Cubaan Rampas Kuasa Di Turki, Pelajar Malaysia Ketakutan

Cubaan rampasan kuasa di Turki telah menakutkan kumpulan pelajar Malaysia di Istanbul. Walau bagaimanapun, mereka memberi jaminan kepada The Star Online bahawa mereka berada dalam keadaan selamat. Pelajar perhubungan antarabangsa, Amirulmukminin Amiruddin, yang lebih dikenali sebagai al-Mahdi di kalangan rakan-rakannya dapat menyaksikan apa yang berlaku disebabkan beliau tinggal berhampiran dengan balai polis.


Cubaan Rampas Kuasa Di Turki, Pelajar Malaysia Ketakutan

"Rampasan kuasa ini bermula kira-kira pukul 8 atau 9 malam Jumaat di mana dua jambatan ditutup. Pada mulanya kami sangka ia adalah sekatan jalan raya. Kami fikir tentera dan polis sedang bekerjasama untuk operasi keselamatan selepas serangan lapangan terbang Ataturk bulan lepas," katanya kepadaThe Star Online awal pagi Sabtu, melalui panggilan Whatsapp.

Beliau merujuk kepada Jambatan Bosphorus dan Jambatan Fatih Sultan Mehmet di Istanbul.
"Tetapi kemudian muncul kereta kebal dan jet pejuang muncul di udara," kata beliau.
Ketika beliau sedang bercerita, bunyi helikopter dapat didengar melalui telefon.

Baca: Rampasan Kuasa Di Turki Gagal, Erdogan Kembali Berkuasa

Selain itu, wartawan Star juga dapat mendengar bacaan ayat-ayat al-Quran ketika temubual dijalankan.

"Masjid dekat sini sedang memasang 'selawat' untuk menenangkan rakyat.
"Keadaan sangat buruk. Saya juga takut sebenarnya.

"Rumah saya dekat dengan ibu pejabat polis. Polis berbalas tembakan dengan tentera. Saya lihat tentera berarak dan menuju ke balai polis. Polis telah memasang benteng penghadang dan mereka menembak antara satu sama lain.

"Saya berlari ke rumah dan membuka komputer riba saya. Saya boleh mendengar kekecohan itu kerana rumah saya hanya 5 minit berjalan kaki dari ibu pejabat polis," katanya.


"Jiran-jiran saya yang merupakan anggota polis meninggalkan rumah mereka dengan baju tidur. Mereka memegang senjata api dan berjalan ke arah balai polis," katanya.

"Pegawai Cawangan Khas (SB) lalu di rumah saya. Mereka memakai pakaian biasa tetapi anda tahu mereka adalah SB melihat cara mereka berjalan dan cara pistol dibawa," katanya.

Amirulmukminin, yang sedang menuntut di Universiti Sabahattin Zaim di Istanbul, berkata beliau telah melaporkan perkara ini kepada persatuan pelajar Malaysia yang seterusnya melaporkan kepada Kedutaan Malaysia.

Tiga rakan serumah Amirulmukminin, Fathi Anas Fauzi, Irfan Khairul dan Syamil Ikhwan juga selamat dan merancang untuk terus berada di rumah mereka.

Mereka juga telah menghubungi ahli keluarga masing-masing.

"Terdapat kira-kira sepuluh rakyat Malaysia di sini tetapi rumah kami agak jauh. Kami semua selamat. Kami memberitahu rakyat Malaysia yang lain supaya tidak keluar," katanya.

"Kami selamat, tetapi berasa takut kerana tiba-tiba Presiden Turki Tayyip Edrogan menggesa semua orang untuk keluar ke jalan raya. Saya boleh dengar jiran-jiran menjerit 'kuasa rakyat'. Penyokong Edrogan telah keluar dan berlaku tembak-menembak," katanya.

Akses kepada Facebook dan media sosial juga telah disekat.

Walau bagaimanapun Amirulmukminin dan kawan-kawannya masih dapat berhubung melalui akaun media sosial menggunakan pelayan proksi.

Rakan-rakan dari Malaysia di Turki masih dapat berhubungan melalui Whatsapp.

Amirulmukminin berkata tembakan yang bermula pada pukul 10 atau 11 malam itu telah berlaku selama dua jam.

Erdogan kini selamat di Marmaris, di mana beliau sedang bercuti.

"Kita akan mengatasi masalah ini," kata Erdogan, bercakap melalui panggilan video ke telefon bimbit sambil dirakam oleh kamera di stesen TV CNN.

Katanya, beliau akan segera kembali ke ibu negara, Ankara.

Tentera Turki pada Jumaat berkata bahawa mereka telah merampas kuasa, tetapi perdana menteri berkata rampasan kuasa itu akan digagalkan. - mStar Online

Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments