Mahkamah Putuskan Pelajar Tahfiz Dakwa Bunuh Diri Sebenarnya Dibunuh

Kota Bharu: Mahkamah Koroner di sini, hari ini memutuskan kematian pelajar Sekolah Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, Wan Ahmad Faris Abdul Rahman, 17, yang ditemui mati tergantung dalam tandas dua tahun lalu disebabkan dibunuh oleh individu yang masih belum tidak dikenal pasti identitinya.

Mahkamah Putuskan Pelajar Tahfiz Dakwa Bunuh Diri Sebenarnya Dibunuh

Koroner Adli Abd Ghalib merumuskan perkara itu selepas berpuas hati dengan fakta dan keterangan saksi sepanjang prosiding inkues kes kematian remaja terbabit.

Adli ketika membentangkan rumusan inkuesnya berkata, mahkamah melihat kepada setiap aspek, masa dan situasi sebelum membuat rumusan berkenaan.

"Selepas mempertimbangkan beberapa faktor terdapat kebarangkalian unsur lain atau orang yang menyebabkan kematian mangsa dan tidak menunjukkan si mati mengambil nyawanya sendiri.


"Oleh itu, keputusan kematian mangsa disebabkan oleh seseorang yang belum dikenalpasti identiti," katanya.

Prosiding inkues dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ainul Wardah Shahidan, manakala keluarga mangsa diwakili peguam Alias Ibrahim.

Sepanjang prosiding inkues yang bermulai pada 27 Julai 2015, seramai 11 saksi dipanggil memberikan keterangan termasuk keluarga, pegawai penyiasat, pihak sekolah dan rakan baik mangsa.


Harian Metro sebelum ini melaporkan mayat Wan Ahmad Faris ditemui mati tergantung dalam tandas oleh penyelia sekolah berkenaan. Siasatan awal polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah.

Bagaimanapun, ahli keluarga memohon proses inkues dilakukan bagi mencari punca kematian anaknya yang didakwa mempunyai unsur jenayah. - Metro

No comments