Honda Memang Beri Gaji, Tanggung Perbelanjaan Khairul Idham

KUALA LUMPUR: Isu pembiayaan melibatkan pelumba Moto3 negara Khairul Idham Pawi yang berterusan menyebabkan Boon Siew Honda Sdn Bhd. tampil memberikan penjelasan bahawa pihaknya tidak terlibat dengan sebarang kempen atau permohonan sokongan kewangan, terutama melibatkan kos perbelanjaan pegawai pengiring.


Khairul Idham

Pengedar motosikal Honda di Malaysia itu dalam satu kenyataan berkata, Khairul Idham adalah pelumba kontrak Honda yang membawa maksud segala perbelanjaan berkaitan kariernya di tanggung oleh Honda.

Antara perbelanjaan yang ditanggung itu termasuk tiket penerbangan, penginapan, makanan, gaji bulanan dan lain-lain perbelanjaan berkaitan.

Baca: Bapa Khairul Idham Kecewa Terpaksa Bayar Sendiri Pegawai Pengiring


“Perancangan perjalanan jang­ka masa panjang karier Khairul Idham untuk ke peringkat lebih tinggi di peringkat antarabangsa juga telah tersedia.

“Boon Siew Honda juga bertindak mendapatkan penajaan peribadi Khairul Idham dengan menawarkan penajaan tambahan, seperti menandatangani penajaan bersama RedBull baru-baru ini.


“Kami tidak terlibat dan ingin menjelaskan bahawa mana-mana kempen ataupun permohonan sokongan kewangan tambahan yang mendapat liputan ketika ini adalah untuk membiayai perbelanjaan yang difikirkan perlu oleh pihak keluarga Khairul Idham seperti kos untuk pengiring,” kata kenyataan tersebut di sini, hari ini.

Sebelum ini bapa pelumba tersebut, Pawi Omar meluahkan rasa terkilan kerana tiada pihak membantu membiayai kos pegawai pengiring untuk Khairul Idham.

Kata Pawi dia terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membantu karier anaknya termasuk membiayai pengiring pelumba berusia 17 tahun itu selain memerlukan dana sebanyak RM200,000 untuk urusan tersebut.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memberitahu, bahawa kementeriannya telah meluluskan peruntukan permulaan sebanyak RM100,000 untuk membantu karier pemenang dua perlumbaan Moto3 negara itu.

Bagaimanapun peruntukan yang diluluskan pada bulan lalu itu tidak dapat dise­rahkan kepada Khairul Idham selepas dia gagal memberikan nombor akaun bank dan beberapa dokumen diperlukan. - Utusan malaysia

Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments