Terkini


Ahmad Said Dilantik Sebagai Yang Dipertua Perkasa Terengganu

KUALA TERENGGANU: Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dilantik sebagai Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Terengganu yang baharu berkuat kuasa semalam.


Ahmad Said Dilantik Sebagai Yang Dipertua Perkasa Terengganu

Perkara itu diumumkan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali di sini hari ini hasil persetujuan dewan tertinggi pertubuhan berkenaan yang sebulat suara bersetuju dengan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu.

Ibrahim menjelaskan, pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Ismail Sama'ah yang bersetuju memberi laluan kepada Ahmad bagi memantapkan perjuangan serta hala tuju Perkasa Terengganu.

Menurutnya, pelantikan itu juga merupakan inisiatif Perkasa negeri ini hasil pertemuan kepemimpinan pertubuhan itu dengan Ahmad sebelum ini dan bekas Menteri Besar itu bersetuju untuk menerajui Perkasa negeri ini.

“Alhamdulillah, beliau bersetuju dan beliau juga akan buat sedikit rombakan dalam usaha memperkukuhkan lagi kepemimpinan Perkasa di negeri ini.

“Saya agak terkejut juga apabila Ahmad terima pelantikan ini sebab tiada gaji,” katanya berseloroh dalam sidang akhbar mengenai pelantikan itu.


Yang turut hadir, Ahmad serta barisan kepemimpinan Perkasa termasuk Ismail.

Dalam pada itu, Ahmad melahirkan rasa syukur diberi kepercayaan menerajui Perkasa Terengganu dalam usaha memperjuangkan nasib serta masa depan orang Melayu.

“Saya terima pelantikan ini kerana saya setuju dengan perjuangan Perkasa demi kepenti­ngan orang Melayu pada hari ini dan orang Melayu perlu disatukan di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Perkasa.

“Lagipun, sekarang ini saya agak bosan kerana tak buat apa-apa, jadi dengan pelantikan ini dapat saya bergerak ke bahagian-bahagian di negeri ini bagi memperkukuhkan Perkasa,” ujarnya. - Utusan Malaysia

Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments