“Rahsia Penyelewengan FAM Di Dalam Pendrive Ini” - TMJ

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim hari ini mendakwa berlaku amalan rasuah berpanjangan dalam FAM, sehingga 30 tahun. Beliau mendakwa mempunyai butiran lanjut, termasuk ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia, pengambilan duit kelab dan laporan audit yang didakwa “merepek”



“Apa yang pelik adalah anda semua boleh terima selama ini dan sanggup mempertegakkan 30 tahun korupsi dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya.

“Ini adalah 'pendrive' diberikan kepada saya oleh sahabat-sahabat saya yang berkedudukan tertinggi di Kuala Lumpur berkenaan maklumat dan aktiviti dalam FAM, ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia, orang-orang media yang FAM selalu gunakan termasuk bekas-bekas pemain di Malaysia, duit-duit kelab yang diambil oleh FMLLP (Usahawan Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia) dan diberikan kepada FAM serta laporan audit yang merepek.”

Dalam kenyataan di Facebook rasmi JDT, Tunku Ismail menunjukkan satu 'pendrive' sambil melontarkan senyuman.

Susulan persaraan empat pemain JDT daripada skuad kebangsaan, beliau berkata, reaksi balas terhadap perkara itu seolah-olah mereka tidak pernah berkhidmat dan mencapai kejayaan bersama Harimau Malaysia.

Sebelum ini Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak, Amirul Hadi Zainal dan S Kunanlan mengumumkan persaraan, yang menimbulkan pelbagai spekulasi mengenainya.


“Apa yang susah sangat untuk menghormati keputusan mereka? Satu perkataan sahaja yang anda (pengkritik) harus katakan tentang mereka atau kepada mereka iaitu 'terima kasih'.

“Terima kasih atas pengorbanan mereka selama ini. Itu sahaja,” katanya.

TMJ juga seakan memberi amaran kepada pengkritiknya supaya berhati-hati dengan memetik pesanan seorang pegawai askar kepadanya.

“Saya mempunyai seorang komander di India yang pernah berkata, 'jangan diajak penembak tepat pergi menembak',” kata lulusan sebuah akademi tentera di India itu.

Mengulas kontroversi itu, TMJ mengingatkan bahawa “duit rakyat sepatutnya digunakan untuk rakyat sahaja”.

“(Duit rakyat) nukan untuk bola sepak dan kepentingan politik. Sila selesai isu gaji pemain yang sudah lama tidak diselesaikan," kata Tunku Ismail.

Walaupun telah beberapa kali membuat dakwaan berkaitan, ini kali pertama TMJ mendakwa mempunyai bukti.

FAM akan hubungi TMJ

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan TMJ memiliki maklumat berkaitan aktiviti rasuah melibatkan badan induk bola sepak negara itu.

Katanya, sesiapa sahaja boleh melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya mempunyai maklumat mengenai rasuah.

"Sesiapa sahaja ada hak (laporkan) kepada SPRM, awak tak perlu tanya saya, " katanya ringkas ketika ditanya sama ada pihaknya melihat ada keperluan untuk TMJ melaporkan perkara itu kepada SPRM.

"Itu tak apalah nanti saya akan hubungi TMJ," pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

FAM juga menegaskan pihaknya tidak membenarkan budaya rasuah dalam persatuan itu kerana Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) turut bertegas dalam menangani rasuah.

"Jawatankuasa Integriti juga ditubuhkan FAM untuk memantau bukan sahaja pasukan bola sepak, malah keseluruhan pentadbiran dan juga barisan kepimpinan," jelas Hamidin.

Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments