Nafi Diri 'Kaki Kencing', Boy Iman Dedah Alami Kerugian RM100,000

Pelakon Datuk Boy Iman, 36, menafikan sekeras-kerasnya tuduhan sesetengah pihak mengatakan dia seorang penipu atau ‘kaki kencing’ ketika menjalankan urusan perniagaan sebelum ini.

Nafi Diri 'Kaki Kencing', Boy Iman Dedah Alami Kerugian RM100,000

Boy atau nama sebenarnya Norul Iman Abdul Rahman berkata, dia tidak pernah menipu orang ramai kerana tidak melarikan diri ke mana-mana selain mudah dihubungi menerusi telefon atau laman sosial.

“Mereka menuduh saya suka menipu perlu membuktikan dakwaan tersebut. Kalau benar ada bukti, saya sedia bertanggungjawab.

“Cuma apa yang menyedihkan segelintir pihak suka menambah cerita hingga menyebabkan ramai yang percaya dengan cerita tentang saya yang bukan-bukan.

“Bagi yang suka percaya tanpa usul periksa, saya jemput datang jumpa saya dan kita bersemuka,” katanya seperti yang dilaporkan MalaysiaGazette.

Boy kini menubuhkan syarikat pemaju, DBI Properties Sdn. Bhd. yang membina projek banglo mampu milik bermula serendah RM85,000.

Sebelum ini Boy terkena tempias apabila menjadi duta kepada sebuah syarikat pemaju perumahan namun segelintir pembeli kecewa rumah mereka masih belum dibina sehingga sekarang.

Tahun lalu, bapa kepada dua anak ini turut menjadi mangsa kepada sebuah bazar selebriti yang terpaksa ditutup walaupun baru beroperasi.

“Mengenai kes syarikat pemaju perumahan tiga tahun lalu, saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana saya hanya menjadi duta syarikat.

“Malah saya juga menjadi mangsa kerana komisyen saya turut tidak bayar sehingga sekarang.

“Saya sudah membuat laporan polis selain menfailkan saman malu ke atas syarikat pemaju itu sebanyak RM3 juta,” katanya.

Mengenai bazar selebriti pula, Boy mengakui kesilapannya kerana tidak membuat dokumen hitam putih dengan penyewa selain memilih kawasan bazar yang tidak strategik.


“Orang ramai tidak tahu saya terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM100,000 dan hidup saya porak-peranda selama enam bulan.

“Saya terpaksa hidup merempat di hotel-hotel bajet di Kuala Lumpur selain rumahtangga turut bergolak,” katanya.

Jelas Boy, dia kini bersyukur kerana mendapat peluang kedua untuk menjalani kehidupan apabila menubuhkan DBI Properties.

“Projek banglo mampu milik ini terbuka untuk semua rakyat Malaysia.

"Saya berharap di samping kami mengadakan promosi ini, kami dapat membantu semua golongan mampu untuk memiliki rumah mereka dengan harga yang sangat murah serendah RM85,000 mengikut saiz keluasan.

"Lebih menarik, kaedah pembayaran banglo ini boleh dilakukan secara berperingkat mengikut progres pembinaan iaitu 10%, 40%, 40% dan 10%," katanya.

Projek Banglo Mampu Milik itu berharga RM85,000 membolehkan individu memiliki mini banglo seluas 800 kaki persegi di atas tanah sendiri.

Banglo itu mempunyai sebuah ruang tamu dan ruang makan, tiga bilik tidur, sebuah dapur serta dua kamar mandi serta dilengkapi ruang parker kereta.

Struktur binaannya yang diperbuat oleh dari batu IBS (sistem binaan berindustri) tidak memerlukan perbelanjaan yang besar serta diiktiraf oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan SIRIM.

Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments