Rayani Air Janji Pulang Wang Penumpang Secara Berperingkat

“Kami tunggu sehingga akhir bulan ini kerana syarikat itu berjanji membayar semula wang pembatalan penerbangan kepada semua penumpang secara berperingkat melalui cek tertunda bertarikh 30 Jun ini,” kata Nik Azida Nik Mahmood, 40.


Rayani Air Janji Pulang Wang Penumpang Secara Berperingkat

Penumpang Rayani Air itu berkata, walaupun Jabatan Penerbangan Awam (DCA) bersama Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) membuat keputusan membatalkan Sijil Pengendali Udara (AOC) syarikat itu, mereka tidak bimbang kerana perjanjian dengan Rayani Air sudah dilakukan.

“Pada 24 Mei lalu, kami mengadakan perjumpaan dengan pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran dan mereka memaklumkan segala masalah kewangan yang dihadapi termasuk notis pembatalan penerbangan.

“Bagaimanapun kami tidak mahu mencampuri hal itu (pembatalan AOC) kerana kami hanya berurusan dengan syarikat Rayani Air yang masih lagi beroperasi sehingga kini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Semalam, Ketua Pengarah DCA Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman mengumumkan pembatalan AOC syarikat itu.

BACA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia Batalkan Lesen Rayani Air

Nik Azida berkata, ketika ini semua penumpang hanya tunggu dan lihat selain berharap ia dapat diselesaikan dengan baik kerana lesen syarikat Rayani Air tidak ditarik.

Menurutnya, penumpang dan wakil penumpang tidak boleh membuat sebarang tindakan secara melulu memandangkan mereka sudah bersetuju dengan syarat diberikan Rayani Air.

“Kami juga akan menyerahkan perkara ini (pembayaran pulangan) kepada pihak berkuasa jika ia masih belum diterima pada tarikh yang dijanjikan memandangkan isu ini dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di pejabat cawangan syarikat itu di Dataran Otomobil, di sini, mendapati ia masih beroperasi dan beberapa penumpang sedang menunggu di kaunter pembayaran pulangan wang pembatalan penerbangan untuk mendapatkan cek tertunda seperti dijanjikan. - Harian Metro


Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments