Masih Ada Yang Bingung Perlaksanaan Asing Sisa Pepejal

Pelaksanaan pengasingan sisa pepejal di punca yang bermula 1 Jun lalu di tujuh negeri hanya akan berjaya dengan adanya kerjasama daripada masyarakat yang benar-benar faham dan tahu cara betul untuk mengasingkan sampah sarap (sisa pepejal).

Masih Ada Yang Bingung Perlaksanaan Asing Sisa Pepejal

Malangnya, masih ramai yang bingung dan mempunyai bermacam persoalan mengenai pelaksanaan dasar itu mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Contoh paling mudah ialah penduduk di rumah pangsa atau kondominium tidak tahu sampah yang telah diasingkan hendak dibuang ke mana, memandangkan badan pengurusan bersama atau Joint Management Body (JMB) hanya menyediakan tong sampah satu warna dan tiada sebarang arahan dikeluarkan setakat ini.

Ada juga yang tertanya-tanya jika kerajaan dan pihak berkaitan akan menyediakan beg plastik biru, hijau, putih dan hitam kepada penduduk.

Bagi yang sudah tahu mengenai penguatkuasaan dasar itu pula, mereka masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dan belajar cara mengasingkan sampah sarap, kerana maklumat yang disalurkan pihak berkuasa nampaknya masih tidak mencukupi, sekalipun pelaksanaan secara mandatori telah bermula 1 September 2015.


Sehubungan itu, kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan perlu melipatgandakan usaha untuk menguar-uarkan dan mengadakan lebih banyak kempen bagi mendidik rakyat mengasingkan sisa pepejal secara betul supaya masyarakat akan lebih menghargai sisa pepejal sebagai satu sumber, selain dapat menjaga kebersihan dan mengekalkan kelestarian alam sekitar.

Bak kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya, pendidikan juga wajib dimulakan daripada peringkat sekolah rendah serta rumah supaya generasi muda dapat membudayakan amalan dan tabiat pengasingan sisa pepejal sejak kecil lagi, termasuk memasukkan topik itu dalam mata pelajaran di sekolah.

Selain kerjasama masyarakat, pihak berkuasa tempatan serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) juga perlu memainkan peranan masing-masing melalui penyediaan tong sampah yang sesuai dan secukupnya, jadual serta lokasi kutipan lebih kerap, sesuai dan mudah.

Ketika ini, kira-kira 37,000 tan sampah dihasilkan rakyat Malaysia setiap hari berbanding 33,000 tan sampah yang dihasilkan pada 2012 menyebabkan kerajaan perlu membelanjakan hampir RM2 bilion untuk mengurus serta membersihkan sampah pada 2015, meningkat RM0.8 bilion berbanding 2012.

Jika pengasingan sisa pepejal dapat dilaksanakan dengan berjayanya di Malaysia, kerajaan sudah tentu dapat menjimatkan sejumlah wang untuk kegunaan lain, di mana jumlah sampah yang dihantar ke tapak pelupusan juga dapat dikurangkan sehingga 40%.

Bukan itu sahaja, ia juga boleh menjana pendapatan buat pihak kerajaan melalui kadar kitar semula yang dijangka meningkat melebihi 22% menjelang 2020.

Untuk menggalakkan penyertaan lebih ramai rakyat, selain penduduk di Perlis, Kedah, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang sudah wajib mengasingkan sisa pepejal, kerajaan boleh mencontohi langkah Bank Simpanan Nasional menawarkan pelbagai bentuk hadiah lumayan menerusi cabutan Sijil Simpanan Premiumnya.

Dengan adanya langkah-langkah berkenaaan serta kerjasama semua pihak, nescaya kesedaran dan pemahaman rakyat terhadap kepentingan mengasingkan sisa pepejal akan meningkat. - FMT

No comments