Terkini

MH370: “Zaharie Tidak Ada Sebab Untuk Mensia-siakan Hidupnya...”

Kapten Zaharie Ahmad Shah, juruterbang pesawat MAS penerbangan MH370 tidak patut dipertanggungjawabkan secara langsung atas kehilangan pesawat itu dua tahun lalu, tegas kakaknya Sakinab Shah.



Dalam laporan BBC, Sakinab berkata keluarganya tidak pernah meragui Zahari atau terfikir dia akan bertukar jadi jahat.

“Kami adakan sesi brainstorming. Kira-kira seminggu selepas kehilangan itu, kami berkumpul di Pulau Pinang. Tidak ada sekali pun kami meragui adik kami. Tidak boleh terfikirkan dia menjadi jahat,” katanya.

Baca: “Berhenti Salahkan Adik Saya” – rayu Kakak Kapten Zaharie

Sakinab berkata rasa syak wasangka dan tuduhan yang dilemparkan menambah lagi rasa sedih dengan kehilangan itu, dan menjadikan situasi itu sangat sukar.

“Ia sangat menyakitkan. Ia menambah kepada tekanan kehilangan itu. Adik yang rapat dengan saya hilang, dan kemudiannya saya terpaksa tanggung semua tuduhan ini.


“Ia situasi yang sangat sukar. Kami sering menangis, saya dan adik-beradik saya, anak-anak saudara saya semua terkesan kerana semuanya rapat dengan bapa saudara mereka,” katanya.

Beliau berkata Zaharie dibesarkan dalam keluarga yang baik dan tidak ada sebab untuk mensia-siakan hidupnya.

Baca: MH370: Selama Ini Senyap, Kakak Kapten Zaharie Akhirnya Buka Cerita

“Seorang budak kampung, daripada hidup miskin sehingga dia jadi juruterbang. Ia mimpi jadi kenyataan. Dia bersama Malaysia Airlines selama 30 tahun, merekodkan lebih 18,000 jam penerbangan.

“Tidak ada rekod buruk. Dia hanya tinggal beberapa tahun lagi sebelum bersara. Anda fikir dia akan membuang semuanya?,” katanya.

Kapten Zaharie dan 238 yang lain berada dalam pesawat malang itu. Pesawat Boeing 777 itu hilang daripada radar ketika dalam perjalanan ke Beijing dari KLIA pada Mac 2014 dan dipercayai terhempas di kawasan terpencil di Lautan Hindi, di barat Australia.

Pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada Malaysia, Australia dan China mengumumkan penangguhan pencarian bangkai pesawat itu selepas usaha mencari berlangsung selama dua tahun.

Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments