Terkini

Demam Filem Kabali, Syarikat Di Chennai Isytihar Cuti

CHENNAI: Gara-gara demam Kabali yang mempertaruhkan aksi bintang legenda, Rajinikanth, beberapa syarikat di Chennai mengisytiharkan cuti esok sempena tayangan filem itu. Pengumuman itu dilakukan selepas kakitangan syarikat berkenaan menghantar borang permohonan cuti serentak semata-mata tidak mahu terlepas menjadi penonton pertama filem terbabit. 


Demam Filem Kabali, Syarikat Di Chennai Isytihar Cuti

Opus menjadi agensi pertama yang mengeluarkan notis rasmi berhubung penutupan sehari operasi syarikat bagi 'mengelakkan cuti sakit, menutup telefon bimbit atau terjadi kekecohan'.

Ketua Operasi, Manoj Pushparaj, berkata keputusan yang julung kali dilaksanakan dalam sejarah operasi mereka antara lain diharap memberi motivasi kepada seluruh warga kerjanya.

"Selepas menerima bertimbun borang permohonan cuti pada 22 Julai, pihak pengurusan sebulat suara mengisytiharkan hari pelepasan kepada 48 kakitangan, Sabtu lalu, malah turut menaja tiket hari pertama tayangan Kabali.


"Pekerja kami datang dari pelbagai daerah di India dan 18 daripada mereka dari Tamil Nadu. Secara tidak langsung langkah ini juga sebagai penyuntik semangat buat semua pekerja," katanya yang menamakan hari itu sebagai Bonus Kabali.

Begitupun, Opus bukan satu-satunya syarikat yang buat kali pertama memberikan pelepasan untuk ke pawagam kali ini kerana sebuah agensi pengurusan data, Fyndus, juga melakukan perkara sama.

Ketika dihubungi media, wakil syarikat mengesahkan cuti bersempena Kabali sudah diumumkan Naib Presiden bahagian Operasi India, Vinoth Sudaroli, beberapa hari lalu.

"Sejak minggu lalu kami menerima satu demi satu permohonan (cuti) dan bagi mengelakkan berlakunya kekecohan atau bermasam muka operasi syarikat ditutup sehari," katanya yang memaklumkan syarikat juga memberikan tiket percuma kepada petugas dan ahli keluarga mereka.

Terdahulu, Kabali yang dilancarkan di Amerika Syarikat, semalam, mendapat sambutan luar biasa apabila tiket habis dijual dalam masa dua jam. Filem ke-159 lakonan Rajinikanth itu ditayangkan di 400 pawagam di sana.

Filem aksi yang menyaksikannya membawakan watak samseng bernama Kabalishwaran itu turut dibintangi pelakon tempatan, Datuk Rosyam Nor dan Norman Hakim.

Ia dijadualkan dilancarkan serentak di seluruh dunia bermula esok manakala pada 29 Julai ini, Kabali versi Bahasa Melayu akan menyusul di panggung wayang Malaysia. - BH Online

Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments