Anggota Bomba Jujur Pulangkan Wang RM30,000 Milik Mangsa Kebakaran

JOHOR BAHRU, Isnin – Bukan sekadar berjaya memadamkan kebakaran di sebuah kedai, seorang anggota bomba, Hairul Mat Nin telah menyelamatkan wang RM30,000 dan barang berharga lalu memulangkannya kepada pemiliknya.



Hairul, 33, adalah antara 16 anggota bomba yang bertungkus lumus memadam kebakaran di sebuah bangunan kedai dua tingkat di Jalan Tanjung, Taman Penggawa Barat pada jam 4 petang Jumaat lalu.

“Apabila kami sampai, pemilik kedai memberitahu ada duit yang disembunyikan di tingkat atas dan meminta kami menyelamatkannya jika boleh.

“Saya masuk kedai itu dalam keadaan api marak, naik ke tingkat atas dan saya jumpa sejumlah wang dalam mata wang tempatan dan asing di celah-celah dokumen, buku dan perabot di ruang tamu,” katanya kepada wartawan The Star.


Hairul yang merupakan ayah kepada dua anak itu berkata, adalah menjadi kebiasaan bagi bomba menyelamatkan wang tunai dan barang berharga ketika bertugas, namun jumlah yang ditemui pada kejadian itu adalah yang paling tinggi.

“Pemilik kedai meletakkan kepercayaan kepada saya untuk mencari barang berharganya. Jadi kita kena kembalikan kepercayaan ini dengan memulangkan barang milik mereka.

“Walaupun agak sukar bertugas di bulan Ramadan, tapi apabila melihat senyuman dan kelegaan pemilik-pemilik premis adalah sesuatu yang paling indah,” katanya.

Hairul yang telah berkhidmat selama 14 tahun sebagai bomba, menyerahkan wang itu kepada ketua operasi, Khairul Azhar Abdul Aziz, lalu kemudiannya diserahkan kepada pemilik kedai, Teo Kian Yong.

“Kami memuji sikap jujur Hairul memulangkan semula wang itu dan ia telah menaikkan nama jabatan kami. Kami berharap semua anggota bomba dapat melakukan perkara yang sama,” kata Khairul Azhar.

Kebakaran di kedai yang menjual peralatan ibadat itu berjaya dipadamkan dalam tempoh 20 minit.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. - mStar

Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments