Terkini


Bilqis Bebas Tuduhan 'Biadap' Jatuhkan Belon Atas Najib

KUALA LUMPUR: Penari Bilqis Hijjas dibebaskan daripada tuduhan menjatuhkan beberapa belon di pusat beli-belah tahun lalu. Majistret Mohd Faizal Ismail dalam keputusannya berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan dakwaan terhadap Bilqis, yang juga anak kepada arkitek terkenal Hijjas Kasturi, mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.


Bilqis Bebas Tuduhan 'Biadap' Jatuhkan Belon Atas Najib


“Bukti pengadu tidak boleh dipercayai ketika mendakwa dirinya dihina. Beliau hanya menjalankan tugasnya sebagai polis bantuan untuk memastikan keamanan di pusat beli-belah itu,” katanya.

Majistret berkata saksi daripada penganjur program kesenian itu juga tidak sedar mengenai kejadian belon jatuh berkenaan sehingga diberitahu.

BACA: Jatuhkan Belon Kuning Atas Najib, Penari Wanita Mengaku Tidak Bersalah

“Kalau dia sendiri tahu mengenai kejadian itu dan melaporkannya kepada pihak berkuasa, maka mahkamah boleh mengatakan sikap tertuduh itu menghina kerana ia disasarkan kepadanya.”

Dalam keputusannya, Faizal berkata pegawai penyiasat dalam keterangannya kepada mahkamah yang menyatakan Bilqis ‘biadap’, itu hanya pendapatnya sendiri.


Beliau juga meneliti hansard dan mendapati ketika rang undang-undang Kesalahan Kecil dibahaskan, ia tidak secara khusus menyatakan apa niat Seksyen 14 dijadikan undang-undang.

“Tidak ada kes undang-undang di bawahnya yang boleh kita rujuk. Dalam berdepan pertuduhan di bawah kesalahan kecil, tertuduh biasanya akan mengaku salah,” katanya.

Faizal kemudian membebaskan dan melepaskan Bilqis daripada tuduhan itu.

Tahun lalu, Bilqis mohon dibicarakan atas tuduhan berkelakuan menghina dengan menjatuhkan belon di pusat beli-belah di sini. Jika disabitkan bersalah, denda maksimum ialah RM100.

Di belon kuning itu tertera perkataan ‘keadilan’ dan ‘demokrasi’.

Bercakap kepada wartawan di luar mahkamah, Bilqis berkata beliau bersyukur dengan keputusan.

“Ia sangat kecil. Jika ini dianggap jenayah, ia akan menetapkan duluan yang sangat bahaya,” katanya. - Sumber: FMT

Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments