Ruang Kargo Pesawat Dinaiki Rosmah Telah Diubahsuai – Pegawai Khas

Kuala Kangsar: Ruangan kargo pesawat yang dinaiki Datin Seri Rosmah Mansor ke Turki 27 Mei lalu telah diubahsuai untuk perjalanan jauh, jelas pegawai khasnya, Rizal Mansor.

Menjelaskan mengapa beg tidak dimuatkan dalam ruang bagasi, Rizal menjawab pesawat telah membuat pengubahsuaian kepada ruang kargo untuk membesarkan tangki minyak.

Ruang Kargo Pesawat Dinaiki Rosmah Telah Diubahsuai – Pegawai Khas

Menurutnya lagi, ruang kargo itu juga digunakan untuk membawa kostum dan alatan Permata Seni yang diundang membuat persembahan di Istanbul.

Isteri Perdana Menteri berlepas ke Istanbul untuk menghadiri majlis Global Good Governance Award 2016 dan menerima anugerah 3G Children Welfare Award bagi pihak Permata Negara.

“Saya beranggapan YB Rafizi Ramli tidak pernah menaiki pesawat komersil mahupun pesawat eksekutif,” kata Rizal dalam catatannya di Facebook, “YB boleh menyemak terma ‘ACT – additional centre tank’ dengan ‘rakan-rakan’ dalam industri penerbangan.”

“YB Rafizi Ramli mahu menutup malu setelah membuat kesilapan mengira ‘flying hours’ rombongan Isteri Perdana Menteri ke Istanbul iaitu dengan mengira 1440 jam dan bukannya 26 jam. Oleh kerana itu beliau sekarang bercakap mengenai jumlah beg untuk rombongan Isteri Perdana Menteri ke Istanbul.”

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli hari ini menayangkan video kepada pemberita, yang menurut pemimpin PKR itu menunjukkan Rosmah menaiki pesawat tersebut, diiringi sejumlah pegawai membawa beberapa beg.

Ia rentetan daripada dakwaan Rafizi bawa Rosmah menggunakan jet peribadi yang disewa kerajaan untuk menghadiri majlis pengiktirafan Permata Negara itu.


Penggunaan jet peribadi itu dipertahankan pegawai khas Rosmah, Rizal Mansor yang berkata ia berikutan jadual Rosmah yang padat.

Sementara itu, pemberita berkejaran ke Hospital Kuala Kangsar untuk menyertai program Rosmah menyantuni pesakit di sana.

Beliau tidak berkata apa-apa ketika ditanya pemberita seusai program lawatannya.

“Datin Seri, boleh ulas tentang dakwaan Rafizi?” tanya pemberita, namun isteri Perdana Menteri itu hanya berdiam diri dan masuk ke dalam kereta.

Sebelum ketibaannya, seorang anggota polis turut memberi peringatan agar wartawan tidak bertanya apa-apa soalan kepada Rosmah.

“Nanti dilarang buat wawancara. Ini hanya program lawatan biasa,” kata seorang anggota polis.

Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments