-pihak tertentu telah mendesak pemerintah supaya menaikkan taraf maktab ini. Oleh itu pada 21 Februari 1987 Encik Anwar Ibrahim, Menteri Pelajaran telah mengisytiharkan Maktab Perguruan Sultan Idris ini dinaikkan tarafnya menjadi sebuah institusi pendidikan yang dikenali sebagai Institut Pendidikan Sultan Idris (IPSI). Ianya lebih tinggi tarafnya daripada Maktab-maktab Perguruan yang lain dan diberi kuasa mengendalikan Kursus Sijil Lanjutan Perguruan dan Diploma Lepas Sijil. Keunggulan IPSI dalam memainkan peranan dan kepentingannya telah mendorong kerajaan untuk menaikkan tarafnya ke peringkat yang lebih tinggi sebagai Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) pada 1 Mei 1997. Dengan penaikan taraf tersebut, ianya telah dapat memantapkan lagi fungsi institusi ini sebagai gedung ilmu yang mampu melahirkan generasi pendidik berkaliber di masa hadapan.

14. Stesen Keretapi Ipoh

Sejarah keretapi Tanah Melayu bermula pada tahun 1885 iaitu landasan pertama dibina dari Taiping ke Port Weld (nama baharunya Kuala Sepetang). Nama yang digunakan pada masa itu ialah Perak State Railway.

Pada tahun 1901, setelah sistem perhubungan keretapi bersambung dengan negeri-negeri lain, ia dinamakan sebagai Federated Malay State Railway, dan pada tahun 1946 namanya ditukar kepada Keretapi Tanah Melayu.

Sekali lagi pada tarikh 1 Ogos 1992, Keretapi Tanah Melayu telah diperbadankan dan dikenali sebagai Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hingga ke hari ini.

Objektif asal pengangkutan keretapi adalah untuk membawa hasil getah, bijih timah dan lain-lain barang ke pelabuhan oleh penjajah Inggeris, tetapi kini telah berubah menjadi salah satu pengangkutan yang penting kepada pembangunan ekonomi negara.

Sebelum diambil alih oleh Pengurus Besar dari kalangan warganegara Malaysia yang pertama, Pengurus Besar pertama keretapi ialah C.E. Spooner C.M.G. iaitu dari tahun 1901 hingga 1909 dan selepas itulah pada tahun 1962 sehingga 1967 telah dipegang oleh Tan Sri Dato’ Haji Ahmad Perang iaitu warganegara Malaysia pertama menjadi Pengurus Besar Keretapi Tanah Melayu.

Dari segi bangunan pula, memang ada sejarah tersendiri dengan reka bentuknya yang unik sejak pembinaan awal stesen keretapi berkenaan. Stesen Keretapi Ipoh dibina pada tahun 1917 oleh Syarikat Hindia Timur British serta bangunannya dibina bercirikan Islam dan reka bentuknya berbentuk Moorish sehingga ada yang menggelarnya sebagai Taj Mahal Ipoh.

Panggilan berkenaan mula menjadi bualan masarakat sekitar apabila melihat reka bentuk bangunan stesen keretapi berkenaan yang menghampiri reka bentuk seakan-akan Taj Mahal di India walaupun tidak sepenuhnya.

Keluasan bangunan stesen keretapi Ipoh adalah 71,200 kaki persegi dan bahagian atas stesen keretapi kini telah dijadikan hotel bagi pengunjung yang datang melawat Ipoh. Bangunan dan tamannya yang cantik telah menjadi salah satu tempat menarik kepada pengunjungnya.

15. Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK-1905)

Sekolah yang dibina pada 1905 ini suatu ketika dulu adalah tempat untuk mendidik dan melatih golongan elit Melayu, yang terdiri daripada kerabat Diraja dan juga pegawai kerajaan bagaimanapun syarat kemasukan dilonggarkan ekoran kebangkitan nasionalisme. Moto sekolah, Fiat Sapientia Virtus adalah dalam Bahasa Latin, yang bermaksud Kebijaksanaan Mutu Manusia.

Antara kerabat Diraja dan pembesar negara yang pernah menuntut di MCKK ialah Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja’afar dan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.

16. Bangunan Pejabat Pos Lama Ipoh

Bangunan Pejabat Pos Lama Ipoh yang terletak di Jalan Dato’ Sagor sebenarnya merupakan sebahagian bangunan Dewan Bandaran Ipoh (Town Hall) yang kemudiannya dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian hadapan kekal sebagai Dewan Bandaran Ipoh manakala bahagian belakangnya pula dijadikan Pejabat Pos. Bangunan ini terletak berhadapan dengan Stesen Keretapi dan telah didirikan sama waktu dengan Mahkamah Tinggi (di sebelah kanan). Bangunan Pejabat Pos ini direka oleh arkitek British A.B Hubback, mula dibina pada 1913 dan siap pada 1916. Kedudukan bangunan ini adalah di tengah-tengah pusat Bandar lama Ipoh yang merupakan kawasan pentadbiran kerajaan yang utama pada zaman Inggeris. Ia begitu strategik kerana ia berada di jejak rangkaian warisan (Heritage Trail) bangunan bersejarah Bandaraya Ipoh di mana terletaknya bangunan Stesen Keretapi Ipoh, Dewan Bandaran, Masjid Negeri, Ibu Pejabat Polis Trafik, Menara Jam British, bangunan Mahkamah Tinggi Ipoh dan bangunan-bangunan bank komersial. Kesemua bangunan-bangunan kolonial ini menampilkan gaya seni bina Eropah yang menarik.



Bangunan ini mempunyai seni bina yang unik kerana bercirikan seni bina Roman dan Renaissance. Bangunan dua tingkat ini juga dikelilingi arked terbuka atau verandah di tingkat atas dan bawah. Arked ini dihias dengan tiang dan gerbang separuh bulatan menonjolkan ciri-ciri Greek dan Roman. Dinding verandah (balcony balustrade) di tingkat atas dibina dengan corak victorian yang ringkas. Selain itu, terdapat juga tingkap-tingkap separuh bulat (Arch-headed window) berpanel kaca dibina pada sekeliling bangunan. Perkhidmatan pos di bangunan telah tamat operasi pada tahun 1983 dan bangunan ini telah diambil alih oleh Pusat Pelancongan Negeri Perak sehingga tahun 1995. Sejak dari tahun tersebut bangunan ini telah ditinggal kosong tanpa penyelenggaraan. Sehubungan itu, ia telah mengalami kebocoran dan kerosakan pada atap genting, saluran turun air hujan telah patah, papan lantai mereput, dan pokok telah tumbuh meliar di dalam bangunan menambahkan lagi kerosakan bangunan ini.

17. Masjid Zahir, Kedah

Masjid Zahir atau juga dikenali sebagai Masjid Zahrah merupakan Masjid Negeri Kedah. Bangunan bersejarah ini terletak di tengah-tengah bandar raya Alor Setar. Ia juga dikenali sebagai Masjid Raja kerana ia merupakan masjid Diraja dan terletak di perkarangan Istana Pelamin.

Masjid Zahir merupakan mercu tanda yang terkenal di Alor Setar, dengan ciri kubah hitam – satu kubah utama dan lima kubah lebih kecil, yang melambangkan limat rukun Islam.

Mula dibina pada 22 Rabiulawal 1330H (11 Mac 1912) atas usaha YTM Tunku Mahmud Ibni Almarhum Sultan Tajuddin Mukarram Shah, tapak masjid ini pada asalnya adalah tanah pusara wira-wira Kedah yang gugur semasa mempertahankan Kedah dari serangan Siam (1821). Reka bentuk masjid ini diilhamkan dari Masjid Azizi di Bandar Langkat, Sumatera Utara. Ia dihiasi dengan lima kubah utama sebagai lambang lima Rukun Islam.

Upacara perasmiannya dilakukan pada hari Jumaat, 6 Zulhijjah 1333H (15 Oktober 1915) oleh DYMM Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Tunku Mahmud telah membaca khutbah Jumaat sementara baginda Sultan Abdul Hamid Shah mengimamkan solat Jumaat.

18. Penang Free School

Penubuhan Penang Free School bermula daripada cadangan untuk pembinaan sekolah di Prince of Wales Island oleh Reverend Sparke Hutchings, paderi penempatan di situ. Guru besar pertamanya James Cox 1816-1821, dengan tapak asalnya di Jalan Farquhar mula-mulanya menempatkan Sekolah Hutchings, tetapi kini merupakan Muzium Negeri Pulau Pinang. Pada tahun 1928, sekolah ini berpindah ke lokasi kini di Jalan Masjid Negeri (lebih dikenali sebagai Greenlane).

Petikan daripada piagam asal: “Bahawa tujuan pertama Institusi ialah untuk memberikan pendidikan kepada kanak-kanak yang kalau tidak, akan dibesarkan secara duduk-duduk sahaja dan mengakibatkan tabiat buruk tanpa cara mendapatkan sebarang ajaran, baik dalam pembelajaran berguna mahupun sebarang kerja kasar, dan untuk menanam tabiat-tabiat awal terhadap kerajinan, disiplin, dan kelakuan baik.” — daripada “Rancangan Asal Penubuhan Free School, Pulau Prince of Wales, 1816”.

Satu badan jawatankuasa ditubuhkan dan dianggotai oleh yang berikut: Rev. R. S. Hutchings, R. Ibbetson Esq., Capt. J. M. Coombs, J. MacInness Esq., J. Carnegy Esq., D. Brown Esq. and R. Caunter Esq. Dalam satu kutipan yang di adakan sejumlah $10, 867 dikumpulkan antara 1816 hingga 1824. Sebagai tambahan , pihak Gabenor, bagi pihak Syarikat India Timur – (East India Company), memberikan sumbangan $1,500, bayaran bulanan $200, dan sekeping tanah dikenali sebagai Church Square, sebagai tapak penubuhan bangunan sekolah. . Sekolah Penang Free merupakan sekolah Inggeris yang pertama didirikan di Tanah Melayu dan juga di Asia Tenggara.

Sekolah Menengah Kebangsaan Penang Free atau nama ringkasnya SMK Penang Free, merupakan sebuah Sekolah menengah kebangsaan yang terletak di Jalan Masjid Negeri.

Pada 2009, Sekolah Menengah Kebangsaan Penang Free memiliki 1077 pelajar lelaki dan 77 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 1154 orang. Ia mempunyai seramai 124 orang guru. Penang Free School ialah sebuah sekolah menengah yang terletak di Georgetown, Pulau Pinang, Malaysia. Diasaskan pada tahun 1816, ia adalah sekolah bahasa Inggeris yang pertama dan tertua di wilayah Asia Tenggara.

19. Istana Negara, Jalan Istana

Istana Negara, Jalan Istana dahulunya adalah tempat bersemayam Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong sebelum Istana Negara, Jalan Duta yang kini siap dibina menjadi tempat bersemayam rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad merupakan pemerintah yang pertama bersemayam di Istana Negara, Jalan Istana ini iaitu bangunan putih yang mempunyai dua kubah emas beberapa minggu sebelum kemerdekaan diisytiharkan. Manakala Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIII, Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah menjadi pemerintah terakhir yang bersemayam di Istana Negara, Jalan Istana ini.

Istana ini terletak di Jalan Istana bertentangan dengan Jalan Syed Putra, suatu kawasan seluas 28 ekar atau 11.34 hektar di tepi bukit Petaling di Kuala Lumpur ini pada asalnya adalah merupakan sebuah banglo yang telah dibina pada tahun 1928 dengan harga RM150,000 dan dahulunya adalah rumah kediaman seorang jutawan dari China, iaitu Encik Chan Wing. Pada zaman pemerintahan Jepun dari tahun 1942-1945, bangunan ini telah digunakan sebagai Mes Pegawai Tentera Jepun.

Selepas Jepun menyerah kalah, bangunan ini telah dibeli oleh Kerajaan Negeri Selangor dan selepas diubahsuai ianya dijadikan sebagai Istana Duli Yang Maha Mulia Sultan Sir Hishamuddin Alam Shah, Sultan Selangor sehingga tahun 1957. Bangunan yang indah itu kemudiannya dibeli oleh kerajaan persekutuan dengan harga RM1.4 juta pada 1957 dan mengubahsuai pada harga RM328,000 untuk menjadikannya istana yang sesuai untuk dijadikan kediaman Raja bagi sebuah negara merdeka yang baru.

Istana Negara, Jalan Istana kemudiannya direka semula oleh arkitek Jabatan Kerja Raya E.K. Dinsdale sementara pengubahsuaian dilakukan oleh kontraktor tempatan yang mengambil masa empat bulan dan tidak mempengaruhi struktur utama bangunan. Pengubahsuaian itu menambahkan bilangan bilik daripada 13 kepada 20, dengan dapur bagi 100 orang, Balai Menghadap, empat Bilik Tetamu, dua Balai Kemasukan dan satu Dewan Santapan.

Pada 1980, Istana Negara, Jalan Istana telah mengalami pengubahsuaian yang besar bagi tempat bersemayam rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dengan penambahan Balairong Seri Utama iaitu tempat Singgahsana diletakkan. Ini adalah kali pertama Singgahsana diletakkan di Istana Negara, Jalan Istana yang sebelumnya pertabalan Yang di-Pertuan Agong diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang.

Singgahsana baru ini telah dibina di bawah pengelolaan arkitek Jabatan Kerja Raya Kapt David Wee yang berasaskan alat kebesaran diraja. Ia digunakan pertama kalinya ketika pertabalan Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musa’in Billah Sultan Abu Bakar Ri’atuddin Al-Mu’adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-7 pada 1980. Selain Istiadat Pertabalan, Balairong Seri juga digunakan bagi Santapan Rasmi, Istiadat Keputeraan, Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah dan Bintang-Bintang Kebesaran serta Majlis-majlis Keagamaan.

20. Stadium Merdeka, Kuala Lumpur

Stadium Merdeka merupakan hasil daripada cetusan idea Al-Marhum Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sejak tahun 1951, semasa beliau masih lagi menjadi Pegawai Kerajaan dan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia di zaman Pemerintahan British. Pembinaan Stadium Merdeka telah bermula pada bulan September 1956 dan siap sepenuhnya pada bulan Ogos 1957.

Kos pembinaannya adalah RM2.3 juta yang dibiayai sebahagiannya melalui kutipan derma dari orang ramai. Sebuah tapak yang sesuai telah diperolehi di dalam kawasan Taman Coronation yang termasuk dalam hakmilik Majlis Perbandaran dan pada asalnya merupakan tanah perkuburan Cina yang terletak di atas bukit. Manakala kerja-kerja pembinaan Stadium Merdeka ini telah dilaksanakan oleh Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran dan diselenggarakan oleh Jabatan Kerja Raya.

Batu asas Stadium Merdeka ini telah diletakkan pada 15 Februari 1957 dan telah dibuka dengan rasminya pada 30 Ogos 1957 oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri yang pertama, bagi Persekutuan Tanah Melayu. Pada masa itu, Stadium Merdeka ini merupakan stadium yang terbesar di Asia Tenggara. Stadium Merdeka ini telah ditadbir oleh sebuah lembaga yang dinamakan Lembaga Kawalan Stadium Merdeka yang dipengerusikan oleh Allahyarham Yang Amat Berbahagia Tun Abdul Razak bin Hussein, Perdana Menteri Malaysia yang ke dua pada masa itu.

Pembinaan Stadium Merdeka melibatkan pengalihan 200,000 ton tanah dan meletakkan 10,000 ton konkrit serta diperkuat dengan 700 ton besi. Tiang lampu limpah diperbuat daripada konkrit berbentuk corong. Ketahanan tekanan ialah 250 ton dan setiap tiang 117 kaki panjang serta 25 ton berat.

21. Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur

Carcosa Seri Negara yang terletaknya di sebelah Taman Tasik Perdana di Kuala Lumpur, di bina oleh Sir Frank Swettenham pada tahun 1896 dan merupakan kediaman rasminya. Beliau pindah masuk pada 1904 dan menggelarkannya “Carcosa”, kemungkinan sepatah kata pinjaman Itali yang bermaksud “tempat yang amat disayangi”.

Pada masa yang sama, Sir Frank juga siap membina bangunan “King House” di tepi bukit sebelah. Tujuan pembinaan King’s House, kini digelarkan “Seri Negara” (bermaksud “negara indah”), adalah untuk melindungi Gabernor Negeri-negeri Selat serta tetamu-tetamu Persekutuan Tanah Melayu yang mustahak.

Sir Frank, Penasihat British bagi Sultan Perak, telah mencadangkan penggabungan keempat-empat negeri menjadi sebuah persekutuan. Cadangannya diterima oleh sultan-sultan berkenaan dan Pejabat Luar Negeri British. Seterusnya, Sir Frank dilantik sebagai Residen-Jeneral pertama Negeri-negeri Melayu Persekutuan.

Kuala Lumpur pada masa itu merupakan sebuah kampung sederhana yang pada khususnya didiami oleh pelombong timah Cina. Akan tetapi Sir Frank mencintai tapak ini sejak 1888 sewaktu melawat kawasan hutan di pinggir barat. Oleh sebab beliau berasa bahawa bandar itu memerlukan sebidang kawasan awam, Sir Frank mengempang sungai di tapak hutan. Sungai itu menjadi tasik dan hutannya menjadi apa yang kini dikenali sebagai Taman Tasik Perdana.

Dari 1904 sehingga serangan Jepun pada 1941, Carcosa merupakan kediaman rasmi wakil-wakil tertinggi British kepada negeri-negeri Melayu. Semasa Perang Dunia II, Carcosa menjadi Dewan Mes Pegawai Kanan Tentera Jepun. Pada Ogos 1945, Tentera British menggunakan tempat itu untuk Pegawai-pegawai Kanannya sehingga Ketua Setiausaha dilantik.

Dengan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957, Carcosa menjadi kediaman rasmi Pesuruhjaya Tinggi British, sedangkan King’s House (kini digelar “Seri Negara”) merupakan rumah tetamu rasmi bagi tetamu Malaysia yang terpenting.

Carcosa dipulang kepada Kerajaan Malaysia pada 1987. Pada 1989, selepas Ratu Elizabeth II mendiami di Carcosa semasa “Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel” (CHOGM), pentadbiran kedua-dua rumah agam digabung untuk membentukkan apa yang kini digelarkan “Carcosa Seri Negara”.

22. Victoria Institution, Kuala Lumpur

Victoria Institution pada mula dibina di High Street, Kuala Lumpur, kini jalan Hang Tuah dan dibuka secara rasmi pada 30 Kulai 1894. Nama Victoria Institution mengambil sempena nama Ratu Victoria England bagi memperingati Perayaan Jubli Emas Ratu Victoria. Sekolah ini diasaskan oleh Residen british, saudagar bijuh timah Loke Yew, Kapitan Cina Kuala Lumpur, Yap Kwan Seng dan ahli perniagaan Thanboonsamy Pillay bagi memenuhi keperluan mewujudkan sekolah Inggeris bagi melahirkan kakitangan yang cekap berbahasa Inggeris untuk mengisi jawatan dalam Kerajaan Tempatan.

Bangunan ini direkabentuk oleh firma arkitek terkenal, Swan and Maclaren. Pada tahun 1925 satu tapak baru untuk membina sekolah yang lebih besar bagi Victoria Institution telah dikenalpasti oleh kerajaan iaitu di Bukit Petaling. DY.M.M. Sultan Selangor, Sultan Sir Ala’eddin Suleiman Shah telah meletakkan batu asas sekolah Victoria Institution yang baru ini pada 21 September 1927. Bangunan sekolah dengan pelan induk berbentuk ‘E’ direkabentuk dengan gaya seni bina Art Deco dengan tarikan utamanya adalah menara jam yang mendominasi landskap Bukit Petaling ketika itu.

Pada 2 Mac 1929, penuntut Victoria Institution telah berpindah dari High Street ke Bukit Petaling pada 26 Mac 1929, Victoria Institution di Bukit Petaling dirasmikan oleh Sir Hugh Clifford, Pesuruhjaya Tinggi British. Justeru, ia menjadi sekolah menengah pertama di Tanah Melayu. Victoria Institution terletak di No. 71, Jalan Hang Tuah (dahulunya Jalan Shaw), Kuala Lumpur tersohor dengan pasukan kadet yang ditubuhkan pada tahun 1901 oleh guru besarnya yang pertama En. Bennet Eyre Shaw.

Beliau juga menubuhkan pasukan pancaragam iaitu Pipe and Bugle Band yang bergabung dengan pasukan kadet. Kini Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria mempunyai Pasukan Infranti Kadet. Kumpulan peninjau Pertama Kuala Lumpur dan pasukan pancaragam yang melonjakkan nama sekolah sebagai sekolah yang berprestij dan mengharumkan nama negara setelah menjadi johan pertandingan pancaragam sekolah-sekolah dunia. Dalam arena sejarah tanah air, sekolah inilah majlis penyerahan rasmi tentera Jepun kepada pihak British pada tahun 1945.

Selain itu, Persatuan Alumni Victoria Institution dikenali sebagai Victoria Institution Old Boy’s Association (VIOBA) telah ditubuhkan pada tahun 1922. Kebanyakkan alumni sekolah ni menjadi tokoh terkenal negara seperti Tan Sri Ananda Krisnan, Alahyarham Mokhtar Dahari, mantan pemain bola sepak negara, Datuk Dr. Mani jegathesan, Datuk Seri Rafidah Aziz, ahli ekonomi dan mantan menteri, Y.B. Dato’ Zulhasnan Rafique, Menteri Wilayah Persekutuan, Y.B. Datuk Dr. Ng Yen Yen, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia dan Y.B. Dato’ Seri Hj. Mohd Shafie b. Hj. Apdal, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia.

23. Istana Bandar, Jugra

Dari jauh sudah nampak perbezaannya, tinggi dan besar, jelas menunjukkan ini bukan rumah agam biasa tetapi sebuah istana. Istana Bandar merupakan sebuah kompleks istana yang tersergam indah di Bandar yang merupakan bekas pusat pemerintahan awal kerajaan negeri Selangor. Bangunan dengan 40 buah bilik ini juga dikenali dengan nama Istana Alaeddin, dibina pada 1899 semasa pemerintahan Almarhum Sir Alaeddin Sulaiman Shah (Sultan Selangor ke 5).

Istana ini digunakan sebagai tempat bersemayam baginda sultan bersama permaisuri baginda Hajjah Safiah. Baginda bersemayam di istana ini lebih kurang 35 tahun sehinggalah baginda mangkat pada 1938. Di Istana ini juga Sultan Salahuddin Abdul Abdul Aziz Shah Ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah, Sultan ke tujuh yang memerintah Negeri Selangor Darul Ehsan telah ditabalkan pada 1926. Selepas kemerdekaan, Istana Bandar telah ditinggalkan berikutan pusat pentadbiran berpindah ke Kuala Lumpur. Bangunan ini kemudiannya dijadikan Pusat Kraftangan Daerah dan Maahad Tahfiz selama beberapa tahun.

Hampir keseluruhan struktur bangunan ini diperbuat daripada batu bata dan motar kapur manakala tangga dan pintu diperbuat daripada kayu chengal. Keseluruhan lantai tingkat atas adalah kayu manakala tingkat bawahnya pula adalah lantai konkrit. Genting bumbungnya jenis genting India profail ‘V’ yang disusun berlapis. Terdapat pinnacles/spike berhias yang terletak di bahagian menara seperti hiasan di bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur.

Struktur bumbungnya juga berbeza-beza ketinggiannya kerana dikatakan untuk menggambarkan struktur hierarki pentadbiran dalam istana. Selain itu, ada binaan kecil di tengah bumbung dipanggil astaka yang dihiasi tunjuk langit dan papan cantik di birai bumbung melengkapi ciri pembinaan istana Melayu. Ukiran tebuk dan kerawang bersilang adalah antara penyeri memperlihatkan ketelitian dan kesenian tukang-tukang mahir terdahulu untuk pengudaraan yang baik. Bangunan Istana ini turut dibina bersama-sama dengan tukang-tukang Cina mahir yang menerapkan unsur-unsur seni ukiran dan ragam hias pengaruh Cina.

Selain itu binaan bangunan Istana ini juga mempunyai lanskap yang menarik serta kolam-kolam yang terletak di bahagian hadapan istana.

24. Bangunan Lama Hongkong and Shanghai Bank (HSBC)

Bangunan lama HSBC (Hong Kong and Shanghai Bank Corporation) yang terletak di Jalan Kota ini adalah sebuah bangunan zaman British yang dibina khas sebagai sebuah bank. Ia dibina sekitar tahun 1912. Bangunan ini direkabentuk dengan gaya klasikal sama seperti lain-lain bangunan HSBC yang sezaman. Tingkat bawah adalah pejabat operasi bank, manakala pengurus dan kakitangan bank warga asing tinggal di tingkat atas.

Ia dilengkapi dengan beberapa buah bilik besar dengan dapur, bilik makan serta bilik mandi guna sama. . Situasi ini berlanjutan sehinggalah 40 tahun berikutnya. Pada tahun 1920an, satu blok tambahan (annex) telah dibina sudut kiri di bahagian belakang bangunan utama yang bersambung dengan bilik makan tingkat atas. Di awal pembinaan bangunan ini, ianya terletak di pinggir muara Sungai Melaka tetapi muara ini telah ditambak. Sebatang jalan (Jalan Quayside) dan beberapa buah gudang dibina di kawasan ini.

Hasil kajian ekskavasi oleh Jabatan Warisan Negara, pembinaan bangunan ini terletak di atas kubu atau runtuhan Bastion Hendrik Federick, Kota Melaka yang dibina oleh Portugis pada kurun ke-16. Ini dapat dilihat dari kesan ekskavasi arkeologi yang dilaksanakan di bahagian utara bangunan, di mana unjuran temboknya melintasi ke bangunan ini. Pada tahun 2007, bangunan ini telah dibeli oleh Jabatan Warisan Negara untuk dijadikan sebagai Pejabat Jabatan Warisan Negara Wilayah Selatan dan Galeri Kota Melaka.

Bangunan ini direka bentuk atas pelan yang berbentuk segi empat tepat simetri. Terdapat dua buah pintu utama yang terletak pada sisi kiri dan kanan bangunan. Keempat-empat muka bangunan pula dibina dengan tingkap yang luas bagi memperoleh sistem pencahayaan dan pengudaraan semulajadi yang baik kerana keluasan bangunan tersebut agak luas. Aras kedudukan tingkap tingkat bawah berada pada kedudukan yang lebih tinggi dari aras jalan dan dipasangkan dengan jeriji besi bagi tujuan keselamatan.

Berbeza dengan tingkap pada bahagian atas yang lebih luas dan dihiasi dengan ram kayu (timber lourves) untuk mewujudkan suasana yang aman di bilik kediaman.

Fasad belakang bangunan ini telah dibina bukaan dengan ukuran yang sama dengan tingkap pada fasad hadapan. Kedudukan bukaan tersebut terletak pada bahagian serambi (balcony) dan menghadap pemandangan muara Sungai Melaka yang sibuk dengan kapal-kapal pedagang yang berlabuh di situ pada masa itu. Bahagian tersebut merupakan ruang istirehat (living hall) dan ruang makan bagi penghuni apartment.

Selepas tahun 1970an, keperluan bank semakin bertambah maka ruang apartment tingkat atas telah dipecahkan dan ditempatkan dengan pejabat tambahan dan pejabat peguam bank. Pengubahsuaian tersebut telah mengakibatkan kepada pengubahsuaian bukaan pada bahagian tersebut dimana bukaan tersebut telah dipasang dengan daun tingkap yang sama seperti yang terdapat pada tingkap fasad hadapan. Dua buah tangga kayu tambahan telah dibina pada bahagian dalam bank bagi menghubungkan tingkat bawah dengan tingkat atas.

Kerja konservasi bangunan ini merangkumi kerja membaiki, merawat, mengganti elemen dan struktur yang rosak dengan bahan yang sama seperti asal sama ada dari segi jenis bahan, saiz, warna, bentuk , teknik pembuatan dan teknik pemasangan. Antara kerosakan yang dikesan pada bangunan ini adalah kelembapan pada dinding, permukaan cat mengelupas , penggaraman pada plaster dinding, kerosakan struktur kayu, kerosakan lepaan, kerosakan bumbung, sistem pendawaian elektrik yang sudah usang dan sistem perparitan yang tidak teratur.

Di samping itu terdapat juga kerja-kerja membuka semula struktur baru dan binaan baru untuk mengembalikan bangunan kepada asal, seperti bilik kebal dan tangga. Selain kerja-kerja konservasi terdapat juga binaan dan pemasangan baru seperti membina pondok pengawal, pagar, pintu pagar, lantai papan, pemasangan alat penghawa dingin, kipas dan lampu-lampu.

25. Muzium Perak,Taiping

Muzium Perak merupakan institusi permuziuman yang tertua di negara ini. Bangunan ini telah dibina atas usaha Residen Perak ketika itu, Sir Hugh Low. Bangunan muzium ini dibina secara berperingkat. Terdapat tiga blok iaitu Blok A (blok utama) yang berhadapan dengan Jalan Taming Sari, manakala Blok B dan Blok C yang menghadap Jalan Muzium. Bangunan Blok A telah dibina pada tahun 1883 dan hanya mula digunakan pada tahun 1886.

Kesan daripada percambahan pembinaan bangunan Muzium Perak yang berperingkat-peringkat telah menjadikan rupa bentuk bangunan berbentuk ‘L’.

Seni bina bangunannya menerima pengaruh neo-classical berbentuk elemen-elemen simetri sebagaimana lazimnya bangunan-bangunan di Eropah. Keutamaan difokuskan pada tampak hadapan bangunan yang mempunyai porch. Keseimbangan pada setiap bahagian menegak dan melintang amat dititikberatkan. Ciri-ciri seni bina fasad muzium ini juga meminjam elemen-elemen seni bina zaman Greek klasik dan Roman seperti pediment, entablature dan motif kepala tiang.

Kerja-kerja pemuliharaan ke atas bangunan muzium ini telah dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Sebanyak tiga fasa telah dilaksanakan supaya pelawat-pelawat tetap dapat berkunjung ke muzium walaupun kerja-kerja pemuliharaan sedang dilaksanakan Projek yang bermula pada bulan Disember 2007 ini mengambil tempoh masa 14 bulan untuk disiapkan.

Kerja-kerja utama pemuliharaan bangunan muzium ini ialah mengikis dan mengecat keseluruhan struktur dinding dan merobohkan tandas lama bagi mengekalkan rupa bentuk asal bangunan. Tandas baru pula telah dibina bertentangan dengan Blok C. Penggunaan penghawa dingin secara centralise untuk Blok A dan Blok B, manakala Blok C menggunakan penghawa dingin jenis split unit. Kerja-kerja lain pula ialah membaiki tiang penyokong banguan yang rosak di Blok A dan B. Membuka panel-panel tingkap yang ditutup sebelum ini untuk menghalang kemasukan cahaya ke dalam bangunan.

Membaik pulih makmal yang terletak di belakang bangunan Blok A. Bumbung asal bangunan muzium telah ditukar kepada metal corrugated sheet untuk mengelakkan kebocoran dalam jangka masa yang panjang. Kabinet-kabinet yang terletak di dalam Blok B dan C dibaik pulih secara in-situ kerana kesukaran untuk membuka dan memasangnya kembali. Kesemua artifak dan koleksi telah dikeluarkan semasa kerja-kerja pemuliharaan dilaksanakan dan disimpan di kabin sementara yang telah disediakan.Manakala koleksi-koleksi dan artifak yang tidak dikeluarkan telah ditutupi dengan kotak sepanjang tempoh tersebut. Kerja-kerja akhir adalah pengindahan lanskap di sekeliling bangunan muzium.

26. Bangunan Muzium Sultan Abu Bakar

Bangunan bersejarah ini telah dibina pada tahun 1929 sebagai kediaman Residen Britsh bagi menggantikan bangunan kayu asal yang dibina pada tahun 1888. Sewaktu Perang Dunia Kedua, bangunan ini telah dijadikan kediaman pegawai-pegawai Jepun. Dalam tahun 1948, bangunan ini dibaik pulih dan dijadikan istana bersemayam Al-Marhum Sultan Abu Bakar. Baginda menjadikannya sebagai Istana Rasmi Negeri dan diberi gelaran nama “Istana Kota Beram” menggantikan Istana Sri Terentang.

Istana Kota Beram telah mengalami perubahan pada tahun 1954 dengan pembinaan bangunan sambungan untuk kegunaan sebagai “Balairong”. Pada tahun 1959-1965, Istana baru dibina berhampiran kawasan Istana Terentang untuk persemayaman D.Y.M.M Sultan Pahang. Oleh itu, Lembaga Muzium Negeri Pahang telah mengambil alih bangunan ini pada 17 Mac 1976 untuk dijadikan Muzium Negeri Pahang dan dibuka dengan rasminya pada 21 Oktober 1976 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah dengan diberi nama “Muzium Sultan Abu Bakar”.

Secara amnya, struktur binaan Bangunan Muzium Sultan Abu Bakar ini mengambungkan dua sistem binaan iaitu Sistem Dinding Tanggung Beban dan Sistem Tiang dan Alang. Sistem Dinding Tanggungan Beban merupakan sistem binaan dinding yang lazimnya digunakan pada binaan bangunan sebelum teknologi konkrit bercerucuk diperkenalkan. Pada bangunan muzium ini sistem struktur ini diaplikasi pada bahagian utama bangunan. Ketebalan dinding adalah di antara 12″ hingga 14″ dan ia terbina daripada ikatan batu bata yang dilepa. Manakala Sistem Alang dan Tiang ini diaplikasi untuk menyokong bahagian verandah dan juga anjung terutamanya di tingkat satu. Tiang bangunan ini bersaiz 1’6″ digunakan untuk menyokong struktur yang terdiri dari rasuk di atasnya.

27. Bangunan Sanitary Board, Taiping

Bangunan Sanitary Board ini terletak di Lot 105, Jalan Station berhampiran dengan pusat bandar Taiping, Perak Darul Ridzuan dibina pada 1892. Bangunan tersebut terletak berdekatan dengan landasan keretapi pertama di Semenanjung Malaysia yang telah menyambungkan Bandar Taiping dan Pelabuhan Weld sejauh 8 batu. Antara faktor menarik pembinaan bangunan ini adalah kedudukannya yang bersebelahan dengan Pejabat Pos yang dibina pada tahun 1884, Rumah Rehat Kerajaan yang telah dibina pada tahun 1894 dan juga sekolah Inggeris yang pertama di Tanah Melayu iaitu King Edward VII yang dibina pada 1883.

Mengikut sejarah awal tujuan pembinaan bangunan ini adalah untuk menempatkan Lembaga Kesihatan Taiping. Pada 1950, bangunan ini telah menempatkan Pejabat Kesihatan Taiping dan Pejabat Majlis Daerah (Majlis Perbandaran Taiping). Senibina bangunan ini bercirikan Anglo-Indian (abad ke 19).

Selain itu, bangunan ini juga pernah digunakan sebagai bangunan pejabat Majlis Perbandaran Taiping (MPT) yang kini digunakan sebagai dewan pameran dan perniagaan perabot syarikat swasta. Lembaga Kebersihan (Sanitary Board) merupakan badan kerajaan yang diwujudkan ketika pemerintahan British. Oleh itu, bangunan ini lebih menonjolkan ciri-ciri kolonial Inggeris di samping gabungan dengan seni bina tempatan.

Bangunan dua tingkat ini dibina separuh konkrit, separuh papan di tingkat bawahnya manakala di tingkat atas dibina sepenuhnya dengan papan. Ruang bangunan ini telah banyak diubah suai terutama apabila ianya disewakan kepada syarikat swasta untuk perniagaan perabot. Ruang tambahan juga banyak dibina terutama di sekeliling bahagian bawah bangunan. Terdapat ruang yang terbuka pada asalnya telah ditutup dengan tingkap atau pun dinding baru. Selain itu terdapat pintu, tingkap dan dinding asal bangunan ini telah dibuka atau dirobohkan dan tidak dapat dikesan sisa peninggalannya.

Keunikan bangunan ini menyebabkan pihak Majlis Perbandaran Taiping memohon kepakaran Jabatan Warisan Negara untuk menjalankan kerja-kerja konservasi bagi menyelamatkan bangunan ini dari musnah di telan arus peredaran masa.


28. Bangunan PSMCT, Kuala Terengganu

Rumah Limas dua tingkat yang tersergam indah di Jalan Tok Lam, Bandar Kuala Terengganu ini telah dibina pada 1920an, zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Shah (1920-1942). Pada asalnya, rumah ini beserta Masjid Putih terletak diKampung Dalam yang merupakan sebahagian kawasan Istana Maziah. Ia telah lama dikenali oleh masyarakat setempat sebagai ‘Rumah Tiang Kembar’ kerana tiang anjungnya dibina sederet sebanyak lima pasang secara berkembar.

Pemilik asal kediaman atau istana ini adalah Yang Mulia Tengku Dalam.Yang Mulia Tengku Dalam atau Tengku Teh binti Tengku Chik Muda adalah kerabat DiRaja dari Dungun. Bonda beliau ialah Yang Mulia Tengku Wook binti Tengku Chik Dungun, manakala nenda beliau ialah Yang Mulia Tengku Neng binti Tengku Wook Ismail Siak dan Yang Di-Pertuan Muda Tengku Abdullah. Jika dilihat daripada susur galur keturunan ini, beliau mempunyai talian persaudaraan dengan Kesultanan Siak Sri Indrapura. Suami beliau pula adalah Yang Mulia Tengku Sri Bijaya Raja (Tengku Chik Ahmad bin Abdul Rahman). Beliau mendiami rumah ini sehingga ke akhir hayat.


Selepas kemangkatan beliau, rumah ini telah menjadi harta pusaka dan diletak bawah jagaan Yang mulia Tengku Sri Wangsa Raja (Tengku Hitam) kerana Yang Mulia Tengku Dalam tidak mempunyai zuriat untuk mewarisi rumah tersebut. Setelah Yang Mulia Tengku Hitam mangkat, rumah ini diwarisi oleh putera beliau yang merupakan Bendahari Negeri Terengganu. Rumah ini pernah menjadi Pejabat Hal Ehwal Agama Kuala Terengganu pada tahun 1937 hingga tahun 1938 dan menjadi Pejabat Majlis Perbandaran Kuala Terengganu pada tahun 1946 hingga tahun 1979. Pada 21 Januari 1986, kerajaan negeri telah menyerahkan bangunan ini kepada Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Terengganu (PSMCT) untuk tujuan kegiatan persatuan.

29. Masjid Lama Mulong

Binaan masjid lama ini pada asalnya bukan dibina khusus sebagai sebuah masjid tetapi merupakan binaan sebuah Balairong Seri yang digunakan untuk aktiviti penghadapan raja yang dimiliki oleh Raja Dewa. Raja Dewa merupakan gelaran kepada Tuan Zainal Abidin yang merupakan salah seorang putera kepada Sultan Muhammad III dan saudara kandung Sultan Muhammmad IV. Kedudukan asal bangunan ini adalah di kawasan perkampungan raja di Kota Bharu yang terletak berhampiran dengan Istana Jahar dan Istana Balai Besar.

Namun pada tahun 1958, ianya telah dibeli oleh penduduk Kampung Kedai Mulong dengan harga RM 1000 dan dipindahkan ke Kampung Kedai Mulong untuk digunakan sebagai surau hingga ke hari ini. Struktur lantai dan bumbungnya telah dipotong dua untuk memudahkan kerja pemindahan ke Kampung Kedai Mulong. Balairong Seri itu kemudiannya dipasang semula secara gotong-royong dengan penambahan ruang mihrab dan anjung masuk.

Beberapa penambahan baru dilaksanakan dari semasa ke semasa sehinggalah mengubah rupa bentuknya yang sebenar. Namun hasil daripada lawatan yang dilakukan oleh Dato’ Pesuruhjaya Warisan pada tahun 2007 dan setelah melihat betapa indahnya seni pertukangan Melayu yang boleh dipaparkan kepada masyarakat hari ini, dan juga dari segi sejarahnya yang merupakan sebahagian istana DiRaja Kelantan, Jabatan Warisan Negara, telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan kerja konservasi terhadap bangunan ini.

Kerja-kerja konservasi telah dimulakan pada penghujung tahun 2008 dan telah siap pada awal tahun 2009. Memandangkan banyak perubahan dan binaan baru yang kurang sesuai dilakukan secara berperingkat ke atas bangunan ini, pemuliharaan secara keseluruhan dilaksanakan bagi mengembalikan rupa bentuk asalnya. Proses awal adalah mengikis dan mengecat semula pada tiang, dinding dalam dan luar, panel janda berhias, jejala, motif serta menukar bata asbestos bumbung kepada genting jenis singgora Thailand.

Beberapa kerja baru juga dilaksanakan iaitu anjung hadapan, papan pemeleh bumbung serta perabung konkrit berbentuk ‘ekor itik’ diperincikan lagi dengan reka bentuk baru berdasarkan ciri seni bina DiRaja Kelantan. Semasa kerja-kerja mengikis cat lama di bahagian atas panel janda berhias atau dinding asal balairong seri, pekerja-pekerja terjumpa lukisan mural berkerawang emas berbentuk bunga. Ukiran bunga ini dikekalkan agar sejarah balairong seri tidak hilang. Sebanyak tiga batang tiang penyokong yang using ditukar baru dan enam lagi tiang penyokong ditambah bagi mengukuhkan struktur bangunan.

Bangunan ini juga dianjakkan ke hadapan sejauh enam meter dan ke kanan sebanyak tiga meter dengan menggunakan kaedah chain-lock berikutan tapaknya terkeluar daripada lot tanah wakaf. Kaki-kaki tiang masjid diangkat dan dilapik dengan batang besi paip untuk menggerakkannya dengan penuh berhati-hati. Bangunan ini juga diangkat dan diletakkan di atas pelapik tiang konkrit untuk menjaga keutuhan tiang-tiang kayu penyokong bangunan ini daripada rosak. Antara kerja-kerja lain bagi bangunan ini adalah membina tempat wuduk di bahagian sisi kanan dan tandas di bahagian sisi kiri masjid, kerja-kerja memagar kawasan dan mengindah lanskap sehaingga tampak berbeza daripada keadaan sebelumnya. Kini selepas lapan bulan menjalani proses baik pulih Masjid Lama Kedai Mulong muncul dengan wajah silamnya yang indah dan dibuka untuk diimarahkan semula oleh pengunjungnya. Kemuncak legasi masjid ini ia telah dirasmikan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim pada 5 Julai 2009.

30. Balai Adat Kampung Putera Jelebu

Bangunan Balai Adat biasanya dibina untuk mesyuarat keluarga dan juga untuk aktiviti-aktiviti upacara di dalam sesebuah petempatan. Balai Adat Kampung Putera Jelebu ini, dibina pada tahun 1965 atas keperluan penduduk kampung sebagai dewan untuk aktiviti Masyarakat Kaum Asli seperti upacara bertunang, akad nikah, bersanding dan sebagainya. Bangunan ini pada asalnya berbentuk terbuka seolah-olah sebuah balai yang mempunyai ruang lanai kecil selepas menaiki tangga sebelum memasuki ke dalam bangunan. Lantainya disokong oleh tiang di bawahnya.

Bumbungnya juga terdapat ciri-ciri Minangkabau di mana ia mempunyai rekabentuk yang unik kerana ia menyerupai tanduk kerbau. Pada asalnya bumbung yang digunakan adalah berasal dari atap rembia tetapi setelah diubahsuai, bumbungnya telah ditukarkan kepada zink, walau bagaimanapun bentuk bangunan ini tidak berubah.Bangunan ini telah dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada tahun 1966.

Bangunan ini telah mengalami kerja-kerja ubahsuai pada tahun 1993 oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA). Pada tahun 1994, bangunan ini telah diambil alih oleh Kementerian Pelajaran untuk digunakan sebagai salah satu tempat keperluannya.Sehingga tahun 1994, Bangunan ini terbiar kosong dan semakin uzur. Atas usaha Tok Batin Awang Lijon yang merasakan bangunan ini sangat bersejarah dan berharga, beliau telah memohon kepada Kementerian Pelajaran agar hak milik bangunan ini diserahkan kembali kepada penduduk Kg. Putra dan memohon agar bangunan ini dibaikpulih.

Calon-Calon PT3 2016: MESTI BACA...

» Tajuk, Maklumat Penting Tugasan Kerja Kursus Sejarah PT3 2016

» Contoh Jawapan Lengkap Tugasan / Kerja Kursus Sejarah PT3 2016

» Struktur Beberapa Bangunan Dan Binaan Bersejarah Di Malaysia

» Latar Belakang Bangunan, Binaan Dan Monumen Bersejarah Di Malaysia

» Latar Belakang 30 Bangunan / Binaan Bersejarah Di Malaysia

» Apakah Kepentingan Memelihara Bangunan dan Binaan Bersejarah?

» Sejarah PT3 2016 - Cadangan Langkah² Memelihara Bangunan Sejarah

» Contoh Rumusan Sejarah PT3 2016: Bangunan / Binaan Bersejarah

» Tugasan Sejarah PT3 2016: Struktur Binaan Muzium Perang, Pulau Pinang

» Sejarah PT3 2016: Tujuan Dan Sebab Bangunan / Binaan Bersejarah Dibina

» Sejarah PT3 2016 - Fungsi & Keadaan Bangunan Bersejarah Pada Masa Ini

» Kaedah Kajian Tugasan Sejarah PT3 2016, Bangunan / Binaan Bersejarah

» Tugasan Sejarah PT3 2016: Panduan Lengkap Menulis Sumber Rujukan

Merasakan bangunan ini sewajarnya dipelihara, Bahagian Konservasi Jabatan Warisan Negara telah pun menyenaraikan bangunan ini untuk menjalani kerja-kerja baikpulih agar tidak terus mangalami kerosakan yang serius.

Bangunan ini telah dibaikpulih pada 23 Oktober 2008 dan telah siap dibaiki sepenuhnya tanggal 22 Januari 2009. Kerja-kerja pembaikkan merangkumi bumbung dan strukturnya, membaikpulih serta menggantikan dinding dan lantai yang rosak, membaiki motif hiasan dan sebagainya. Bangunan ini akan digunapakai semula oleh Masyarakat Orang Asli untuk aktiviti kemasyarakatan mereka. Dengan adanya Balai ini berupaya mengimarahkan masyarakat orang asli dengan kegiatan kehidupan mereka.

Apa yang dapat disimpulkan adalah warisan seni bina sesuatu kaum atau bangsa merupakan intipati kemajuan teknologi, ketinggian nilai seni serta acuan corak budaya kehidupan. Pembangunan dan ketamadunan sesebuah negara harus berpaksi kepada warisan silam bagi menjamin kesinambungan kelestarian kehidupan agar nilai budaya dan keseimbangan alam persekitaran dapat diwariskan dari generasi ke generasi.

Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments