Suruhanjaya Penerbangan Malaysia Batalkan Lesen Rayani Air

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) hari ini membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) kepada syarikat penerbangan Rayani Air.Dalam satu kenyataan hari ini, suruhanjaya itu mendapati Rayani Air telah melanggar syarat-syarat lesen berkenaan dan tidak mempunyai keupayaan kewangan dan pengurusan untuk terus beroperasi sebagai sebuah syarikat penerbangan komersial.


Suruhanjaya Penerbangan Malaysia Batalkan Lesen Rayani Air

"Akibatnya, Rayani Air tidak lagi boleh beroperasi sebagai sebuah syarikat penerbangan komersial berkuat kuasa hari ini," kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan.

Suruhanjaya itu mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Rayani Air pada 25 Mei selepas menilai kedudukan dan keupayaan komersial syarikat penerbangan itu untuk menentukan keupayaannya memenuhi syarat ASL.

Dalam surat tunjuk sebab itu, Mavcom meminta syarikat penerbangan itu mengemukakan representasi secara bertulis dalam tempoh 14 hari sebelum membuat keputusan sama ada Rayani Air harus dibenarkan untuk terus memegang lesen berkenaan atau sama ada ia patut dibatalkan atau digantung.

"Rayani Air mengemukakan representasi secara bertulis kepada Mavcom pada hari terakhir masa yang ditetapkan.

"Selepas mengkaji representasi bertulis Rayani Air, Mavcom memutuskan untuk membatalkan lesen penerbangan kerana representasi yang dibuat oleh Rayani Air tidak memberi jawapan yang memuaskan kepada surat tunjuk sebab bertarikh 25 Mei," katanya.

Suruhanjaya itu berkata pelanggan boleh mendapatkan bayaran balik daripada Rayani Air.


"Pelanggan yang telah membeli tiket dengan Rayani Air dan tidak dapat meneruskan perjalanan mereka boleh membuat aduan dengan syarikat itu dan mendapatkan bayaran balik.

"Sekiranya pengguna tidak mampu untuk mendapatkan bayaran balik mereka, pengguna boleh memfailkan saman sivil bagi bayaran balik.

"Selain itu, pengguna yang terjejas boleh membuat aduan rasmi dengan suruhanjaya itu, yang boleh mendengar dan memutuskan aduan itu, dengan tujuan untuk melindungi kepentingan pengguna yang sah.

"Suruhanjaya itu boleh memohon keputusannya didaftarkan sebagai suatu penghakiman di Mahkamah Tinggi Malaysia," tambahnya.

Pengerusi Eksekutif suruhanjaya itu, Tan Sri Abdullah Ahmad, berkata episod ini menjadi peringatan bahawa operasi penerbangan komersial berjadual adalah mencabar dan memerlukan perancangan yang hebat, kekuatan kewangan, pengetahuan operasi dan keupayaan pelaksanaan.

"Ini lebih-lebih lagi memandangkan persekitaran yang sangat kompetitif di mana syarikat penerbangan hari ini beroperasi.

"Asas-asas perdagangan yang kuat dan mendalam menjadi prasyarat yang diperlukan untuk menjadi pemain dalam industri ini. Suruhanjaya itu akan berusaha untuk memastikan hanya syarikat yang lengkap dan bersedia akan dibenarkan untuk mengambil bahagian," kata Abdullah.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Jabatan Penerbangan Awam (DCA) telah menggantung syarikat penerbangan itu selama tiga bulan berikutan mogok operasi yang dilakukan juruterbangnya.

Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments