Terkini

Arak, Babi, Seks Rambang: Penyerang Nice Tidak Amal Ajaran Islam

NICE, Perancis – Lelaki yang membunuh puluhan orang menggunakan sebuah trak ketika hari perayaan Bastille di Nice, Perancis minggu lalu bukan seorang yang mengamalkan ajaran Islam, malah meminum arak, menggunakan dadah dan melalukan seks rambang, menurut penyiasat.


Arak, Babi, Seks Rambang: Penyerang Nice Tidak Amal Ajaran Islam

Cuma kebelakangan ini, Mohamed Lahouaiej Bouhlel, 31, ayah kepada tiga orang anak, didapati melayari laman propaganda IS dan memuat turun pelbagai gambar ngeri.

Pendakwa raya Paris, Francois Molins berkata beberapa rakan Bouhlel menganggapnya seorang yang bukan mengamalkan ajaran Islam, “memakan babi, meminum arak, mengambil dadah dan mengamalkan seks rambang”.

Minat 'Keganasan'

Bagaimanapun, penduduk Nice itu baru-baru ini menunjukkan “minat yang jelas terhadap kumpulan jihad radikal”.

Menurut rakannya, Bouhlel menceritakan kepada dia minatnya menonton klip video tebusan IS dipenggal kepala.

Baca: Identiti Pemandu Trak Rempuh Orang Ramai Di Bandar Nice, Perancis

Penyiasat juga menjumpai pelbagai gambar mayat dalam keadaan ngeri tersimpan dalam komputernya.


Bagaimanapun, Molins berkata tidak ada bukti Bouhlel memberikan taat setia kepada IS, yang mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu.

Melayari internet, Bouhlel cuba mencari maklumat mengenai serangan ke atas sebuah kelab gay di Orlando, Amerika Syarikat yang membunuh 49 orang, dan juga pembunuhan sepasang anggota polis di Magnanville, Paris oleh seorang yang mengaku anggota IS.

Walaupun dia kerap ditangkap polis, Bouhlel bukan berada dalam pemerhatian pihak perisikan Perancis.

Berlagak

Bouhlel berasal dari Msaken, Tunisia, dan tiba di Perancis pada 2005. Setahun kemudian, dia mendapat status penduduk tetap dan berkahwin seorang wanita Perancis keturunan Tunisia.

Beberapa orang yang pernah bertemunya di sebuah pusat gim di Nice berkata Bouhlel seorang yang suka menunjuk-nunjuk, dan pernah mengambil kursus tarian salsa.

Seorang lelaki berusia 74 tahun juga dikatakan pernah menjadi kekasihnya. Bouhlel juga dikenali sebagai seorang yang berlaku ganas terhadap isteri dan tiga anak kecilnya.

Bekas jirannya yang enggan dikenali berkata pernah sekali, selepas isterinya menuntut cerai 18 bulan lalu, dia mengamuk dan membuang najisnya di serata tempat.

“Dia memotong-motong patung beruang anak perempuannya dan mengoyak tilam.

“Saya tidak fikir isunya radikalisasi, saya rasa ia masalah sakit jiwa,” katanya.

Bapa Bouhlel memberitahu AFP, anaknya mengalami depresi.

“Dia kerap jadi marah dan berteriak, dan memecahkan apa-apa barang di hadapannya.”

Antara kesalahannya yang direkodkan polis ialah “ugutan, kekerasan, mencuri dan kerosakan”.

Awal bulan ini, Bouhlel berhenti mencukur jambang, dan memberitahu seorang kawan ia atas sebab “agama”.

Dia dikatakan mula memerhatikan Promenade des Anglais di Nice, jalan yang menjadi sasarannya minggu lepas, dan beberapa jam sebelum serangan, mengambil gambar selfi di tepi pantai. - FMT

Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments