Jerebu Mula Melanda, Malaysia Utus Surat Kepada Indonesia

BUKIT GANTANG: Malaysia akan memaklumkan kepada kerajaan Indonesia mengenai beberapa kawasan di negara ini yang mula dilanda jerebu ekoran kebakaran tanah dan hutan di Sumatera dan Kalimantan.


Jerebu Mula Melanda, Malaysia Utus Surat Kepada Indonesia

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar ber­kata, beliau akan mengutus su­rat kepada rakan sejawatan iaitu Menteri Alam Sekitar dan Kehutanan Indonesia tentang perkara itu.

Katanya, jerebu kini boleh dilihat di beberapa kawasan di Semenanjung dan Sarawak.

“Saya akan menulis surat ke­pada rakan sejawatan di Indonesia untuk memaklumkan kepadanya bahawa kesan kebakaran di negara itu telah mula dilihat di negara ini.

“Keadaan jerebu ini telah seminggu berlaku, namun bacaan Indeks Pencemaran Udara masih pada tahap sederhana,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan di Pusat EkoPelajaran Hutan Paya Laut Matang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin; Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Seri Dr. Abd. Rahman Abd. Rahim; Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Datuk Dr. Abdul Latif Mohmod dan Pengerusi Landskap Malaysia, Tun Jeanne Abdullah.


Mengulas lanjut beliau berkata, walaupun kerajaan Indonesia telah mengambil tindakan segera dalam memadamkan kebakaran tanah dan hutan, namun, asap kebakaran itu tidak dapat dielakkan daripada merentas sempadan negara ini.

Dalam perkembangan lain, Wan Junaidi berkata, pihaknya bercadang menghantar permohonan kepada Guinness World Records bagi mengiktiraf Hutan Paya Laut Matang sebagai hutan paya bakau laut yang mempunyai pengurusan serta pentadbiran terbaik di dunia.

Bagaimanapun katanya, proses tersebut akan mengambil masa panjang dan perbincangan perlu dilakukan antara kerajaan negeri dan pihak-pihak bertanggungjawab.

“Kawasan ini bukan sahaja besar dan ia juga terjaga dengan baik. Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana membantu Kerajaan Pusat memlihara dan melaksanakan pembangunan mampan di kawasan ini,” katanya.

Dalam majlis itu, Wan Junaidi turut melancarkan Garis Panduan Penyediaan Rancangan Pengurusan Hutan Paya Laut Malaysia bagi dijadikan rujukan untuk negeri-negeri yang masih belum mempunyai Rancangan Pengurusan Hutan Paya Laut. - Utusan Malaysia


Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments