Terkini

Surat Terbuka Pendebat Terbaik Asia Kepada TMJ Mohon Maafkan Muhammad Amirul

Bekas Pendebat Terbaik Asia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mengutuskan surat terbuka kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) memohon perkenan Tunku Ismail Sultan Ibrahim supaya memaafkan seorang buruh yang dijatuhi hukuman penjara setahun kerana didapati bersalah membuat komen bersifat jelik terhadap baginda.

Surat Terbuka Pendebat Terbaik Asia Kepada TMJ Mohon Maafkan Muhammad Amirul

Menurut Syed Saddiq yang juga jurucakap Challenger, beliau tidak menafikan bahawa tindakan Muhammad Amirul mengeluarkan kenyataan terhadap baginda bukanlah satu tindakan yang wajar.

“Sendaannya mungkin melampaui batas. Namun, kebebasan bersuara tidak sepatutnya disekat hanya kerana ianya dianggap "menyakitkan hati".

“Sebagai bangsa Johor, patik pohon perkenan Tunku untuk memaafkan Muhammad Amirul dan melakukan segala apa yang terdaya untuk menjamin kebebasannya. Sebagai contohnya memberi ampun atau melobi menentang Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Media ‪#‎AktaSakitHati‬,” tulis Syed Saddiq dalam kemaskini di laman Facebooknya pada Rabu.

Tambah Syed Saddiq, beliau berharap agar Tunku Ismail sekali lagi dapat membuktikan kepada rakyat negara ini bahawa baginda ialah seorang pemimpin yang laksanakan apa yang dikatakan.

“Patik pohon perkenan Tunku untuk sekali lagi menjadi contoh kepada pemimpin-pemimpin Malaysia by being the bigger and better person.

“Tunku telah menyelamatkan ramai rakyat Malaysia dengan bersuara lantang menentang korupsi. Dengan penuh rasa rendah diri, patik pohon, tolonglah selamatkan seorang lagi anak muda (Muhammad Amirul)," ujarnya.

Mahkamah Sesyen semalam menjatuhkan hukuman setahun penjara ke atas Muhammad Amirul selepas didakwa mengeluarkan kenyataan bersifat jelik menerusi akaun Facebook miliknya, “Miyo Castello” dengan niat ingin menyakiti hati Tunku Ismail dan institusi diraja Johor.

Sementara itu, Tunku Ismail sebelum ini dilihat lantang mengkritik dan menyuarakan pandangan termasuk menyentuh sifat pemimpin negara dan situasi politik.


Kata Syed Saddiq lagi, beliau sangat menyanjung tinggi sifat lantang Tunku Ismail terutamanya membabitkan isu kebebasan bersuara dalam mempertahankan hak rakyat.

“Patik cerap dengan prinsip Tunku yang memperjuangkan kebebasan bersuara. Tunku telah buktikan berkali-kali kepada kami sekalian rakyat bahawa kebebasan bersuara itu bukan hak milik mutlak golongan atasan semata-mata.

“Patik sangat menghormati Tunku atas segalanya yang telah Tunku lakukan dan perjuangkan demi rakyat bumi ini. Terutama sekali kelantangan Tunku bersuara bagi pihak kami menentang ketidakadilan,” katanya.

“Patik juga sedar bahawa Tunku telah pun meluahkan rasa tidak setuju dengan tindakan Pihak Polis berkenaan isu ini. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Tunku berkenaan isu ini amat bermakna bagi patik-patik sekalian terutama sekali rakyat Johor.

“Dengan bangganya kami mampu pertahankan kemuliaan hati Tunku yang tidak cepat melatah dengan sindiran dan ejekan di media sosial.

"Dengan bangganya kami mampu mencontohi Tunku di media sosial dan tidak cepat meradang dengan kutukan yang dilemparkan ke atas kerabat diraja kami.

“Dengan bangganya kami mampu menjadi lebih matang selari dengan peredaran zaman,” tambah Syed Saddiq. - mD

No comments