Terkini

Kes Seludup Warga Asing, Isteri Kedua Adi Putra Ditahan

KUALA LUMPUR: Isteri kedua pelakon Adi Putra, Nor Shahida Zolkifly, adalah antara yang ditahan polis berhubung siasatan sindiket penyeludupan warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).


 Kes Seludup Warga Asing, Isteri Kedua Adi Putra Ditahan

Sumber berkata, Nor Shahida ditahan di pejabatnya di Putrajaya pada Selasa lalu dalam operasi khas polis jam 4.30 petang. Wanita itu sebelum ini pernah bertugas sebagai Penyelia Gred 27 di Kaunter Imigresen KLIA sebelum dipindahkan ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Putrajaya, susulan kenaikan gred kepada 32.

Selain wanita terbabit, dua kakitangan Imigresen yang pernah bertugas bersamanya di KLIA, turut ditahan bagi membantu siasatan kes sama. Sementara itu, Adi Putra atau nama sebenarnya Adi atau Mohamed Hadi Putera Halim, 35, ketika dihubungi untuk mengulas perkembangan terkini membabitkan isterinya itu, berkata beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.

"Saya tidak begitu pasti (butiran siasatan) tetapi biarkan pihak berkuasa menjalankan dulu kerja mereka.

Apapun, saya akan maklumkan kemudian," katanya ketika dihubungi menerusi mesej WhatsApp, semalam. Adi bernikah dengan Nor Shahida, 33, pada 20 Jun lalu. BH semalam melaporkan polis membanteras sindiket penyeludupan warga asing, majoritinya dari Bangladesh, berikutan penahanan lebih 15 penjawat awam, sebahagian besarnya Imigresen, dalam beberapa siri tangkapan sejak bulan lalu.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan, isteri seorang pelakon terkenal adalah antara 28 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen yang ditahan polis dalam operasi khas Selasa lalu di Putrajaya kerana dipercayai terbabit dengan sindiket penyeludupan manusia.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata semua mereka, termasuk wanita berusia 33 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan.

"Mereka disyaki terbabit dalam pemalsuan dokumen dan memberi laluan segera kepada warga asing yang memasuki negara ini tanpa melalui prosedur yang sah," katanya ketika dihubungi agensi berita itu.

Noor Rashid berkata, polis tidak menolak kemungkinan ada pegawai kanan Imigresen yang terbabit dalam kes itu. Beliau berkata, siasatan lanjut dilakukan untuk mengenal pasti individu lain yang mungkin terbabit. Semua suspek ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Sumber: BH Online

Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments