Rancang Bunuh KPN: 14 Anggota Daesh, 1kg Bom IED Dirampas

KUALA LUMPUR: Rancangan pengganas Daesh untuk membunuh dua pemimpin tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menyerang Lembah Klang digagalkan dengan tertangkapnya 14 pengikut kumpulan itu termasuk seorang wanita di lima negeri bermula 14 hingga 20 Julai lalu.


Rancang Bunuh KPN: 14 Anggota Daesh, 1kg Bom IED Dirampas

Salah seorang suspek lelaki yang ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman itu berperanan sebagai pembuat bahan letupan yang diubah suai (IED) dan berkongsi cara membuat bom itu dengan anggota Daesh melalui aplikasi Telegram.

Polis juga telah menemukan satu kilogram bom tersebut yang telah siap diadun di rumah suspek berusia 28 tahun tersebut di Sungai Buloh, Selangor pada Selasa lalu.

Bahan letupan itu dipercayai akan digunakan untuk membunuh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay melalui satu serangan yang bakal dilancarkan.

Selain itu, penganggur terbabit turut menerima arahan daripada rakyat Malaysia di Syria, Muhammad Wanddy Mohamed Jedi untuk menghasilkan IED bagi menyerang Lembah Klang dan dijanjikan sepucuk pistol bagi mempertahankan diri jika ditangkap.


Khalid dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan hari ini berkata, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 49 tahun itu ditahan di Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Sabah.

Beliau berkata, empat daripada suspek termasuk pembuat bom IED adalah penganggur, tiga orang bekerja sendiri, dua tukang masak, dua pekerja swasta manakala selebihnya seorang mekanik kereta, juru kimpal dan penuntut institusi pengajian tinggi swasta.


Menurutnya, 12 yang ditahan di sekitar Kuala Lumpur, Sela­ngor, Pulau Pinang dan Sabah merupakan anggota sel sama dengan suspek yang diberkas dalam operasi hujung bulan lalu dan dipercayai menerima arahan dari Muhammad Wanndy untuk melancarkan serangan di Malaysia.

“Seorang lagi suspek berumur 49 tahun ditahan di Kedah pula dipercayai merekrut anggota baharu menerusi usrah sulit di Sik, Kedah dan berperanan mengatur perjalanan ke Syria termasuk Abu Ghani Yaacob @ Abu Kedah yang terbunuh pada 17 April lalu.

“Manakala wanita berumur 43 tahun dari Perak pula giat mempromosikan kumpulan Daesh selain merancang masuk ke Filipina bagi menyertai kumpulan militan dengan bantuan Dr. Mahmud Ahmad yang menyertai kumpulan Abu Sayyaf,” katanya.

Tambah Khalid, kesemua suspek ditahan kerana disyaki me­lakukan kesalahan di bawah Bab VIa - Kesalahan Berkaitan Keganasan, Kanun keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.

Tangkapan terbaharu ini menjadikan jumlah mereka yang ditahan kerana terlibat dengan Daesh adalah sebanyak 75 orang sejak Januari tahun ini. - Utusan Malaysia

Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments